CARI GANTI

Pantun-pantun di bawah berkisarkan tema yang sama – cari ganti.

Tetapi apabila diamati, saya rasakan nada yang berlainan dalam setiap rangkap. Ada pesanan biasa bernada jujur, ada pesanan biasa bernada sinis, ada juga kata-kata bersalut harap. Saya kongsikan di sini…

 

Baik-baik menjemur padi,
      Jangan dimakan burung belatuk;
Baik-baik mencari ganti,
      Biar hati lebih elok.

Kalau tuan menebang jati,
      Kalau tumbang saya tolakkan;
Kalau tuan mencari ganti,
      Kalau kurang saya sorakkan.

Kalau tuan tebang jati,
      Biar serpih condong ke paya;
Kalau tuan mencari ganti,
      Biar lebih dari saya.

Cermin damit kami mulanya,
      Ditangkap ketam patah kaki;
Mulanya kamilah yang punya,
      Sudah sekarang lain ganti.

Cik Ani menahan pukat,
      Dapat ikan berkati-kati;
Kalau hati sudah terpikat,
      Tak dapat lagi ditukar ganti.

Sumber: Kurik Kundi Merah Saga

Advertisements

RAJAWALI – W.S Rendra

Sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri.

Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti.

Langit tanpa rajawali
adalah keluasan dan kebebasan tanpa sukma
tujuh langit, tujuh rajawali
tujuh cakrawala, tujuh pengembara.

Rajawali terbang tinggi memasuki sepi
memandang dunia
rajawali di sangkar besi
duduk bertapa
mengolah hidupnya.

Hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana.

Rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka.

 

W.S Rendra, petikan daripada kumpulan puisi ‘Perjalanan Bu Aminah‘, Yayasan Obor Indonesia 1997

KE JORDAN-PALESTIN DAN AUSTRALIA-NEW ZEALAND

Sekadar bersantai pada hujung minggu lalu tanpa acara luar, sementelah pula ‘birthday boy‘ yang  berusia itu bertanyakan kek hari lahirnya. Maka saya fikir, ‘Ok, kita akan raikan dengan sesuatu, walaupun biasa-biasa sahaja!’. Memandangkan saya lebih memilih untuk ‘mengaku kalah’ dalam acara membuat kek, saya lalu memilih untuk ‘berziarah’ ke Jordan-Palestin dan Australia-New Zealand hanya melalui ruang dapur! 

Hidangan utama ialah nasi maqlubah, sesekali beralih angin ke negara Jordan-Palestin. Nasi ini seringnya jadi hidangan popular di Jordan dan Palestin, walaupun mungkin turut jadi pilihan di Syiria dan negara sekitarnya. Pertama kali merasainya ialah pada Ramadhan tahun lalu, tatkala dijemput berbuka puasa oleh seorang rakan daripada Jordan. Bezanya, sahabat saya tadi menggunakan ayam sebagai lauk utamanya dan disertakan dengan lapisan kentang. Manakala, saya pula gunakan daging dan tulang rusuk lembu (atas permintaan si ‘birthday boy‘ juga), baki sembelihan hari raya korban lalu. Dilapiskan sekali dengan kentang dan terung bulat.

Hidangan asalnya, nasi yang berlapis dan berselang-seli antara lauk dan kentang (atau terung bulat) akan diterbalikkan di atas dulang. Semestinya mengikut cita rasa atau cara masyarakat Arab yang akan menjamah hidangan beramai-ramai dalam satu dulang. Bezanya sekali lagi, kami pilih untuk jamah dengan cara Melayu sahaja. 

Dan, gandingan pelengkapnya tentulah salathah (salad)!

Kek yang dibuat jarang menjadi. Ini jadikan saya lebih suka menyediakan manisan dan pencuci mulut. Lalu, sekadar sediakan pavlova sebagai iringan ‘meraikan’ hujung minggu yang santai (itupun kurang cemerlang juga) dengan hiasan strawberi dan kiwi segar – manisan yang dikatakan berasal daripada New Zealand dan ada pula yang mendakwa berasal daripada Australia. Saya sukakan sejarah penciptaan resepinya. (Boleh dibaca di Wikipedia atau mana-mana laman web andainya berminat).

“Masih banyak negara dan benua yang kita belum ‘ziarah’. Nanti kita akan ke negara lain di Timur Tengah, Asia Timur, Asia Tengah, bahkan serata dunia juga (asalkan halal!)”  🙂


PADA USIAMU DUA-LAPAN

Selamat hari lahir, Tuan Suami!

Alhamdulillah, sempat menyiapkan sebuah puisi untuk dia dalam waktu rehat di pejabat. Sejujurnya pula, inilah kali pertama saya dedikasikan sebuah puisi untuk ulangtahun kelahiran seseorang.

Moga Allah merahmatinya serta memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang. (Moga cermin mata baru itu akan jadikan pemanduannya lebih selamat, lalu hati saya akan lebih tenang!) 😉 😀

Maaf, saya tak pandai buatkan kek. Sebuah puisi, boleh?

 

 PADA USIAMU DUA-LAPAN

Ketika mereka memilih zaqqum dan danur
kita berikrar memilih zaitun dan kafur
lalu, telah Tuhan rendahkan purnama
untuk kita belajar membeza silau dan cahaya.

Terima kasih; Cendera Hati,
kerana tidak pernah berjanji
membawaku mengenderai angin
untuk memetik sekuntum bunga pagi
dan melihat kekupu berkepak baiduri
di negeri yang pernah kutemui
dalam sebuah puisi. 

Pada usiamu dua-lapan;
tiadalah lagi ajaibnya kata-kata Gibran
sesudah sering engkau gantikan dengan firman. 

NASRIAH ABDUL SALAM
17 November 2011.

Glosari:
Zaqqum
: Buah dalam neraka (Rujuk Surah Al-Waqi’ah: , Al-Dukhan: 43)
Danur: minuman daripada nanah yang diminum ahli neraka (Rujuk Surah Ibrahim: 16)
Kafur
: Minuman ahli syurga (Rujuk Surah Al-Insan: 5-6)

TERUSKAN! (DENGAN CARA YANG LAIN)

Dengan nama Tuhan;

Saya bukanlah penggemar tarikh-tarikh tertentu, mahupun taksubkan nombor tertentu. Namun, selepas meneliti entri-entri lalu, baru disedari entri TERUSKAN dicatat pada 11.01.11. Rupa-rupanya, sudah 10 bulan entri itu berlalu jika dikira dari tarikh hari ini – 11.11.11.

Entri TERUSKAN adalah catatan sebelum saya berumah tangga. Setelah dicongak-congak, 11.11.11 – adalah bulan ke-8 menjalani kehidupan dengan rutin yang lain. Banyak pertukaran fasa demi fasa berlaku dalam tempoh ini. Semuanya perlukan pengorbanan, walaupun mungkin bukan dalam skala yang banyak.

Bermakna, saya berada dalam bulan ke-4 kehidupan berkerjaya sebagai penasihat undang-undang dalam dunia korporat – dunia yang langsung tidak terimpikan selama ini! Separuh daripada hati telah saya tinggalkan dalam dunia akademik. Namun begitu, saya masih menyimpan harapan untuk kembali bertemu pelajar, menguliti jurnal-jurnal, ‘mendiami’ perpustakaan, atau ‘mengotori’ jemari dengan dakwat marker pen.  Maka, berkali-kali mengingatkan diri – kepuasan dan kebahagiaan bukan dapat diperoleh dengan tertunainya impian, tetapi dengan tercapainya makna kehidupan. Asal sahaja kita bersedia mengubah dan menyesuaikan diri mengikut keutamaan dan keadaan.

Dan, ini juga bermakna saya berada dalam bulan ke-4 kehamilan! (Syukran, Tuhan – kerana memberi perhatian kepada doa-doa kami. Mudahan kami jadi hamba-Mu yang lebih bersyukur).

Semakin lama, saya makin meyakini – bahawa ada kalanya, impian peribadi akan selalu sahaja kalah…

…sekiranya dipertandingkan dengan cinta! 

Tuhan sekali lagi mengajar, inilah makna kehidupan dalam definisi versi lain.

(Sumber gambar: 123RF.com)

PENYUDAH KASIH

Burung merpati terbang melambung,
      Mari hinggap di awan putih;
Buah hati pengarang jantung,
      Tuan seorang penyudah kasih.

PANTUN PERGANTUNGAN DENGAN TUHAN

Dari hulu turun ke pekan,
      Sampannya rosak di tengah hari;
Kalau selalu ingatkan Tuhan,
      Apa dipinta pasti diberi.

Dewa-dewa melihat sakti,
      Diam dalam gua batu;
Jangan tuan susah hati,
      Sudah ada Tuhan membantu.

Anak labi makan mengecap,
      Beri makan kelopak jantung;
Pada nabi saya mengucap,
     Pada Tuhan saya bergantung.

Raja Sulung Indera Shah Johan,
      Gagah berani lagi perkasa;
Kalau ada pertolongan Tuhan,
      Mana boleh rosak binasa.

Kalau tuan memetik rambai,
      Rambai ada di hujung dahan;
Sungguh berpantun kita beramai,
     Berserah kita kepada Tuhan.

 

Sumber: Kurik Kundi Merah Saga

Previous Older Entries Next Newer Entries