KERANA BUDI

Pagi-pagi menanam selasih,
        Selasih ditanam di hujung serambi;
Bagailah mana hati tak kasih,
        Kerana tuan baik budi.

 

 

 

 

Buah rambai dalam padi,
        Lazat pula cita rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
        Sarat dengan budi bahasanya.

 

-Koleksi Kurik Kundi Merah Saga

RAJAWALI – W.S Rendra

Sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri.

Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti.

Langit tanpa rajawali
adalah keluasan dan kebebasan tanpa sukma
tujuh langit, tujuh rajawali
tujuh cakrawala, tujuh pengembara.

Rajawali terbang tinggi memasuki sepi
memandang dunia
rajawali di sangkar besi
duduk bertapa
mengolah hidupnya.

Hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana.

Rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka.

 

W.S Rendra, petikan daripada kumpulan puisi ‘Perjalanan Bu Aminah‘, Yayasan Obor Indonesia 1997

PADA USIAMU DUA-LAPAN

Selamat hari lahir, Tuan Suami!

Alhamdulillah, sempat menyiapkan sebuah puisi untuk dia dalam waktu rehat di pejabat. Sejujurnya pula, inilah kali pertama saya dedikasikan sebuah puisi untuk ulangtahun kelahiran seseorang.

Moga Allah merahmatinya serta memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang. (Moga cermin mata baru itu akan jadikan pemanduannya lebih selamat, lalu hati saya akan lebih tenang!) 😉 😀

Maaf, saya tak pandai buatkan kek. Sebuah puisi, boleh?

 

 PADA USIAMU DUA-LAPAN

Ketika mereka memilih zaqqum dan danur
kita berikrar memilih zaitun dan kafur
lalu, telah Tuhan rendahkan purnama
untuk kita belajar membeza silau dan cahaya.

Terima kasih; Cendera Hati,
kerana tidak pernah berjanji
membawaku mengenderai angin
untuk memetik sekuntum bunga pagi
dan melihat kekupu berkepak baiduri
di negeri yang pernah kutemui
dalam sebuah puisi. 

Pada usiamu dua-lapan;
tiadalah lagi ajaibnya kata-kata Gibran
sesudah sering engkau gantikan dengan firman. 

NASRIAH ABDUL SALAM
17 November 2011.

Glosari:
Zaqqum
: Buah dalam neraka (Rujuk Surah Al-Waqi’ah: , Al-Dukhan: 43)
Danur: minuman daripada nanah yang diminum ahli neraka (Rujuk Surah Ibrahim: 16)
Kafur
: Minuman ahli syurga (Rujuk Surah Al-Insan: 5-6)

RAHMAT

 

Engkau (pemilik atma pawana) –
adalah cahaya; sebelum Tuhan tukar jadi nirmala
adalah cendera; sebelum Tuhan tukar jadi purnama
adalah halba; sebelum Tuhan tukar jadi cendana
adalah kata-kata; sebelum Tuhan tukar jadi doa
adalah gemala; sebelum Tuhan tukar jadi nurbisa
adalah rasa; sebelum Tuhan tukar jadi cinta
adalah ujana, sebelum Tuhan tukar jadi syurga.

 

Nasriah Abdul Salam
Catatan di hujan perbukitan, mampir senja
Syukran, Tuhan.”

WARNA-WARNA CERAH

Slideshows of Fireworks. Made by me.. Animated! Pictures, Images and Photos

 

Ada yang cemerlang
di langit peribadi.

Sesudah;
dalam hati
engkau pasangkan
warna-warna cerah
bunga api.

 

6 November 2010
(Waktu malam berteleku)

SANGKAR NURANI

Sesudah engkau siapkan  
sangkar nurani
usahlah dikunci
kerana telah berani
kupatahkan kepak sendiri.

Gantunglah ia
di pinjung perjanjian
biar di situ
aku bermain
angin perkasihan.

 

25 Oktober 2010, Kediaman di Perbukitan, menjelang dini.

 

‘TUAN ADALAH INTAN’ DALAM PANTUN KIASAN

Pantun kiasan merupakan salah satu kumpulan pantun Melayu yang sering diungkapkan oleh masyarakat Melayu, selain kumpulan pantun-pantun yang lain. Antaranya pantun nasihat, pantun budi, pantun agama, pantun cinta, pantun jenaka dan sebagainya.

Sebagai satu bentuk penyampaian yang berlapik, pantun kiasan seringnya menggunakan ibarat atau perlambangan yang bermakna dalam menyatakan sesuatu maksud. Sekadar membelek dan membaca pantun dalam Kurik Kundi Merah Saga (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka), saya menemukan kiasan yang cantik dalam menyampaikan pujian terhadap seseorang yang dipandang tinggi dan dikasihi.

Antara yang paling kerap ditemui ialah penggunaan intan, nilam, zamrud (dan seumpamanya) sebagai objek kiasan dan pujian. Diperturunkan empat rangkap pantun yang menggunakan intan, nilam dan zamrud sebagai objek kiasan, biarpun (wajar diakui) masih banyak lagi pantun Melayu yang mengunakan objek yang sama dalam pembayang atau maksud. Selamat membaca!

 

Laju sampai Kuala Daik

Hendak dikejar takut dalam;

Sudah jumpa intan yang baik,

Mahu diikat batu nilam.

 

Burung merpati terbang ke hutan,

Duduk bertenggek di tepi sungai;

Tuan umpama cahaya intan,

Bagai zamrud baru di canai.

 

Haluan sarat banyak muatan,

Nampak cahaya batu karang;

Tuan ibarat permata intan,

Di mana tercampak di situ terang.

 

Anak cina pergi ke hutan,

Ambil terap dengan getahnya;

Tuan umpama permata intan,

Saya tumpang kilat cahayanya.

Previous Older Entries