JANGAN TERPEDAYA DENGAN ADEGAN ‘TARIK BEG’

Sering ditonton dalam filem atau drama Melayu-Islam; si isteri akan mula menarik keluar beg berisi kain baju selepas cerai atau talak dilafazkan oleh si suami. Adegan sebegitu lebih meruntun tentunya jika dicampur emosi dan berbumbukan esak tangis isteri.

Sehingga seringnya kita (mungkin) dididik oleh adegan-adegan sebegitu untuk memahami bahawa dalam kes perceraian yang boleh dirujuk kembali (talak raj’ie, iaitu talak satu atau dua), suami dan isteri tadi sudah tidak boleh tinggal serumah lagi.

Untuk memberi sedikit pencerahan dan keluar daripada zon ‘kelabu’ yang mugkin ditinggalkan dari adegan tadi, saya rangkumkan perihal talak, iddah dan rujuk dalam tulisan yang cuba diringkaskan. Entri ini hanya akan menjurus kepada jenis ‘iddah dan bagaimana cara yang dianjurkan untuk seseorang wanita yang sudah diceraikan menyempurnakan tempoh ‘iddahnya.

Dalam perkahwinan Islam, wanita yang diceraikan (sama ada talak ba’in atau raj’ie) dan wanita yang kematian suami (sama ada pernah disetubuhi atau tidak); kedua-duanya perlu melalui tempoh ‘iddah yang tertentu. ‘Iddah, ialah satu tempoh masa bagi wanita untuk menunggu dan menahan diri daripada berkahwin lain selepas diceraikan, atau selepas suami meninggal, atau selepas difasakhkan perkahwinannya oleh hakim atau kadi.

Sebagai agama yang menjadikan pemeliharaan maruah dan nasab (hifz al-nasab) sebagai matlamat syariat (maqasid syariah; selepas pemeliharaan agama, hayat kehidupan, akal, dan diikuti dengan pemeliharaan harta) ‘iddah bertujuan untuk membersihkan rahim wanita yang diceraikan. Apa yang dimaksudkan dengan ‘pembersihan rahim’ di sini ialah benih bekas suami (yang menceraikannya atau yang meninggal) berkemungkinan masih ada di dalam rahim wanita yang diceraikan.

Maka, ‘iddah disyariatkan bagi mengelakkan percampuran (benih suami tadi) dengan benih lelaki baru yang mungkin akan dikahwini serta-merta selepas perceraian. Ini bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan nasab anak yang dikandung selepas perceraian dan perkahwinannya dengan suami baru. Oleh yang demikian, wanita dihalang dari memakai perhiasan, wangian, menerima pinangan atau melakukan perkara-perkara lain yang boleh mendorong kepada rangsangan seksual.

Pensyariatan ‘iddah disandarkan kepada beberapa ayat Al-Quran. Saya perturunkan maksudnya di sini;

Surah al-Baqarah: 228:

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).

Surah al-Baqarah: 234

Dan orang-orang yang mati antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka (isteri-isteri tadi) menunggu selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah sampai (akhir) ‘iddah mereka, maka tidak ada dosa bagimu mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka (mufassirin mentafsirkan sebagai berhias, berpergian dan menerima pinangan) menurut cara yang patut. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Surah al-Talaq: 4

Dan perempuan-perempuan di kalangan kamu yang tidak haid lagi (menopause), jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh ‘iddah mereka) maka ‘iddahnya ialah tiga bulan; dan demikian juga ‘iddah perempuan yang tidak mempunyai haid dan perempuan mengandung maka tempoh ‘iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.

Berdasarkan kepada kedua-kedua ayat berikut, tempoh ‘iddah yang perlu dilalui oleh setiap wanita ialah berbeza. Diringkaskan seperti berikut:

i) ‘Iddah wanita yang diceraikan ketika hamil (sama ada talak ba’in atau raj’ie), tempoh ‘iddahnya akan berakhir sebaik sahaja anak yang dikandungnya dilahirkan.

Cuma bezanya jika isteri dicerai dengan talak raj’ie, si isteri tadi boleh dirujuk kembali oleh suaminya sebelum tempoh ‘iddah berakhir, iaitu sebelum isteri tadi melahirkan anaknya (sepanjang tempoh wanita tadi mengandung).

ii) ‘Iddah bagi wanita yang masih mempunyai haid; ‘iddahnya akan tamat selepas tiga kali suci. Di sini ada kekhilafan antara ulamak yang sebahagiannya mentafsirkan ‘salasatu-quru’ bermaksud ‘tiga kali suci (dari haid)’ dan ada sebahagian yang lain mentafsirkan sebagai ‘tiga kali haid.’ (Tetapi dalam fiqah mazhab syafi’e, pekataan ‘quru’ merujuk sebagai tiga kali suci daripada haid.)

iii) ‘Iddah wanita yang tidak mempunyai haid (kerana usia yang masih kecil atau tidak pernah datang haid) dan menopause; tempoh ‘iddah mereka ialah selama 3 bulan

iv) ‘Iddah wanita yang kematian suami;

Jika mengandung: ‘iddahnya sehingga melahirkan anak.

Jika tidak mengandung: tempoh ‘iddahnya ialah 4 bulan 10 hari (merangkumi wanita yang kematian suami setelah disetubuhi, belum disetubuhi, tidak mempunyai haid atau sudah menopause).

Lalu, apakah relevennya saya memukadimahkan tulisan ini dengan adegan tarik beg pakaian? Apa yang ingin diteruskan di sini, di manakah wanita (yang masih didatangi haid, tidak ada haid atau yang sudah menopause) yang diceraikan dengan talak raj’ie (iaitu perceraian yang boleh dirujuk oleh si suami dalam tempoh ‘iddahnya) perlu tinggal sepanjang tempoh itu?

Jawapannya disebut dalam Surah Al-Talaq: 1-2

Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) ‘iddahnya (yang wajar), dan hitunglah waktu ‘iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan janganlah (diizinkan) keluar kecuali jika mereka mengerjakan perbuatan keji yang jelas. Itulah hukum-hukum Allah, dan barangsiapa melanggar hukum-hukum Allah, maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.

Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah pengajaran itu diberikan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya.

Saya simpulkan aplikasi kedua-dua ayat dalam surah Al-Talaq di atas setelah dihubungkan kesinambungannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang sebelumnya:

i) Wanita yang diceraikan dengan talak raj’ie masih berhak dan perlu mendiami rumah suaminya. Dia (dan anak-anak) masih berhak diberi nafkah dan tempat tinggal dan sekiranya suami gagal berbuat demikian (kepadanya dan anak-anaknya) maka hal tersebut dikira sebagai perhutangan. Si isteri boleh menuntutnya ‘hutang’ itu biarpun setelah tempoh ‘iddah sudah berakhir.

ii) Si suami tidak boleh mengeluarkan isteri dari rumah itu (menghalau, menghantar ke rumah ibu bapa wanita itu dan sebagainya) kecuali jika wanita itu mengerjakan perbuatan keji.

Hikmahnya; Islam lebih menganjurkan pasangan tadi berbaik dan bersama kembali biarpun perceraian dihalalkan dalam Islam. Tempoh ‘iddah yang dilalui oleh wanita tadi di rumah suaminya diharapkan dapat membuka laluan bagi kedua-duanya merujuk kembali perkahwinan itu. Oleh sebab itu, larangan untuk isteri berhias, memakai wangian sepanjang tempoh ‘iddahnya TIDAK terguna-pakai sepanjang dia berada di dalam rumah suami. Bahkan tugasnya sebagai isteri (dalam menguruskan suami, anak-anak dan rumah tangga) perlu dijalankan seperti biasa. Itulah hikmatnya kenapa Allah menyudahkan ayat tersebut dengan “Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.”

iii) Si suami lebih digalakkan merujuk isterinya dengan cara yang baik (dalam ayat ini perkataan makruf digunakan). Proses rujuk boleh berlaku dengan lafaz (lisan) atau apabila isteri bersetuju melakukan persetubuhan apabila diminta oleh suaminya.

Oleh yang demikian, sebarang hubungan fizikal (selain dari persetubuhan) yang dilakukan oleh suami dengan ‘lesen yang akan tamat tempoh’ bukan dengan niat untuk merujuk kembali perkahwinan itu merupakan sesuatu yang tidak makruf biarpun dibolehkan kerana ikatan perkahwinan antara kedua-duanya masih wujud. Rentetan itu, dalam ayat yang sama (At-Talaq:2), Allah mengingatkan bahawa pengajaran ini diberikan kepada orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat. [Ghalibnya, hanya orang yang beriman dan bertakwa akan melakukan perkara yang makruf dan berpegang pada apa yang dipersetujui bersama selepas isteri memberi persetujuan].

iv) Atau, isteri dilepaskan dengan cara yang baik (makruf) selepas ‘iddahnya tamat. Bermula waktu ini (tamat ‘iddahnya), ikatan perkahwinan akan tamat dan kedua-duanya tidak boleh lagi tinggal sebumbung.

Oleh yang demikian, janganlah dikelirukan dengan adegan seorang wanita tarik beg berisi pakaian sambil menangis atau dialog “Hantar saya ke rumah mak bapak saya” selepas talak dilafazkan dalam srama atau filem Melayu-Islam. Hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri masih kekal sepanjang tempoh ‘iddah dan anak-anak masih memerlukan didikan serta kasih sayang kedua-duanya selepas talak dilafazkan.

Islam menggariskan hukum-hukum dan tertib dalam hal seremeh menguap dan tidur-baring, inikan pula dalam perkara melibatkan perkahwinan, hak, tanggungjawab, nasab, dan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan yang bakal mencorakkan institusi masyarakat Islam.

Cantik sekali Allah menyusun hukum-hukumnya…

Gambar ambilan di sini

3 Komen (+add yours?)

  1. Marsli N.O
    Apr 07, 2010 @ 14:36:57

    Sdr Nasriah: Selamat berkarya.

    Balas

  2. yang masih bingung
    Oct 27, 2011 @ 22:52:53

    hhmmm…majoriti memang tak tau pasal ni..saya pun takkan tau hal ni kalau saya tak melalui proses penceraian..tapi sebab saya sedang melalui proses ni, maka saya terjumpa artikel ni..

    memang sangat indah hukum Allah ni..punya lah benci berlaku pecah belah dalam rumahtangga..

    selama ni yg saya tau bila berlaku kes penceraian, masyarakat akan pandang serong pada pasangan yg masih tinggal serumah sebabnye mereka tak pernah tau hukum ni..

    dalam banyak buat rujukan, ade pernah saya lihat persoalan dan jawapan seperti di bawah dan membuatkan saya keliru tentang kebenaran antara boleh tinggal serumah atau tidak:

    soalan: Setelah menceraikan isterinya(talak rajie)…si suami tiada melafazkan kata2 ruju’….dan suami masih tinggal sebumbung dgn isterinya….adakah jika bersekedudukan sisuami dgn siisterinya di kira ia sbg berzina???

    Sbb syafei kata tidak sah ruju’ tanpa lafaz…….

    jawapan: Hukum hubungan suami isteri dalam eddah.

    Syafei dan pandangan masyhur dalam Maliki,tidak dibenarkan berseronok,sedapan,memandang apatah lagi tinggal bersama.

    Hanafi dan Hambali-zahir mazhab dibenarkan berseronok,berkhalwat malah disisi hambali boleh bermusafir berhias pada suaminya,kerana keduanya masih dalam hukum suami isteri,wajib menafkahi dan beri tempat tinggal.

    Di sisi Ulamak Syafie jika berlaku persetubuhan tidak dikenakan hukuman had ataupun ta`zir(melainkan suami tersebut tahu ttg haramnya persetubuhan itu dan berpegang dengan hukum haramn itu(lihat mughni muhtaj 3:337)(fiqh Islami-587).

    Manakala dalam mazhab lain kita ketahui,sahnya rujuk dgn perbuatan.

    Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Negeri
    S.132 (1) (2) dan (3)

    Jika sekedudukan dalam eddah dan pasangan tersebut tahu kedudukan mereka telah bercerai-suami boleh didenda 500@penjara 3 buka @ keduanya sekali

    Jika suami tau dia adalam eddah sedangkan siteri tak tahu pun yang mereka telah bercerai.berlaku persetubuhan,suami boleh didenda 1000@6 bulan penjara@ keduanya sekali.

    Jika perempuan bersubahat melakukan perkara (1) juga boleh didenda seperti suaminya iaiatu 500@3 bulan penjara @ keduanya sekali

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: