PPSMI: USAH DITAMBAH GULA DALAM GULAI DAGING YANG MASIN

Sejujurnya, saya lebih senang meletakkan diri sebagai seorang non-partisan, namun saya menyokong mana-mana yang baik, yang dianjurkan dan dicadangkan oleh mana-mana parti gerakan mahupun pertubuhan, asalkan tidak menyeleweng daripada kebenaran yang digariskan dengan jelas oleh agama saya; agama Islam.

Entri ini ditulis dengan rasa berpendirian mengenai isu Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sejujurnya, saya cukup tersentuh apabila membaca entri dalam blog rakan-rakan mengenai perhimpunan tunjuk kasih pemansuhan PPSMI. Namun dengan berpendirian juga, entri ini ditulis selepas memulaukan emosi dan menokoknya dengan rasional.

Barangkali tajuk entri ini terlalu ‘janggal’ untuk memperkatakan hubungan antara PPSMI dan gulai daging. Namun, saya anjurkan pembaca (tidak kira apa sahaja pendirian anda, mahupun ideologi politik anda, atau barangkali anda sendiri pemimpin parti, mahupun pemerintah yang bersemayam di istana), untuk membaca sambil memperhatikan analogi yang saya gunakan.

Saya pernah bertanyakan soalan ini pada rakan-rakan di tempat saya mengajar di bilik rehat; “Andai gulai daging yang anda masak terlebih masin, apa yang akan anda lakukan?”

Ada beberapa jawapan yang saya terima. Namun, jawapan pertama yang diajukan secara spontan oleh rakan-rakan ialah; “tambah gula!” Begitu guru-guru perempuan menjawab. Dan, jawapan ini memberi ruang untuk saya memperkatakan perkara sebenar yang bermain dalam kepala, mengenai PPSMI.  

PPSMI – bukan isu yang diada-adakan oleh pihak yang suka membesar-besarkan isu yang ‘kecil’ kerana pada saya, ini bukan isu yang enteng lagi remeh. Saya, sebagai orang Melayu, menepati definisi “Melayu” dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Malaysia – berpandangan PPSMI ialah satu perkara besar yang tidak wajar disendakan, mahupun dipandang sebelah mata. Dan, ini bukan lagi menjadi satu isu kepartian, namun menjadi isu ‘kebangsaan’ yang perlu dilihat dan teliti impaknya untuk jangka panjang, bukan hanya dalam satu jangka waktu apabila pelajar-pelajar sekolah menamatkan silibus pengajian sains dan matematik di sekolah.

Saya meyakini, kalian mengerti lagi sedar, bahawa objektif pelaksanaan PPSMI ialah membawa pelajar-pelajar menguasai sains dan matematik dalam ertikata yang sebenar (kerana kebanyakan bahan pengajaran ialah dalam bahasa Inggeris). Dan, secara tidak langsung, dapat meningkatkan penggunaan bahasa inggeris dalam bidang tersebut (ini ialah MATLAMAT sampingan).

Ini bermakna, tahap penguasaan sains dan matematik di kalangan pelajar belum benar-benar mantap (andai itulah sebagaimana yang didakwa) dan begitu juga dengan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Maka, ‘kelemahan pelajar-pelajar menguasai bahasa Inggeris (di sini), saya analogikan seperti seperiuk gulai daging yang dimasak, namun hasilnya tidak seperti yang diharapkan oleh tukang masak; gulai daging tersebut terlebih masin.

gulaidaging

 Lalu, apa yang perlu dilakukan? Tentu sahaja mencurah seperiuk gulai ke dalam mangkuk tandas dan mengepamnya begitu sahaja bukanlah satu tindakan yang bijak. Maka, tukang masak yang bertindak ‘kreatif’ tanpa berfikir panjang mengatakan dia mampu menyelamatkan seperiuk gulai daging masin tersebut; dengan hanya menambah gula untuk mengimbangi rasanya. (BENARKAH BEGITU? atau KITA PERLU MEMBENARKAN PENDAPAT ITU?)  

Namun, sebagai tukang masak yang daif, saya melihat begini; Menambah gula dalam gulai daging yang masin samalah seperti menambah garam – hanya akan menambah tahap kemasinannya sahaja. (jika anda tidak percaya, dipersilakan cuba atau buat sedikit ujikaji di dapur anda). Maka, apa yang akan saya lakukan?

Saya, tukang masak yang daif, akan berbut begini; biarpun langkah untuk menyelamatkan gulai daging yang masin tadi sedikit panjang (dan hasilnya tidak akan diperolehi dalam kurang seminit), dengan menggunakan beberapa cara.

Cara pertama; saya tambahkan santan dengan sukatan yang berpatutan. Namun, bukan setakat ini sahaja, kerana tujuan saya bukan hanya menghilangkan rasa masin gulai daging, bahkan cuba membaiki struktur rasanya. Maka, saya perlu tunggu sehingga gulai tersebut benar-benar mendidih sekali lagi bagi memastikan santan yang dimasukkan kali kedua masak. Ini boleh menjamin gulai daging tidak cepat basi. Dan di sini, saya mungkin juga perlu menambah asam keping (atau air asam jawa) untuk imbangkan rasanya.

Cara kedua (katakanlah sudah tiada lebihan santan); saya tambahkan air panas yang sudah mendidih. Kenapa saya tidak tambah air sejuk atau air paip sahaja? Kerana suhu air yang ditambah perlu sama dengan suhu gulai daging yang masin tadi. Jika sebaliknya, anda hanya akan lebih merosakkan gulai, bukan ‘membaikinya.’ Seperti langkah di atas, saya mungkin perlu tambah asam keping atau air asam jawa juga. 

Cara ketiga; saya masukkan kentang yang dipotong, memandangkan bukanlah sesuatu yang janggal memasukkan potongan kentang dalam gulai daging atau ayam. Tujuannya, kentang tadi boleh menyerap rasa masin gulai, dan secara tidak langsung anda menambah ramuan baru yang sedikitpun tidak mencacatkan struktur rasa gulai tersebut, bahkan lebih menyedapkan

Hal gulai-menggulai di dapur bukan matlamat pokok entri ini. Namun, analoginya begini; jika pelajar-pelajar belum mantap dalam penguasaan sains dan matematik, soalan pertama saya; adakah medium pengajarannya dalam bahasa Inggeris membawa kepada satu ‘keperkasaan’ dalam pemahaman pelajar-pelajar?, dan soalan kedua saya; kenapa ‘diganggu’ pengajian sains dan matematik, kenapa tidak diperkasakan struktur dan silibus mata pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri? Saya percaya, pada cendekiawan dan pihak atasan kementerian berkaitan boleh mengemukakakan dan melaksanakan banyak cara untuk memantapkan kokurikulum bahasa Inggeris. Banyak alternatifnya; mewajibkan sastera Inggeris, mewajibkan kursus-kursus tertentu berkaitan bahasa Inggeris seperti mewajibkan PLKN? Terpulanglah, asalkan tujuannya memperkasa silibus bahasa Inggeris bagi membantu penguasaan bahasa tersebut.

Asalkan tujuannya menghilangkan masin gulai daging, membaiki struktur rasa, menyelamatkan gulai daripada membazir, menyedapkan, bahkan membolehkan gulai disimpan lama. Bukan dengan cara singkat; menambah gula.

Benar, pelajar-pelajar boleh memilih untuk menjawab peperiksaan dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu. Kertas soalan diberi dalam dwi-bahasa. Namun, adakah pelajar juga diberi pilihan sama ada untuk mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu? Andai dari awal inti sains dan matematik itu sendiri tidak dikuasai, berilah pilihan bahasa apa sekalipun (termasuklah menjawap dalam dialek kedaerahan), pelajar akan tetap tidak mampu menjawapnya. Bagi yang sudah mengusai bahasa Inggeris, mungkin ini bukan masalah besar. Namun, bagi yang tidak menguasai bahasa Inggeris, yang tidak menguasai banyak perbendaharaan kata, yang tidak menguasai nahu bahasa Inggeris…(?)

Barangkali (biarpun mungkin tidak semua) menteri-menteri punya tukang masak sendiri. Dan, saya pasti, di istana tempat bersemayamnya payung rakyat juga begitu. Barangkali, tukang-tukang masak ini terlalu terlatih sehinggakan tidak pernah tersalah memasak gulai daging yang masin seperti Si Labu dan Labi tersalah menghidang buat Tuan Haji Bakhil.

Saya sedar, menguasai bahasa Inggeris tidak kurang pentingnya. Namun, mengusai bahasa Inggeris sahaja tidak cukup berjaya andai ini ‘melemahkan’ pemahaman pelajar terhadap teori sains dan formula matematik dari asasnya. Seperti anda menyuruh seorang murid darjah dua menghafal sifir – ya, dia akan mengingati setiap sifir yang dihafal bak si Siti Sifir, namun adakah anak tersebut benar-benar memahami konsep penggandaannya? (atau main hafal?)

Empat daripada adik beradik saya (termasuk ipar) bertugas sebagai guru, dan saya menerima maklumat secara langsung tentang hal pembelajaran dan impaknya pengajarannya kepada murid. Anak saudara saya di sekolah menengah kerap bersendiri dan bermurung dalam bilik, dan suatu hari menangis-nangis menghumban kamus dan buku-buku matematik ke dinding; kerana tidak mampu memahami apa yang dipelajari. Apabila saya cuba menerangkan dalam bahasa Melayu, barulah anak itu mengangguk-angguk. Seorang guru (mengajar matematik) di sekolah kakak saya di masukkan ke hospital akibat tekanan kerana murid-muridnya tidak dapat memahami dan mencerna apa yang diajarnya dalam bahsa Inggeris, dan saya yakin guru ini terlalu ikhlas dalam kerjayanya. Salah seorang abang saya (mengajar Matematik) di pedalaman Sarawak; bayangkan sendiri tahap ‘melongo’ anak-anak etnik di Sarawak yang tidak menguasai bahasa Inggeris tapi perlu menguasai formula dan teori sains dan matematik (biarpun tidak semua). Bagaimana kalian dapat tiba di kuala andai perahu yang kalian dayung menyusur selut di air tohor sejak di hulu? 

 

Saya hanya tukang masak yang daif, saya pemerhati yang sederhana. Namun, saya berpendirian menyatakan sokongan untuk pemansuhan PPSMI. Kerana saya sayangkan anak-anak bangsa saya, kerana saya sayangkan bahasa saya yang menjadi tunjang budi dan identiti bangsa saya.

Anda mungkin kata begini; “Dalam isu ini, saya berpihak pada government.” Terpulanglah, asalkan anda bukan menilainya dari kaca mata ideologi politik, namun dari minda yang rasional.

Di sini; bukan saya membangkang aspirasi kerajaan, tetapi kerana saya mahu menyelamatkan ‘gulai daging yang masin’ tadi. Jika sistem perlembagaan negara kita mengamalkan dasar check and balance, maka tidaklah salah (saya kira) andai saya analogikan begini; biarlah kami orang marhaen yang kasihkan kualiti pemahaman anak bangsa dalam sains dan matematik, yang memandang serius kualiti pendidikan anak bangsa, dan kualiti tunjang budi anak bangsa – sebagai pengimbangnya.

Salam hormat;

Nasriah Abdul Salam

 

 

Nota: Saya mengalu-alukan sebarang komen membina dan berasas.

 

Gambar dikreditkan:  http://www.jphpk.gov.my/

10 Komen (+add yours?)

  1. alangtengahbirukundang
    Mar 17, 2009 @ 14:10:12

    Saya sendiri seolah-olah tidak percaya kerajaan yang menjadi pilihan rakyat untuk memegang amanah memimpin kita berpendirian begini dalam menentukan halatuju perlaksanaan dasar pendidikan negara kita… Pendeknya akal mereka!

    Suka saya ulang ucap reaksi bapa saya seorang pesara guru apabila saya tanyakan pendapatnya berkenaan PPMSI:
    “MENGARUT JE SEMUA TU!”

    Balas

  2. zaidakhtar
    Mar 18, 2009 @ 01:45:50

    Halus juga kias Cik Nas.🙂

    Balas

  3. syarifahzulikha
    Mar 20, 2009 @ 10:12:52

    salam nurani & salam singgah, knas.knas apa khabar?dah lupa kat saya,ya..silalah juga jenguk2 ke blog sy.bersama komentar juga ya..much obliged!

    Balas

    • puteribongsu
      Mar 20, 2009 @ 17:01:56

      Syarifah, tidak pernah lupa, masakan.

      insyallah, kak nas akan menjenguk selalu jika berkelapangan berlama-lama depan komputer.

      terima kasih kerana bertamu.

      Balas

  4. zaidakhtar
    Apr 01, 2009 @ 06:19:32

    PPSMI atau PPMSI?

    Balas

  5. fazli
    May 05, 2009 @ 05:38:53

    Saya adalah salah seorang daripada puluh ribuan yang menyokong PPMSI. Izinkan sy menjawab setiap persoalan dalam nukilan Kak Nas dengan sebaik mungkin. Bukannya saya hendak menidakkan pendapat Kak nas kerana dalam perbincangan yang penting adalah isinya..

    1. “Jika pelajar-pelajar belum mantap dalam penguasaan sains dan matematik, soalan pertama saya; adakah medium pengajarannya dalam bahasa Inggeris membawa kepada satu ‘keperkasaan’ dalam pemahaman pelajar-pelajar?”

    “Bagaimana cara paling cepat dan berkesan untuk belajar berenang? Campakkan sahaja ke dalam kolam renang” Jawab pak cik saya. Dan Alhamdulillah saya tahu berenang kerana dari kecil saya telah dicampak ke tempat paling dalam di kolam renang, sungai dan laut (tetapi masih dalam pengawasan orang dewasa pada waktu itu).

    Walaupun PPMSI dilaksanakan secara terburu-buru tetapi kita kena lihatnya secara meluas. Kadang-kadang kita kena memaksa diri kita untuk meninggalkan zon keselesaan kita untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dari sekarang. Apabila kita diasak dengan ketidakselesaan atau cabaran kita mesti memilih 3 pilihan ini

    1. Kita tempuhi, redahkan aja.. Berusaha, berdoa dan berserah pada Tuhan.
    2. Tak mahu tempuh sebab kurang yakin dengan diri, banyak sangat alasan tercipta.
    3. Buat tak tahu je, Biarlah kubur masing-masing

    “Banyak alternatifnya; mewajibkan sastera Inggeris, mewajibkan kursus-kursus tertentu berkaitan bahasa Inggeris seperti mewajibkan PLKN? Terpulanglah, asalkan tujuannya memperkasa silibus bahasa Inggeris bagi membantu penguasaan bahasa tersebut.”

    Sebenarnya untuk memahami bahasa Inggeris secara lebih mendalam bukanlah setakat memperkasa silibus di sekolah tetapi hendaklah selalu digunakan sepanjang masa. Untuk pengetahuan umum sebenarnya silibus Inggeris sekolah di Malaysia adalah antara silibus yang terbaik di dunia. Tapi silibus yang baik tanpa perlaksanaan yg jitu juga satu hal.

    Maaflah kalau pendapat saya ni macam tergantung disebabkan kelembapan minda di awal pagi..

    Balas

    • puteribongsu
      May 12, 2009 @ 17:03:09

      saudara, saya gemari dan hargai komen saudara.

      erm, ajar berenang main aci campak dalam air? mana satu kemungkinan yang besar akan berlaku, sama ada dia akan lemas, atau akan berjaya berenang ke tepian?

      Balas

      • Führer
        May 18, 2009 @ 04:30:14

        fazli,

        PPSMI bukannya ibarat mencampak ke dalam kolam renang,ia lebih tepat lagi mencampakkan ke dalam kolam renang sambil memanjat pokok durian.

        PPSMI hanya membolehkan pelajar berenang(belajar BI) tetapi langsung tidak boleh panjat pokok durian(belajar sains dan matematik).Akhirnya jadilah masyarakat kita sama seperti negara mundur lain seperti Filipina.Harap BI je bagus,matematik dan sains kosong.Doktor dan jurutera yang bekerja di Filipina pun semuanya diimport dari luar.Itu yg anda mahu?

  6. areque93
    May 18, 2009 @ 02:12:55

    saya sebenarnya pun kurang setuju dgn pndapt k.nas tu.bg saya…tidak ada salahnye jika kite apply PPSMI tu kerana ia bukan menambah keburukan kpd pelajar2 tapi untuk kepentingan di masa akan datang..selagi kite tidak lupe bahasa ibunda kita kita sbg bahasa kebangsaan, tidak menjadi masalah..apa2pun..terpulang..setiap org die punya buah fikiran dan kritikan sendiri..
    wassalam yea..

    Balas

  7. anak jati johor
    Aug 31, 2009 @ 16:26:44

    wau…isu panas….ok sebenarnya tak ada yang kalah, tak ada yang menang dalam isu ini…isu ni ada pro dan kontra..yang senang kepada guru yang mendapat pelajar yang hebat dalam english mereka…dan yang susah apabila terpaksa mengajar pelajar kelas hujung-hujung.sebagai seorang guru, saya juga berpengalaman dalam hal ini.tapi sebelum kita nak masak gulai, apa yang penting, kuali dan bahan2 yang nak dimasak gulai mesti ada dan terpulang kepada tukang masak..dia nak masak untuk diri sendiri atau untuk majlis orang ramai…kalau orang ramai tak suka dengan masakan dia,jangan ikut selera sendiri…mudah kan?

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: