HARI-HARI YANG LURUH PADA DAHAN CATATAN YANG KIAN RONTOK

Kali terakhir ujana saya dikemas kini ialah tahun 2008, dan kini apabila masuk tahun baru, barulah sempat saya masukkan entri ini. Sekadar memenuhi ‘singgulan’ rakan-rakan yang mengingatkan blog ini sudah bersawang.

Bukan menunda, namun saya benar-benar kesuntukan masa hingga tidak terasa bulan Januari juga dah berlalu. Boleh dikatakan, apabila menjengah tahun baru, maka aktiviti dan kehidupan saya juga jadi ‘baru.’ Bulan lepas, saya ke UIAM untuk urusan graduasi. Alhamdulillah, beberapa perkara sudah diselesaikan, dan secara rasminya, saya sudah boleh digelar ‘graduan.’

Langkah seterusnya?

Dahulu, selepas SPM, emak ayah bukan hanya menyarankan, bahkan meminta saya belajar dalam bidang perundangan. Alasannya, agar saya dan kakak (seorang peguam) boleh berada di bawah satu bumbung firma adik-beradik. Saya hormati permintaan emak ayah biarpun dalam hati ketika itu ‘memberontak’ untuk belajar dalam bidang Psikologi. Dalam ‘dilema’ ini, saya cuba contohi Allahyarham Sudirman – beliau menamatkan pengajian bidang perundangan atas kemahuan ibu bapa biarpun beliau begitu mahu jadi penyanyi. Dan apabila tamat belajar, ‘kerja’ menyanyi beliau ‘menjadi-jadi’ bahkan beliau lebih berjaya dalam bidang nyanyian berbanding bidang guaman.

Dan, kini, saya kira saya sudah melalui rintis yang sedikit ‘terpisah’ dengan mahkamah dan bidang guaman. Ketika saya utarakan pada emak ayah bahawa saya mahu masuk ke bidang pendidikan pula, ada yang ‘membantah.’ Namun, kedua-duanya merestui, tatkala saya nyatakan pada kedua-duanya; izinkan saya pilih laluan yang beri saya kepuasan dalam bekerja pula selepas saya dahulukan kemahuan emak ayah sepanjang zaman pengajian. Langsung tiada maksud untuk mengungkit, apalagi menyesali, namun saya percaya kerja yang dilakukan dengan ‘kegembiran’ dan atas dasar minat akan lebih memberi hasil biarpun kelelahan. Dan hasil itu, biarlah pula bergandingan dengan restu emak ayah.

Alhamdulillah, saya kini dalam bidang pendidikan, dan saya kira saya lebih sukai bilik darjah berbanding kamar mahkamah biarpun terdetik kemahuan untuk memiliki pengalaman berhadapan dengan hakim. Ya, saya dipanggil cikgu, atau tepatnya lagi, dipanggil ‘cikgu Sejarah’ dan ‘cikgu Geografi’. Apa yang boleh saya katakan, saya seronok dengan kerja ini. Seronok melayan murid yang banyak kerenahnya.

Pernah, ketika saya sergah seorang pelajar yang menguap besar dan mengejip-ngejip mata; “Hah, kamu mengantuk?”

Kalian tahu apa yang murid itu jawap?

Katanya dengan terlalu selamba; “Bukan, ini senaman mata, cikgu.” Ketika itu saya hanya tahan tawa dengan berpura-pura jegil mata, dan teringat, barangkali inilah perasaan guru-guru saya tatkala melayan kenakalan saya ketika di sekolah dahulu. Pun, saya tetap gembira.

Kerja mengajar bukan kerja lenang. Kini, baru boleh mengerti sendiri bagaimana perasaan guru yang mahu lihat murid-muridnya berjaya, barulah boleh lalui sendiri debar seorang guru apabila musim ujian semakin hampir. Memang, melayan murid memang memenatkan, pun, saya tetap gembira, dan doakan murid-murid saya berjaya.

Biarpun begitu, masih sempat saya luangkan masa dengan aktiviti sastera dan penulisan. Seringnya, apabila hujung minggu atau di luar waktu pengajaran. 31 Disember / 1 Januari lalu, malam tahun baharu disambut di ASWARA dalam majlis Malam Genta Puisi ASWARA – PENA yang bertemakan sambutan tahun baharu Hijrah 1430 dan 2009. Sejujurnya, inilah pengalaman pertama saya menyambut tahun baharu (dalam erti kata sambutan).

Warkah Hijrah Dari Hati yang Pecah

Uniknya, beberapa minit sebelum pukul 12 malam, penganjur dan hadirin berselawat sebelum majlis potong pulut kuning. Dalam majlis itu, saya bacakan puisi ‘segera’ yang berjudul Warkah Hijrah Dari Hati yang Pecah.

Warkah ini terlalu ringkas, Tuhan

Untuk bercakap tentang seribu makhfi dan makrifat

Isinya sudah lama kupendam dalam hati yang pecah

Dan kini, meluruh bersama hujan

dari langit iman yang sering mendung.

Juga, 31 Januari lalu, saya penuhi undangan Kelab Puisi UIAM sebagai pemudah cara dalam bengkel cerpen. Sekitar 30 orang peserta yang hadir untuk pendedahan awal penulisan cerpen dan mengenali apa itu sastera yang ‘vitamin C – yang dikupas segar dari ladang.’

Terima Kasih, buat pengerusi Kelab Puisi UIAM; Encik Azree

Saya sering gunakan analogi ini untuk membanding sastera kita yang tujuannya untuk mendidik berbanding dengan ‘sastera’ yang dihidangkan kepada masyarakat untuk tujuan laba semata-mata. Untuk mendapatkan vitamin C daripada sebiji oren, mana yang anda mahu pilih – yang segar dari ladang atau jus oren dalam peket segera, yang pada jadual nutrisinya juga turut dinyatakan ‘kandungan’ vitamin C?

sebahagian peserta

Mudah-mudahan, makin banyak pelajar-pelajar UIAM yang menulis atas inisiatif Kelab Puisi.

Esoknya, 1 Februari, atas undangan keamanan, saya ke majlis Baca Puisi Di Bawah Langit Gaza, anjuran PENA, Yayasan Salam dan TV9. Ramai yang hadir dalam majlis ini, termasuklah wakil kedutaan. Sayangnya, saya tidak dapat berlama-lamaan memandangkan keesokkannya (Isnin) saya bekerja.

Biar Zaitun Kembali Rimbun

Namun begitu, saya hargai usaha penganjur dalam usaha ini, dan rangkap-rangkap puisi Biar Zaitun Kembali Rimbun dibaca. Sejujurnya, puisi tersebut dicipta dengan separuh hati saya dihentak hiba dan separuh lagi dipenuhi amarah.

menandatangangi kain rentang sokongan buat Palestin

Dan, puisi itu ditulis tatkala mengingatkan seorang teman yang pernah berjanji untuk mengajak saya berziarah ke kebun zaitun milik keluarganya di sana. Sayang sekali, persahabatan kami kini berjarak, dan dalam keadaan yang bergolak sebegitu, saya tidak akan berkecil hati andai janji itu tidak tertunaikan. Cukuplah andai beliau hadir sebagai sahabat yang memaknakan ‘keberanian’ untuk saya terus ke hadapan.

tanda tangan 'Khairunnasriah' dengan tulisan STOP THE WALL!

STOP THE WALL!

Barangkali, inilah saya, hanya mampu mencatat puisi untuk Palestin, hanya mampu menghantar doa, hanya mampu meminggirkan barangan israel dan amerika. (Nota: nama ‘negara’ tersebut sengaja ditulis dengan huruf kecil). Buat kalian yang membaca catatan ini, barangkali usaha kita kecil pada mata dunia, namun setidak-tidaknya, biarlah kita menyumbang.

Kami rindukan pertamuan ke kebun itu seperti dahulu

Ketika anggur yang kalian peram tidak pernah memabukkan

Dan, syai yang kalian hidang belum berbaur hanyir.

Sungguh saudara, kami rindukan teduhan zaitun kalian

ketika anak-anak yang menagih halwa tidak pernah mengenal Mickey –Minnie

namun tekal berlari atas kerikil taburan menteri,

dengan berani menyeru “Al-Ayyubi! Al-Ayyubi!”

Salam kasih sayang, yang bersejagat;

Nasriah Abdul Salam

19 Komen (+add yours?)

  1. Zana
    Feb 08, 2009 @ 02:34:48

    salam,
    murid yang bersenaman mata tu cerdik, jadi dia wajar pantas dibidik. Sasaran: Manusia cerdik lagi terdidik.

    Warkah Hijrah dari hati yang Pecah – ah, indah!

    PPKPMM dalam MM 080309 tahniah!

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 10, 2009 @ 12:47:49

      Kak zana, begitulah…anak bangsa yang perlu dididik.

      kak zana, terima kasih atas ucapan (malu weh segho ko kak zana…oghe hebat ucap tahniah ko kito..)

      Balas

  2. anuar manshor
    Feb 08, 2009 @ 04:27:50

    Tahniah cerpen tersiar di akhbar!

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 10, 2009 @ 12:45:59

      Saudara Anuar, terima kasih banyak….cerpen yang ‘kalut’ dan entah apa-apa…harap sudilah tuan editor berikan komen ya!

      Balas

  3. hasmora @ ustazlah
    Feb 08, 2009 @ 07:23:45

    Assalamualaikum Cikgu, ^_^

    Wah.. tak sangka rupanya minat jadi cikgu rupanya.. ingatkan jadi peguam dah lepas ni.. oo ya.. jgn ambik hati usikan sdr Zarif malam puisi PENA itu malam ya.. er.. anggaplah tandatangan saya di sebelah tu kebetulan semata-mata ye.. alah yang nampak kepala huruf ‘Ha’ tu lah..

    Selamat memanusiakan manusia ye cikgu Nasriah.. dunia pendidikan zaman ini penuh onak cabaran yang baru-baru setiap hari.. jadi guru agama lagilah.. tak sabar nak jejak kaki ke sekolah sbg guru secara rasmi.. tak lama lagi.. kini hanya hitung hari.. berdebarnya rasa.. dup dup..wuh..

    Salam sastera dan perjuangan bahasa ibunda,

    Hasbullah Haji Mohamed Abdul Rahman

    Balas

  4. hartini omar
    Feb 10, 2009 @ 01:44:54

    aduhai kak nas…

    -indah, macam kak juga! mengajar? mengapa lambat saya maklum? terjawab sudah mengapa kak nas sibuk memanjang. sudah jadi ‘cikgu’ rupanya sebagai ganti peguam

    syabas kak. sentiasa saya mendoakan

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 10, 2009 @ 12:50:17

      hehe….entahlah, tapi akak rasa dunia mendidik ni lah yang paling rasa dengan jiwa (setakat ini, selain penulisan)…jadi, biarlah akak tak stress walaupun akan penat. insyallah, doakan akak, dan akak mendoakan anda juga..🙂

      Balas

  5. puteribongsu
    Feb 10, 2009 @ 12:34:25

    Saudara Hasbullah, saya bukan setakat tidak ambil hati, bahkan tak fahampun apa yang kalian berdua perkatakan & maksudkan. (saya kadang-kadang lambat ‘pick up’).

    Oh, itu tanda tangan awak ke? hehe, silap rakam dan masuk blog pulak ni🙂

    dup dup? wah, apakah gerangan debaran itu?

    saya seromok mengajar, saya suka mengajar. biarlah saya mengajar murid dan biarlah rakan-rakan sekuliah saya mengajar klien. kita berbagi tugas dan amanah

    Balas

  6. hasmora @ ustazlah
    Feb 10, 2009 @ 23:30:33

    Assalamualaikum cikgu,

    Ooo ya.. tertinggal ucapan tahniah untuk Pencinta Putih Kelir, Pewaris Merah Muleta. Bonda Zaharah pun ada buat cerpen pasal matador ni, apa dah tajuknya; Lembu Jantan dan Gadis Matador ke.. dan tak sangkanya juga kita berkongsi halaman sastera budaya hari tu..kebetulan saja kan.. di blog saya pun saya ada letak jugak sign saya tuh.. dan ada nampak sign cik Nas sikit..hehe.. ok, selamat menjalankan tugas Cikgu!

    Salam hormat.

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 11, 2009 @ 05:41:10

      Waalaikumussalam, murid-murid… (hehe)
      terima kasih buat ucapan tersebut. segan ambo, cerpen ntah hapo-hapo gitu.
      tahniah juga untuk puisi saudara di gebar yang sama. moga terus menulis, moga kita sama-sama terus menulis.

      salam hormat, tuan.

      Balas

  7. Najibah
    Feb 11, 2009 @ 02:53:57

    Menarik cerpen Nasriah – matador dan pemain wayang kulit, ada persamaan yang mengasyikkan.

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 11, 2009 @ 05:28:54

      Kak Najibah yang dihormati,
      terima kunjungan kak najibah ke ujana ini dan ucapan ‘tahniah’ itu amak memaknakan.
      terima kasih banyak-banyak kak…

      salam sastera.

      Balas

  8. ilham.hafiz
    Feb 11, 2009 @ 12:43:33

    salam…

    kak nas,
    tahniah atas cerpen yang tersiar… dan ilham nak ucapkan terima kasih banyak2 atas ilmu yang dicurahkan secara langsung atau tidak langsung… semoga akak lebih sukses… amin. ilham doakan kebahagiaan dan kejayaan akak…

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 12, 2009 @ 01:32:31

      Hafiz, itu tanggungjawab akak, jadi usah berterima kasih, terima kasih banyak kerana mendoakan akak..
      dan akak pun sama, doakan hafiz berjaya juga dunia akhirat. amin ya rabb!

      Balas

  9. shim bee
    Feb 12, 2009 @ 18:38:31

    kak nas yang berjiwa halus

    Balas

  10. alangtengahbirukundang
    Feb 16, 2009 @ 15:06:49

    Wah, cik nas dah ada protege sekarang… ramaaai pulak tu..! baguslah, lepas ni boleh tulis e-book, jual online, dapat income!

    Balas

  11. puteribongsu
    Feb 18, 2009 @ 01:32:08

    Encik razwan,
    protege?
    hadui..beratnya tanggungjawab tu abang oi…

    Balas

  12. anisd
    Feb 23, 2009 @ 10:44:48

    saya ada daftar ke bengkel puisi tersebut..

    tapi gagal hadir kerana ada hal yang lagi penting di Melaka (bersama Mun, Yong & Ika..)

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: