2 JAM SEBELUM SULTAN ALAUDDIN SYAHID DIRACUN – Dari Pandangan Jujur Penonton Biasa yang Duduk Di Kerusi Hadapan

Sudah terlalu lama saya tidak menulis resensi dalam blog ini. Sebelum pulang cuti pertengahan semester beberapa minggu lalu, saya berkesempatan menonton teater 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun, karya Faisal Tehrani dan arahan Dr. Abu Hassan Hasbullah di Auditorium Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

 

Saya bukan orang sastera tulen, mahupun orang yang bergiat aktif dalam penulisan skrip pentas, bahkan jauh sekali bergelar orang teater. Oleh itu, entri ini ditulis berdasarkan pemerhatian saya sebagai penonton biasa yang duduk di kerusi paling hadapan dalam auditorium. Secara ringkasnya dan secara jujurnya, tulisan ini dicatat melalui pemerhatian saya terhadap dua perkara, iaitu i) pemerhatian terhadap teks atau skripnya ii) lakonan dan pelakonnya.

 

Pernah dengar atau menonton ‘cerita dalam cerita?’ Ya, begitulah perjalanan teater ini biarpun sangkaan awal saya, teater ini akan bergerak sebagai sebuah cerita mengenai pembunuhan Sultan Alauddin semata-mata. Rupanya tidak, teater ini dimulai dengan monolog-monolog panjang sebelum ‘kemuncaknya dan kesudahannya’ berpadu menjadi satu dalam babak perbualan dendam Tun Senaja dan dialog-dialog menyentuh hati Sultan Alauddin yang mewaraskan tindakan pentadbirannya di Melaka dalam ‘nazak’ melawan racun yang sudah menguasai perjalanan darah baginda. (sungguh, saya sukar lupakan dialog baginda kepada Tun Senaja dalam nafas yang mulai sesak dan separuh merayu; “hulurkanlah penawar itu, dinda.”)  – dan, sungguh, hati Tun Senaja terlalu keras kerana sanggup melihat suaminya mangkat perlahan-lahan di depan mata sendiri biarpun Sultan Alauddin (dalam dialognya) berharapkan agar Tuhan mengampunkan dosa permaisurinya itu. (Ini antara dialog dan babak yang buat saya termenung dalam perjalanan pulang ke UIA dan kuat ‘meracau-racau’ dalam ingatan.)

 

Disebabkan perjalanan tetater ini ialah ‘cerita dalam cerita’ maka ada pelakon yang memegang lebih daripada satu watak. Misalnya, dalam ‘dunia realiti,’ Robani Hassan memegang watak Azam (iaitu seorang pelakon teater dalam babak-babak monolog) dan dalam masa yang sama turut berperanan sebagai Sultan Alauddin dalam teater yang diarahkan oleh Pengarah Hadhari (Meero Akungantaro).

 

Dari segi persembahan teks/skrip, (pada pandangan penonton biasa seperti saya), beberapa skrip dalam babak-babak tertentu ‘bergerak’ sedikit cepat sehinggakan saya sedikit ketinggalan dalam mendengar, menonton dan dalam masa yang sama berfikir. Misalnya, ketika Azam (Robani Hassan) berbicara mengenai kemungkinan wujudnya elemen favoritism dalam penulisan Sejarah Melayu (dalam babak kedua teater, seingat saya), dan skrip yang ditulis turut membanding penulisan sejarah dengan menyebut tahun-tahun tertentu seolah-olah memberi ‘kuliah’ sejarah – penaakulan saya sedikit ketinggalan ketika itu. Rugi sekali, kerana pada saya, dialog itu merupakan satu suntikan penting yang wajar diingati oleh penonton, atau setidak-tidaknya boleh memberi sedikit input untuk difikirkan oleh penonton. (atau selebihnya membuat rujukan dan penyelidikan lanjut tentang itu).

 

Oleh itu, pada pendapat saya, menjadi satu ‘keuntungan’ pada pihak penonton andainya dialog atau babak yang ‘mempersoalkan’ penulisan Sejarah Melayu itu berdiri dengan sendiri dan berjalan dengan perlahan dalam satu babak berasingan. Misalnya, mungkin boleh diwujudkan satu babak di mana penulis skrip sedang membuat penyelidikan, menyelongkar maklumat itu dan ini dan berbincang dengan rakan penulisnya bagi mencipta skrip 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun. Dan dalam babak ini, pelakon (yang melakonkan watak penulis skrip teater) boleh tampilkan perbincangan dan membandingkan itu-ini, dan saya kira perjalanan lakonan yang sedikit perlahan (berbanding cara Azam menyampaikan ‘syarahan’ pendeknya) lebih membuka peluang untuk penonton memperbandingkan input yang disampaikan melalui dialog, dan dalam waktu yang sama juga turut berfikir. (hal ini tentu tidak penting andai lakonan boleh diundur dan dimainkan semula seperti VCD)

 

Andai ada babak ‘perbincangan’ antara Azam (Robani Hassan) atau Maya (Zack Idris) dengan tukang busana misalnya, kenapa babak ‘perbincangan’ penulis skrip tidak boleh diadakan. Bahkan, mungkin lebih menarik kiranya penulis skrip teater ini (Faisal Tehrani sendiri) turut muncul dalam babak tersebut. Juga, saya kira tidak janggal, kerana pengarah teater ini sendiri (Dr Abu Hassan Hasbullah) turut muncul ‘menegur’ kredibiliti atau cara pengarahan Pengarah Hadhari. – ditegaskan, ini sekadar pandangan peribadi saya.

 

Menonton teater ini, saya sedikit ‘terganggu’ dengan babak/dialog yang kerap menyinggul keadaan politik tanah air biarpun ada antaranya yang releven. Bahkan, saya jadi ‘kurang selesa’ apabila ketika asyik memerhati dan mendengar dialog-dialog yang bernas berisi tetapi dalam masa yang sama terganggu dengan kehadiran watak yang membawa kelucuan. Antara serius mendengar dan berfikir tetapi dalam masa yang sama ada sesuatu yang mencuit hati menjadi ‘gangguan’ terhadap tumpuan, nyata sekali merimaskan dan apa yang saya fikirkan sebentar tadi entah melayang ke mana-mana. Humor ada ketikanya diperlukan, namun selitan beberapa babak ‘komedi’ yang tertentu yang kerap menyinggung dengan perlakuan (bukan skrip) seolah-olah menjadi ‘gula’ yang tidak memaniskan. (yang ini saya tidak mahu ulas panjang).

 

Dari segi lakonan yang dipersembahkan oleh pelakon-pelakonnya, saya kira semua watak dihidupkan hampir sempurna. Rudy Bluehikari, misalnya, membawa watak yang ‘menakutkan’ hingga saya bisik pada Ghafirah, “kalau orang yang cegil mata sebegini yang aku jumpa di luar, tentu aku tak buang masa untuk menjerit tapi terus pecut lari.” Juga, watak pembantu di lokasi sebagai orang yang dibuli (dan saya menambah, turut diganggu dari segi seksual) begitu-begitu berjaya. Anda begitu berjaya meraih simpati ketika Azam minta dibelikan rokok dan teh tarik, dan dalam masa yang sama berjaya bikin kami ‘menyampah’ pada Azam biarpun kami sebagai penonton masih tergelak-gelakkan ‘kenaifan’ anda.

 

Juga, watak Azam (Robani Hassan) sebagai pelakon teater yang ‘kerek’ sempat ‘meloyakan’ dan ‘dimuntahi’ oleh saya dalam hati, terutamanya bab anda memarahi teman wanita dan kemudian memujuk teman wanita melalui telefon – namun, itu sebenarnya satu pujian kerana ini membuktikan lakonan anda berjaya ‘dikeji’ oleh kami di barisan hadapan. Juga watak Sultan Alauddin berjaya dihidupkan dengan baik, terutamanya apabila dialog “Demi Tuhan Kaabah” diseru berkali-kali sempat meremangkan roma. (Tahniah, peralihan daripada persembahan di atas trek ke persembahan di pentas nyata sekali tidak janggal).

 

Namun, watak yang dibawakan oleh Zack Idris (sebagai Maya) tidak begitu menyerlah, dan saya kira Maya perlu lebih ‘gemalai’ sesuai dengan watak ‘gediknya’ yang menghadapi gosip itu-ini sebagaimana yang dilaporkan dalam majalah (dalam teater itu). Biarpun begitu, ini bukanlah satu ‘kecacatan’ besar memandangkan watak Maya dilakonkan oleh orang lelaki, (pendekatan yang sangat waras oleh penulis skrip dan pengarahnya, yang ini saya puji!) dan barangkali, pelakonnya boleh buang misai untuk memegang watak-watak perempuan dalam teater lain pada masa hadapan. Pun begitu, watak Tun Senaja ‘hidup’ dan ‘tidak cacat’ dalam sandangan anda yang melakonkan watak bertentangan dengan gender sendiri!

 

Pengarah Hadhari, sejak awal beliau dipentas saya rasakan beliau ‘cool’ dan tidak begitu menonjol sebagai pengarah teater. Namun, kehadiran mengejut Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai pengarah teater ini seakan-akan ‘membaiki’ kredibiliti Pengarah Hadhari dalam kerjayanya dan ini seolah-olah membuatkan saya ‘memafkan’ anda. Bahagian ini begitu unik – tahniah Dr Abu Hassan Hasbullah, yang mengarah pelakon-pelakonnya supaya “be in character!”

 

Keseluruhannya?

 

Cukuplah andai saya katakan, saya masih mahu beri ‘A’ untuk teater ini.  

 

Tahniah buat penulis skrip, tahniah buat pengarah, tahniah buat pelakon-pelakon, dan tahniah juga buat penonton.

 

 

Kata Azam dan Maya kepada tukang busana (watak Rosmah) dalam dua babak berasingan: Hei, engkau tak berasa hairan ke, kenapa seorang permaisuri sanggup meracuni suami sendiri? kenapa bukan orang lain? (renung-renungkan…)

 

 

 

* Maaf andai ada dialog yang dipetik bukan seperti skrip asal memandangkan saya hanya mencatat dalam ingatan kerana tidak mahu mengganggu diri sendiri mencatatnya di buku sepanjang menonton.

18 Komen (+add yours?)

  1. Trackback: Kritikan Dari Situs Nasriah Abdul Salam « 2 JAM SEBELUM SULTAN ALAUDDIN SYAHID DIRACUN
  2. sheikh maulana
    Sep 15, 2008 @ 23:45:05

    sy mmg peminat novel faisal tehrani.dan juga suke membaca dan berfikir mengenai komen beliau mengenai politik negara.cube bace entry baru yg ditulis hari nie.sy suke beliau menegur kepimpinan Pas yg terlalu taksub dgn anwar…

    Balas

  3. armadrafar
    Sep 16, 2008 @ 00:24:42

    ERMMM…. BAGUZ GAK SKRIP TEATER NIE… NMPAK SMART N CLEAN…. JUJUR AR BEB…. HEH HE…

    Balas

  4. Kak Rai
    Sep 16, 2008 @ 03:34:15

    Teater ini satu refreshment kepada peristiwa sejarah yg saya kena study waktu menyiapkan animasi tentang kesultanan Melayu Melaka.Jadi saya takde masalah utk follow.Cehhh!

    Tun Ali kahwin dgn Tun Kudu (setelah peristiwa ‘pembelian isteri dari sultan’ yg dahsyat dlm sejarah). Depa dapat anak 3 org-Tun Mutahir, Tun Tahir dan Tun Senaja. Tun Senaja ialah mak Sultan Mahmud, the last sultan of Melaka. Tun Mutahir ialah bapak Tun Fatimah. Sultan Mahmud sanggup bunuh keluarga pak menakan sendiri coz nakkan Tun Fatimah.

    DEpa ni memang takda kerja lain.Bunuh org jeee!Tak kuasa mak!

    Balas

  5. puteribongsu
    Sep 16, 2008 @ 03:44:39

    Sheikh Maulana;
    saya ucapkan terima kasih bagi pihak FT

    Armadrafar,
    oklah tu beb!😀

    Kak rai,
    bunuh-membnuh ni bukan kerja sekarang aje. dah berzaman. jadi model pun mati kena bunuh, tak jadi model pun mati kena bunuh.

    (mak pon tak kuasa nyah!)

    Balas

  6. rudy
    Sep 16, 2008 @ 06:10:48

    terima kasih kerana pandangan yang saya kira cukup baik dan muluk. Terima kasih sudi menonton teater ini. Jazakallah.

    Balas

  7. puteribongsu
    Sep 16, 2008 @ 08:35:54

    Saudara rudy,

    Berlakonlah lagi, biar jadi pelakon teater serba boleh. tu baru jadi coffee boy, agak2nya jadi mak tiri pun menjadi jugak tu… 🙂 – serius ni!

    Balas

  8. ika
    Sep 16, 2008 @ 14:38:00

    Bestnyer kak nas dpt tgk teater nih..seat dpn lagi…mlm 2 sy tgk mock trial..hu2..For sure komen kak nas ni dpt bg FT smgt untk trus aktif berteater..

    Balas

  9. anakkawi
    Sep 16, 2008 @ 16:37:21

    Berkarya berlatarkan sejarah…
    Menyampaikan cerita disebalik kisah yang terjadi…
    Sampai satu masa kita sendiri akan berfikir…
    Dimanakah kebenarannya dalam penceritaan itu?
    Apakah betul kebenaran yang difahami itu?
    Bukan salah pengkarya,
    Cuma karya itu bukanlah sirah yang sebenar…

    Balas

  10. sheikh maulana
    Sep 16, 2008 @ 23:55:34

    Semua dah bace SAASATUL IBAAD ke?
    1 lg novel sejarah pengakuan berani Faisal Tehrani tentang sejarah melayu yg sy sendiri baru tahu begitula al kisahnya mengenai Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

    Balas

  11. puteribongsu
    Sep 17, 2008 @ 03:39:14

    Ika, orang macam FT (atau kami-kami dan mereka-mereka yang menulis), kritikan, pujian, cercaan itu semuanya sama. tak menjejaskan apa-apa. kalau dia/kami nak menulis, kami teruskan.kalau dipuji sejeluk mana pun, kalau tak nak, tetap akan berhenti juga. —–> ingatan diri sendiri buat diri sendiri.

    terima kasih kerana menyokong mock trial. teater tu sebenarnya satu ‘award’ untuk kak nas sebab petangnya (26hb) kak nas ada test. konon-kononnya nak release tension lah (kononnya)

    Dan, nasib baiklah result test tak sesadis mana. sedikit-sebanyak, berbaloilah ganjar diri sendiri tanpa terlebih dahulu tahu result test.

    Moral: Jangan bagi ganjaran pada diri kalau belum tentu usaha kita beryaja/tidak. hehehe

    Balas

  12. puteribongsu
    Sep 17, 2008 @ 03:48:03

    Saudara Anak Kawi,

    Sejarah Melayu (dan mana-mana sejarah pun) sudah ditulis. kalau ada individu yang tidak berpuas hati, silakan ‘kritik dan cabar’ beserta dengan kajian dan analisis.

    FT sudah ‘cabar’ dengan kerjanya dan teaternya. Andai kebenaran itu belum difahami/ceritanya itu bukanlah sirah yang sebenar, maka kita (atau anda) berhak ‘kritik dan cabar’ kerjanya (kerja FT) pula.

    Karya FT itu mungkin bukan untuk tulis ‘sejarah baru yang benar-benar’ tepat, dan kita juga mungkin tidak boleh terima begitu kerana kita sudah lama berpegang pada sejarah versi yang sudah kita pelajari di isntitusi pendidikan (itupun bukan semuanya saya atau kita belajar). jadi, terima/hargai sahaja karya FT itu sebagai satu karya yang mengembangkan cabang kreatifnya.

    silakan, kami ternanti-nanti kerja-kerja kritis untuk menambah ilmu dengan cara begitu.

    Silakan, semua.

    * saya pernah ‘kritik’ sejarah pembukaan Pulau Pinang dengan membaca/mengkaji buku-buku sejarah dan penemuan-penemuan yang ditulis oleh sarjana-sarjana, serta menekuni teks Undang-undang Kedah lewat cerpen ‘Terra Nullius’ (walaupun mungkin cerpen itu tidak menjadi)

    Balas

  13. puteribongsu
    Sep 17, 2008 @ 03:54:09

    Saudara Sheikh Maulana,

    saya belum baca SAASSATUL IBAD. tapi, novel itu sudah saya kategorikan sebagai wajar baca dalam masa tenang, bukan baca dalam masa ripuh (untuk lebihkan perhatian)

    tahniah kerana sudah membaca.

    Balas

  14. sheikh maulana
    Sep 17, 2008 @ 06:22:25

    saya tak pandai bersastera ni
    tp melalui apa yg sy nampak, FT berani menegakkan kebenaran & ada stand walaupun apa yg disuarakan akan dikecam termasuklah komen beliau mengenai politik semasa.

    Balas

  15. anakkawi
    Sep 19, 2008 @ 06:47:42

    Ahha…
    Bukan bermaksud utk mencabar,
    Cuma membuka ruang utk berfikir sejenak.
    Lupakan sejenak berkenaan penghasilan karya FT itu…
    Lupakan seketika berkenaan penghasilan sejarah baru,
    Sama ada benar atau tidak kita takkan punyai jawapannya yang tepat bukan?
    Kita orang2 yang terkemudian ini masih punyai nilai moral yang akan membataskan sesuatu kejadian itu benar-benar terjadi sebegitu atau sebaliknya…

    Cuma suatu persoalan saya di sini,
    Bila `sejarah`, yang kita hasilkan dalam bentuk sebuah karya,
    Bolehkan kita dakwa ia sebagai suatu versi pensejarahan?
    Atau cuma sebuah karya?

    Balas

  16. sheikh maulana
    Nov 18, 2008 @ 08:43:13

    kenapa blog faisal tehrani x boleh masuk yer?

    Balas

  17. farah
    Feb 16, 2009 @ 15:44:42

    saya salah seorang peminat anda…dan sekarang saya tengah membuat tesis tentang tema dan persoalan di dalam karya anda…

    Balas

    • puteribongsu
      Feb 18, 2009 @ 01:27:56

      Salam, farah. terima kasih kerana membaca, dan terima kasih kerana memilih karya-karya saya. jika saudari perlukan bantuan, bolehlah maklumkan pada saya.

      salam hormat

      Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: