PENULISAN – TAZKIRAH & PROSES MENCARI MARDHATILLAH

Bulan ini, Ogos – saya menghiasi menyemak di helaian ‘Penulis Muda’ di majalah Konsep – satu majalah mini yang berinformasi. (kata seorang rakan apabila membelek-beleknya; Herm…sesuai sungguh kalau nak menggantikan majalah Mangga) – itu kata seorang rakan saya, ya. Sayangnya ruangan itu sedikit terhad (dua muka surat), jadi editor memasukkan hanya sebahagian daripada tulisan saya (hingga saya kira seakan-akan maksudnya sedikit tergantung). Saya menghormati kerja editor sepenuhnya, namun diperturunkan semuanya di sini sebagai sekadar satu catatan peribadi.

SEORANG guru saya pernah berkata – penulisan dan sastera bukanlah satu dunia glamour, tetapi dunia penuh ilmu. Juga katanya lagi – menulislah, bukan untuk mencari nama atau pangkat, tetapi untuk mardhatillah (keredaan Allah). Selepas beliau berkata begitu, saya jadi seorang penghisab. Hinggakan saya memutuskan begini – keredhaan Allah tidak akan datang sendiri, tetapi perlu dicari. Dan, pencarian itu memerlukan satu ‘proses.’ Lalu saya memasang azam peribadi bahawa, penulisan akan saya jadikan salah satu ‘proses’ daripada ‘proses-proses’ pencarian itu nanti.

Sejak usia 8 tahun, saya mula aktif menulis sajak untuk dipersembahkan pada sambutan hari guru dan maulidurrasul. Ketika sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-9 pula, kakak menghadiahkan saya sebuah antologi cerpen berjudul Namaku Muni, Namanya Munirah (selenggaraan Ghazali Ngah Azia). Sejak itu, saya bagai dicandui cerpen dan novel, hinggalah sekarang ‘mabuknya’ tidak hilang-hilang. Menginjak persekolahan menengah, barulah saya mula berjinak-jinak dengan penulisan cerpen biarpun tidak pernah dihantar kepada penerbitan. Kegiatan kokurikulum di sekolah menengah juga memberi peluang untuk saya mengasah minat apabila dilantik sebagai jawatankuasa dan editor untuk penerbitan.

Perjalanan penulisan saya boleh dianggap bermula aktif selepas memasuki Pusat Matrikulasi UIAM apabila puisi pertama yang bertajuk Bicara Hamba disiarkan di majalah Anis. Dengan rasa rendah diri, puisi itu dicagarkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk ke Minggu Penulis Remaja 2005. Mendapat bimbingan di Minggu Penulis Remaja di bawah bimbingan Faisal Tehrani (cerpen) dan Shamsuddin Othman (puisi) adalah antara kurniaan yang paling mewah pernah diterima daripada Allah. Selain itu, saya turut mengikuti kursus-kursus penulisan lain di bawah bimbingan Zaharah Nawawi.

Sehingga kini, saya memilih untuk terus berguru dan berguru, sama ada dengan manusia mahupun buku. Juga, saya akan pastikan saya mempunyai hipotesis dan kesimpulan sendiri terhadap apa-apa yang didapati melalui pembacaan kerana saya percaya, karya-karya yang baik dan membina hanya akan lahir daripada penaakulan. Bahkan, kebanyakan karya saya terhasil selepas merenung dan memikir bahan-bahan bacaan. Beberapa karya mula kerap dihantar kepada editor dan syukur sekali, kebanyakannya mendapat tempat. Antaranya, saya menerima hadiah utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2006 dengan cerpen Sehijau Bakau Seteguh Cinta. Terkini, cerpen Banglo Kolonial di Lot 152 dan Selamat Kembali Nurul Merdeka turut mendapat hadiah utama dan hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2007.

Sesekali mengecap kemenangan, terimbas pula pesanan guru saya tadi. Kembali menghisab, buat saya bertanya diri sendiri – bagaimana mahu beroleh mardhatillah andai diri sudah terdetik riyak, sedangkan sifat itulah yang akan menghalang diri dari mengecap manis keredaan-Nya. Kiranya begitu, sungguh ini satu ujian dan pertanggungjawaban! Ya Tuhan, rupa-rupanya ini ialah satu ‘proses’ yang payah. Berkali-kali saya tazkirahkan diri sendiri; andai jadi segemal padi sawah, atau jadi padi bukit sekalipun, biarlah ke bumi juga tunduknya.

Menyemak proses berdiri, bertatih dan sesekali berlari dalam seni penulisan sebagai satu pertanggungjawaban, saya gemar sekali merenung dan memegang butir hikmah Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin yang berlafaz; ‘Hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat yang menyajikan perbuatan salah, atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.’

Ini hanyalah satu catatan si penulis mentah. Ada yang tersinggung selepas membacanya? Jika ya, anggaplah ini juga satu tazkirah kecil daripada penulis kecil dalam anda menjalani ‘proses’ payah yang sama. ‘Proses’ inilah kelak yang akan menemukan anda dengan sesuatu yang besar pada pandangan Tuhan.

Nota Nasriah; Doakan agar saya kekal dalam proses ini, dan menemui titik pencarian itu. Doakan, begitu.

20 Komen (+add yours?)

  1. Guo Muse
    Aug 19, 2008 @ 03:06:28

    Ambo sokong artikel ini, Puteri Bongsu, eh Nas!

    Balas

  2. nazri
    Aug 19, 2008 @ 03:33:47

    salam,,,
    Nas saya setuju dengan apa yang dinyatakan dalam catatan ini. Jika niat mencari keredhaan Nya pastinya dia akan membantu melebarkan perjalanan yang sempit.

    Balas

  3. haniesalwah
    Aug 20, 2008 @ 03:20:09

    Tahniah tahniah…tapi gambar tu macam tak berapa best la. Nampak ko sedikit besar.

    Balas

  4. puteribongsu
    Aug 20, 2008 @ 03:26:05

    Saudara Guo Muse aka zamzuri,
    hehe, sokong, jangan tak sokong. undilah saya untuk jadi perwakilan akan datang (huh, lari topik!)

    Balas

  5. puteribongsu
    Aug 20, 2008 @ 03:27:41

    Saudara nazri,
    itu hanya pendapat dan ‘cara’ peribadi saya, dan barangkali betul dan barangkali juga salah. oleh itu, saya sangat alu2kan sebarang teguran daripada orang seperti tuan.

    terima kasih…

    Balas

  6. puteribongsu
    Aug 20, 2008 @ 03:33:17

    Hani, (aagh…komen ngkau paling tak best!!)

    heheh…aku pun rasa gambar tu macam tu, nak2 tang pipi tu aku rasa macam saiz double cheese burger,

    tapi aku lekas2 sedar diri bahawa aku ni bukan kecik molek pun orangnya.😀

    ps: ngkau ingat tak siapa yang tangkapkan gambar tu?

    Balas

  7. FahdRazy
    Aug 20, 2008 @ 12:22:02

    Tahniah.

    Balas

  8. puteribongsu
    Aug 20, 2008 @ 13:27:50

    Fahd razy, taniah juga untuk anda. bersebelahan ruang penuli muda tu ada karya anda, tahniah untuk puisi Kota Tulip di situ, ya 🙂

    Balas

  9. nazri
    Aug 22, 2008 @ 03:35:26

    saya masih tercari-cari patah-patah perkataan yang sesuai untuk memberi teguran..
    mungkin kata-kata yang beralas bantal emas..
    heeehe

    Balas

  10. mohd ali
    Aug 22, 2008 @ 17:22:06

    Semuga Nasriah mendapat keredaan Allah dala kerja2 penulisan. Amin…

    Balas

  11. mohd ali
    Aug 22, 2008 @ 17:25:15

    saudari nasriah…riyak dan ujub tu dua penyakit hati yang amat dikhuatri oleh pejalan yang menuju Allah. Jadi hati2 lah. Bekarya dan serah kpd AAllah Anggap segala kerja dan nilai baik dalam penulisan itu berlalu dan jgn ingat2 lagi kebaikan kita. Tilik2 diri kita mana yg masih kurangnya. Sucikanlah hati dgn zikrullah. Selain akal, hati yang bersih juga memainkan peranan yang amat penting dalam menghasilkan penulisan yang mendapat keredhaan Allah. Ingat, keredhaan ALlah tidak terletak pada keredhaan manusia. Salam ingat penuh tulus dr sy.

    Balas

  12. puteribongsu
    Aug 23, 2008 @ 14:29:48

    saudara nazri, lebuhraya yang licin akan bermula degan lapisan batu kasaran.

    jadi, usah susah2 pening kepala nak cari bahasa berbaldu emas untuk menegur saya, teruskan menegur. apa salahnya kasar kalau untuk kebaikan…

    Balas

  13. puteribongsu
    Aug 23, 2008 @ 14:33:15

    mohd. ali, terima kasih atas satu tazkirah itu.

    mudahan bukan untuk saya cuma, tapi untuk pengunjung2 blog saya yang lain juga.

    terima kasih sekali lagi.,

    Balas

  14. zaidakhtar
    Aug 24, 2008 @ 04:24:09

    tahniah.🙂

    Balas

  15. puteribongsu
    Aug 25, 2008 @ 09:30:07

    Ustaz zaid akhtar,
    tahniah? (sebenarnya, ‘tahniah’ itu juga satu tazkirah – takut2 nak terima ucapan tahniah tu..)😀

    Balas

  16. A.Ubaidillah
    Aug 26, 2008 @ 04:07:33

    Tahniah! Nas memang berkembang.😀

    Balas

  17. Mohd Najib Bin Hamdan
    Sep 02, 2008 @ 03:40:09

    Tahniah Nas🙂

    Balas

  18. ubaidillah
    Sep 04, 2008 @ 04:06:31

    Tahniah juga dari saya. Sukses Selalu!

    Balas

  19. typeace
    Sep 11, 2008 @ 18:55:30

    Sekali melangkah, sukar berpatah semula. Tahniah di atas kejayaan yang cemerlang Kak Nas.

    Kami di Mesir mendoakan.

    Balas

  20. puteribongsu
    Sep 13, 2008 @ 05:01:29

    Sadara Ubaidillah, Najib Hamdan, dan shafiq..

    terima kasih atas ucapan, doakanlah juga agar saya berjaya dunia akhirat, agar Allah pelihara iman dan Islam

    moga kalian juga digandakan kejayaan!

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: