29 MEI 2008 – MELIHAT ALBUM & DIARI 29 MEI 2005

Sebuah catatan peribadi yang panjang, mengenangkan sebuah ‘gelaran’ dan ‘kelayakan.’

Ketika itu saya masih di tahun pertama pengajian di UIAM. Mengenali rakan sebaya yang bergelar mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 seperti Ghafirah Idris, Ida Munira, Pok Nik (NIMOIZ TY) dan Lan (Amir Mukhriz) buat saya cemburu. Tetapi rasa rendah diri sebetulnya lebih memonopoli hati apabila berhadapan dan berhubungan dnegan mereka. Semua menyarankan saya ke Minggu Penulis Remaja 2005, dan apabila saya tanyakan had umur, mereka menjawap – “minimum, 21 tahun.” – sebetulnya ketika itu pertemuan lebih banyak berlangsung dalam talian maya.

Tahun 2005 – usia saya akan menginjak 22 tahun pada Ogos. Tetapi, MPR tahun itu (yang berlangsung di Ilham Resort, Port Dickson) akan diadakan pada bulan Mei, bermakna saya ‘selamat’ 3 bulan dan masih berumur 21 tahun berdasarkan bulan kelahiran, bukan tahun kelahiran. Ketika saya bertanya dalam ragu kepada Ghafirah dan Ida Munira, “layak ke?” Mereka menjawap; “Alah…mohon je!” (kalian masih ingat tak, itu antara plot-plot pertemuan pertama kita di Kem Gelanggang Buaya, Banting dalam Temu Sastera IPT yang dirancang oleh Dahri Zakaria).

Ida Munira sarankan saya menghubungi Kak Salina Ibrahim, juga berlangsung melalui talian maya. Pendek kata, saya tidak kenal sesiapa melainkan hanya berhubung melalui emel. Dan, permohonan saya telah Kak Salina panjangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. (Terima kasih, akak!) Menunggu surat daripada DBP sebetulnya begitu suspen, lalu saya menelefon sendiri Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan dan berbicara dengan Puan Melissa. Saya kecewa apabila nama saya tiada dalam senarai, tapi saya ketepikan rasa malu untuk meminta (alias merayu) dan berterus-terang mengatakan tahun 2005 ialah tahun akhir kelayakan saya untuk ke MPR berdasarkan usia.

Puan Melissa tanya; “Benar-benar boleh datang?”

Saya jawap dengan yakin untuk meyakinkan; “Ya”

Puan Melissa tanya lagi; “Betul ke ni, benar-benar mahu sertai?”

Saya tegaskan, “Ya, benar-benar mahu.” – Lalu, Puan Melissa masukkan nama saya dalam senarai peserta. Ketika itu saya amat memahami, sebagai penganjur, perkara-perkara yang melibatkan kewangan seperti pengangkutan dan penginapan perlu ditempah awal. Jadi, kalau saya tidak hadir saat-saat akhir, semuanya menatijahkan pembaziran.

Saya khabarkan pada emak, separuh memujuk dan separuh lagi meminta kerana itulah kali pertama saya akan ‘kembara’ sendirian, juga menggunakan alasan usia yang akan melepasi had umur 21 tahun. Emak ayah izinkan, tanpa soal juga menanggung semua ongkos daripada Kota Bharu – Kuala Lumpur – Port Dickson – Kukup dan Tanjung Piai (ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005) – Kota Bharu kembali. (Terima kasih, emak dan ayah yang sangat-sangat tak kisah!)

Andai ditanya kepada semua mantan MPR, apakah perkara yang menarik sepanjang berlangsungnya MPR? Saya percaya, majoritinya akan menjawap – dapat bertemu dan belajar daripada ‘bintang-bintang’ dalam penulisan. Betul, itu jugalah jawapan saya. Sungguh mengujakan apabila ada peluang menuntut dengan Faisal Tehrani Kerana Manisnya Epal, Nisah Hj. Haron Annyss Sophelia dan Shamsuddin Othman Puisi Islam. Juga berkongsi pengalaman dengan Zaid Akhtar Sesegar Nailofar, Zaen Kasturi Rapsodi, Mahaya Mohd. Yassin Ayah Pulang. (Gelaran-gelaran di belakang nama mereka ialah gelaran peribadi yang saya beri sendiri berdasarkan karya-karya mereka yang saya kenal dan baca sebelum mengenali penulisnya secara lahiriah). Terima kasih untuk kalian, budi kalian akan hanya saya lupakan sekiranya ditakdirkan saya nyanyuk. Jika ingatan saya masih sihat walafiat, Insya-Allah, semuanya saya bawa hingga mati.

Menyedari itu peluang pertama dan terkahir saya, maka saya manfaatkan sepenuhnya setiap detik dalam kuliah MPR. Saya ketepikan anggapan negatif terhadap ‘soalan bodoh’ kerana pada saya, istilah itu tidak ada jika kita benar-benar mahu menuntut ilmu. “Maafkan saya para pembimbing, andai ada ‘soalan bodoh’ yang keluar daripada lisan saya, anggaplah itu semua bermula daripada kenaifan dan perasaan benar-benar ingin tahu.”

Barangkali kerana usia juga (paling matang, bukan paling tua ya!🙂 ), saya dicalonkan sebagai penghuluwati MPR tahun itu dan bergandingan dengan penghulu MPR, Helmi. Kini Helmi di UIA dan beberapa bulan lepas dia muncul di hadapan saya. MPR 2005, semuanya meninggalkan kemanisan. Atau, andai adapun yang pahit, otak saya tidak sempat menyimpannya. Kenangan di MPR 2005 yang bersifat material masih saya simpan hingga kini – tag nama dan tali tag, beg merah MPR yang sudah putus talinya akibat menggalas buku yang berat hampir setahun dulu, penanda buku, poskad dan antologi Gema Suara Hati 8 hadiah daripada Puan Mahaya, topi Ilham Resort yang warna biru masih kemas dalam almari, dan botol comel shower form Ilham Resort  yang warna hijau🙂

Dua-tiga hari sebelum entri ini ditulis, otak saya memaut kembali kenangan-kenangan semasa di Ilham Resort dahulu dan saya mula teringatkan banyak orang. Barangkali sedikit sentimental – saya mula kenangkan rakan-rakan yang bersama-sama menimba ilmu di MPR 2005 yang ada antaranya hampir/telah saya lupa nama mereka. Hingga kini, banyak yang sudah hilang jejak, atau banyak yang saya ketahui tidak lagi menulis.

Puncanya, saya tidak pasti dan tidak saya ketahui. Kadang-kadang saya terfikir, apakah kerana ada teguran dan kritikan daripada pembimbing yang buat kalian berkecil hati atau inferior? Kalaulah begitu (penegasan: kalaulah), saya mahu kalian tanya diri; terlalu istimewakah kita hingga langsung tidak dapat dimarah dan ditegur? Dan, terlalu istimewakah kita hingga ditaja penginapan, makan minum dan segalanya percuma selama seminggu hingga menjadikan MPR sebagai seolah-olah satu pakej pelancongan? Saya masih ingat kata-kata seorang pembimbing, “Duit (kos) yang kalian gunakan semasa di MPR ialah duit kerajaan (alias duit rakyat). Jadi, jawap sendiri dengan Tuhan kalau kalian tidak manfaatkannya sedangkan ada ramai lagi orang lain yang lebih berhak dan lebih berminat untuk belajar.” (Maaf, barangkali perenggan ini terlalu sensitif. Semuanya bertitik daripada rasa sedikit terkilan kerana mantan MPR 2005 tidak seaktif mantan-mantan tahun lain, dan ini sering saya luahkan kepada Azree Ariffin hampir setiap kali jika kami bertemu).

Selepas 3 tahun bergelar mantan MPR, saya amat berterima kasih kepada DBP dan pembimbing kerana memberikan gelaran ini kepada saya. Ya, penulis akan kata bahawa penulisan ialah satu wadah untuk penyampaian dakwah, sebagai satu usaha untuk menyampaikan kebaikan kepada sasarannya, sebagai satu cara untuk memartabatkan budaya bangsanya dan bahasa ibundanya. Sungguh, saya tidak terkecuali memegang prinsip-prinsip itu, kerana itu yang para pembimbing tekankan dan tanam dalam MPR dan sebolehnya, mahu saya pegang sampai bila-bila.

Namun, 29 Mei 2005 – 29 Mei 2008;  ada beberapa perkara yang saya singkap dan muhasabahkan selepas melalui tempoh 3 tahun ini. Apabila melepasi sesuatu jangka masa, tidak dapat tidak saya mula fikirkan tentang kualiti, pencapaian dan sumbangan. Atau secara mudah dan secara peribadi, saya mula menghisab tentang kualiti penulisan saya, tahap pencapaian dan apa yang sudah saya sumbangkan terhadap perkara-perkara yang sudah dinyatakan di atas – sebagai usaha menyampaikan kebaikan kepada semua secara kesuluruhan.

Saya menganalisis dan berfikir sendiri, lalu memutuskan bahawa kualiti, pencapaian dan sumbangan dalam penulisan – semuanya bergantung kepada kualiti diri sendiri. Sejauh mana kita bersungguh, sejauh mana kita berusaha dan berani mencuba, setakat mana kita melengkapkan diri dengan disiplin, pengurusan masa dan setakat mana kesungguhan kita meningkatkan ilmu. Juga yang paling penting, setara mana kita menjaga hubungan dengan Tuhan.

Semuanya ialah satu perjalanan dan proses. Hingga kini, walaupun sudah bergelar mantan MPR, saya berasakan diri sendiri belum layak mengakui demikian apabila melihat dan membandingkan diri dengan pencapaian mantan-mantan yang lebih senior, mahupun junior. Mengakuri semuanya ialah perjalanan dan proses, saya dengan rendah diri memohon dan mengajak (pada kalian yang bergelar mantan MPR, juga mengingatkan diri sendiri) agar terus menulis. Terus menulis, menulis, dan menulis.

Teruskanlah mencari bagi melengkapkan proses meningkatkan pencapaian diri untuk menyumbang dan memulangkannya kembali apa yang telah kita perolehi kepada kepada orang lain. Bahawa, ini juga ialah satu satu proses meneguhkan jati diri dan identiti kerana seminggu pertemuan di MPR tidak cukup untuk memungkinkan ‘sesuatu’ yang sempurna.

Barangkali saya terlalu idealis, terlalu yakin, terlalu khayal, atau sekadar membentangkan teori. Mungkin, tetapi saya benar-benar yakin akan ‘sesuatu’ apabila sesekali menyemak dan mengingatkan diri sendiri akan maksud surah al-Maidah: 401; “Dan hendaklah ada di antara kamu sekalian satu umat yang menyeru (manusia) kepada kebaikan, dan menyuruh kepada ma’ruf (kebaikan), dan melarang dari mungkar (kejahatan) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

Nota: Saya mohon dengan sangat agar mantan-mantan MPR 2005 yang membaca catatan peribadi ini untuk menghubungi saya. Atau anda rasa wajah anda dirakamkan dalam gambar-gambar berikut, tolonglah hubungi saya.

2 Komen (+add yours?)

  1. zatiehalim
    Jun 26, 2008 @ 04:58:17

    assalamualaikum…rindunya…………………kak nass tukar no fon ek? tak dapat pun msg dan call..apa2 pun tahniah di atas kemenangan utk thn ke 2 slps 3 thn bergelar mantan mpr…tahniah sekali lagi..nantikan kemunculan zatie pula ye slps ini…he2

    Balas

  2. puteribongsu
    Jun 29, 2008 @ 06:29:13

    Zatie, tahu pun rindu…akak pun teringat awak tau.

    terima kasih atas ucapan, tentu, akak doakan zatie pula selepas ini. dan memang akak harap sangat2 adik2 MPR 2005 akan terus menulis…

    tulislah, zatie!

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: