ALKISAH SEBUAH PULAU, DAN NAJIS CAMAR

“Pulau Batu Putih bukan milik kita.” – ketika itu juga saya bangkit membancuh minuman, sedikit sukar untuk lelap. Dan, saya kira bukan saya seorang yang terkilan dengan keputusan ini. Namun, cepat-cepat saya akur, “usah lagi diugah dan dipertikaikan sesuatu yang sudah ditentukan bukan lagi milik kita.”

 

Keputusan terhadap pertikaian Pulau Batu Putih memang saya nantikan, bahkan saya kira bukanlah saya seorang. Satu pertikaian pada sebuah pulau yang memutih dengan najis-najis camar rupanya termaktub sama satu kedaulatan. Dan, jangka masa 28 tahun bukan satu jangka waktu yang sebentar untuk sebuah keputusan dalam pertikaian ini – walaupun sebetulnya, saya tak senang dengan ungkapan ‘pertikaian.’

Pada saya, sebetulnya, kes Pulau Batu Putih merupakan satu pertikaian panjang yang menarik. Kenapa? Kerana, selain geografi maritim, kes ini turut melibatkan sejarah negara sebelum merdeka (kesultanan Johor), bahkan sejarah pemilikan pulau ini di bawah kesultanan Johor sejak tahun 1512 turut dikaji sama. Kronologi demi kronologi sejarah kesultanan Johor dan beberapa dokumen perjanjian dan surat dikaji dan dibuka semula.  

Dalam pertikaian Pulau Batu Putih, Malaysia mengemukakan hujah bahawa pulau itu berada di bawah milik kesultanan Johor, termasuklah Perjanjian 1824 yang ditandatangani oleh dua pihak koloni (Inggeris dan Belanda) serta Perjanjian Crawfurd yang mula membahagikan wilayah kesultanan Johor menjadi dua – Kesultanan Riau-Lingga dan Kesultanan Johor. Dalam perjanjian ini, Sultan Johor ketika itu (Sultan Hussin) menyerahkan pulau-pulau dan batu-batu dalam lingkungan 10 batu kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Dan, ini disokong pula dengan surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 (kepada Setiausaha Singapura yang ketika itu masih di bawah kuasa koloni) tentang pemilikan pulau itu tidak akan dituntut oleh kesultanan Johor.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam surat tersebut, Setiausaha Koloni Singapura meminta kerajaan Johor menjelaskan mengenai status Pedra branca (Pulau batu Putih) dan balasan itu menyebut bahawa Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca “Johore Government [did] not claim ownership” – secara peribadi, saya tertarik sekali dengan frasa ini. tentang bagaimana hanya satu ayat, apabila dikaji dan interpretasi, terhasillah satu konklusi bahawa jawapan itu merujuk kepada hak pemilikan pulau secara keseluruhan, bukan sekadar pemilikan terhadap rumah api Horsbough yang dibina sekitar Mac 1850 dan Oktober 1851 (sebelum kedua-dua belah pihak berbalas surat mengenai status pulau itu.)

Dan, secara ringkasnya, entri ini cuba menjelaskan bagaimana keputusan sedemikian dicapai dan disepakati.

Secara dasarnya, kedaulatan sesebuah wilayah akan ditentukan berdasarkan ‘siapa dahulu yang menemui/mendiami kawasan’ tersebut, atau terra nullius. Namun, prinsip ini bukan satu pengukur yang mutlak bagi menentukan sesuatu wilayah kerana dalam sesetengah situasi atau sejarah, satu-satu tempat atau wilayah didiami atas dasar perjanjian atau kebenaran pihak autoriti atau pihak yang lebih berkuasa.

(Masih ingat pada ‘sejarah’ bagaimana sultan Kedah, Sultan Abdullah memberi kebenaran kepada Francis Light mendiami Pulau Pinang (Pulau Penaga) yang ketika itu berada di bawah kesultanan Kedah? Dan, bagaimana buku-buku sejarah (sukatan pelajaran tingkatan dua) pula mencatatkan Francis Light ialah orang pertama yang membuka Pulau Pinang – atau dalam erti kata lain (secara asas dan logiknya), Francis Light seolah-olah menafikan hak kesultanan Kedah dan mengatakan Pulau Pinang ialah terra nullius! – Latar dan ‘kritik’ ini cuba saya selit dan paparkan dalam cerpen saya yang berjudul Terra Nullius setelah menekuni naskhah Undang-undang Kedah, Dewan Sastera (Tunas Cipta) Februari, 2008 

Kembali kepada perihal Pulau Batu Putih, umumnya, pertikaian untuk membuktikan pemilikan sesuatu wilayah, beberapa perkara perlu dipenuhi, iaitu;

1. wilayah tersebut mestilah satu terra nullius – iaitu satu wilayah yang tidak dimiliki oleh mana-mana pihak (sebuah kerajaan) pada waktu pertikaian bermula. Dan, satu-satu wilayah boleh dianggap terra nullius apabila pihak yang berkuasa sebelumnya mengabaikan wilayah tersebut.

2. pendudukan di wilayah itu perlulah ‘efektif’ – di sini, merujuk kepada niat untuk mendudukinya (animus occupandi) serta diikuti dengan perbuatan atau kerja-kerja fizikal atau tindak-tanduk yang menzahirkan niat untuk menduduki wilayah tersebut (corpus occupandi)

Namun demikian, syarat (2) di atas perlulah diteliti dengan mendalam dan diperhalusi dalam setiap segi berdasarkan bukti-bukti yang ada. Dan, beberapa perkara juga perlu dipenuhi. Iaitu, ‘niat’ untuk menduduki wilayah tersebut perlulah merupakan satu niat untuk menjadi pemilik yang berdaulat dan mutlak (sovereign) secara aman, berpanjangan dan tidak mendapat tentangan daripada mana-mana pihak. Ini kerana adakalanya, sesubuah wilayah boleh sahaja didiami atau diduduki atas sebab-sebab tertentu seperti perjanjian dan hadiah, sebagaimana yang turut terjadi dalam kisah Pulau batu Putih ini. (bukankah penganugerahan tanah, pulau atau wilayah sudah lama menjadi amalan sultan-sultan terdahulu).

Dan, satu lagi prinsip penting yang perlu diteliti ialah, setiap pertikaian dalam satu-satu hak wilayah perlulah merujuk kepada undang-undang, bukti atau apa sahaja perjanjian yang termaktub sebelum tarikh bermulanya sesebuah pertikaian- dalam bahasa Inggeris disebut inter-temporal law. Misalnya, dalam kes Pulau Batu Putih, pertikaian mula wujud apabila Singapura membangkitkan isu peta yang dikemukan oleh Malaysia pada tahun 1979 yang merangkumkan Pulau Batu Putih dalam wilayah autoriti atau kedaulatan Malaysia. Oleh itu, mahkamah antarabangsa memutuskan 14 Februari 1980 sebagai satu critical date (atau batas waktu) dalam mengambil kira atau menentukan inter-temporal law. Maka, setiap keterangan dan penghujuhan perlu didasari pada setiap perkara atau perjanjian (sebagai bukti-bukti untuk menyokong tuntutan) sebelum 14 Februari 1980 sahaja akan diambil kira bagi menyelesaikan kes ini.

Namun, dalam sesetengah keadaan, apabila ‘terra nullius’ bukan lagi menjadi satu isu utama yang perlu diputuskan terlebih dahulu, mahkamah akan mengambilkira dan menimbang tindak-tanduk pihak mana yang lebih menunjukkan niat untuk menduduki dan menzahirkan kedaulatannya. Kes ini misalnya, perihal ‘terra nullius’ menjadi isu yang kurang releven untuk diperdebatkan memandangkan kedua-dua belah pihak mempunyai hujah dan pendirian tersendiri – Malaysia mengatakan Pulau Batu Putih bukan terra nullius kerana pernah berada di bawah kesultanan Johor, manakala Singapura berpendirian sebaliknya.

Oleh yang demikian, tindak-tanduk kedua-dua belah pihak dalam menzahirkan kedaulatan masing-masing akan menjadi kayu pengukur. Maksudnya di sini, pihak yang lebih banyak menunjukkan kuasa atau pengaruh serta kedaulatannya lebih berhak menduduki wilayah yang menjadi pertikaian. Namun begitu, beberapa perkara penting juga perlu diteliti dan diambil kira, iaitu;

 

1. pendudukan dalam sesuatu wilayah perlulah dalam bentuk penzahiran kedaulatan (a titre de souverain)

2. pendudukan tersebut berterusan secara aman dalam satu tempoh waktu tertentu. Tempoh waktu itu pula perlulah munasabah bagi sebuah kuasa menzahirkan kedaulatannya. (maksudnya di sini, jika sekadar menduduki wilayah tersebut hanya untuk beberapa tahun, maka pendudukan tersebut bukanlah dianggap munasabah bagi menzahirkan satu pengaruh atau kuasa dalam menzahirkan kedaulatan).

3. pendudukan wilayah itu perlulah diketahui umum.

Oleh itu, dalam kes Pulau Batu Putih ini, tindak-tanduk kedua-dua belah pihak diambil kira sebagai satu bukti bagi membuktikan ‘niat untuk menduduki secara aman dan berpanjangan’ dan mengetepikan pembuktian dari sudut sejarah antara dua entity – Singapura dan Malaysia. Sebagaimana dalam kes ini, mahkamah turut merujuk \‘kegagalan’ Malaysia menentang segala titre de souverain – iaitu segala tindak-tanduk Singapura dalam menunjukkan bahawa republik itu mempunyai kedaulatan, seperti tindakan-tindakan Singapura menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya. Selain itu, republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih – semua ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak mencabar semua tindak-tanduk Singapura dalam menunjukkan kedaulatan dan pemilikan terhadap pulau itu.

Anda boleh membaca isu penghujahan, keputusan dan ringkasan kes MAHKAMAH ANTARABANGSA ini

Alkisah sebuah pulau yang memutih dengan najis camar laut sebelum 14 Februari 1980 ialah sebuah kronologi panjang dan berkajang-kajang. Ya, saya tentu sekali tidak betah untuk memperihalkan satu persatu-satu dari awal hingga mendapat keputusan akhirnya. Adat sebuah pertikaian – akan ada satu pihak yang berwarna hitam dan satu lagi berwarna putih. Tidak akan ada yang berada antara kedua-duanya.  

Oleh itu, saya amat alu-alukan anda membaca keputusan Mahkamah Antarabangsa pada pautan di atas (atau setidak-tidaknya ringkasan keputusan tersebut) bagi menjernihkan pemahaman dalam sebuah pertikaian dan duduk letak sesuatu hal. Dan, sebagai seorang penuntut bidang perundangan yang warganegara Malaysia, saya amat berharap agar keputusan yang diadili ini tidak akan membawa kesan langsung (kesan negatif, maksud saya) terhadap dua buah negara yang berasal daripada satu rumpun, sebagaimana hubungan Malaysia-Indonesia masih boleh dikekalkan biarpun Malaysia memenangi tuntutan terhadap Pulau Ligitan dan Sipadan suatu waktu dahulu – juga, sebagaimana saya tidak senang dengan ungkapan ‘pertikaian’ (yang ditulis pada awal entri ini) bagi merujuk kes ini.

Benar, perhubungan ini janganlah jadi seperti sebuah pulau, yang dicemari dengan najis camar yang hanya menyinggah.’

Nota: Saya tidak mengalu-alukan komen berbaur prejudis atau berbentuk kecaman tanpa asas, namun terbuka menerima pandangan kritis, bernas dan munasabah. Terima kasih.

6 Komen (+add yours?)

  1. haniesalwah
    May 25, 2008 @ 11:57:59

    Nas,

    Cerpen Terra Nullius sedikit sebanyak menambahkan pemahaman aku mengenai kes ini…!

    Balas

  2. puteribongsu
    May 25, 2008 @ 13:37:54

    Hani yang membaca,
    terima kasih. setidak-tidaknya ada sesuatu yang ngkau dapat daripada cerpen tu untuk memahami isu batu putih ini. aku dah syukur dan seronok.

    teruskan jadi pembaca yang menekuni dan meneliti.

    Balas

  3. zawanbaba
    May 26, 2008 @ 04:05:58

    saudara Nas,

    Jika saya ialah kaiser atau kepala pemerintah, saya akan tuntut kembali Temasik. Mungkin agak melampau tuntutan saya. Tapi. Itulah rangkai khayal saya pabila membayangkan kiub-kiub Lego yang berwarna-warni disusun menjadi kota yang lengkap. Mungkin. Dengan membawa rangkai khayal ke persepsi ruang. Dush!!

    -ZawanBaba

    Balas

  4. puteribongsu
    May 26, 2008 @ 05:54:09

    Ya saudara Nazwan. kita akan berkata begitu kerana Pulau Batu Putih bukan lagi menjadi hak kita. benar, mungkin pemerintah ketika itu tidak nampak apa kemungkinan yang akan berlaku dan sudahpun berlaku ketika ini.

    tapi, itu dulu…zaman dulu-dulu, zaman kolonial sebelum merdeka.

    sekarang, kita tengok pula bagaimana kepala pemerintah laksanakan yang sepatutnya terhadap Pulau Pisang, pula.

    Balas

  5. zawanbaba
    May 26, 2008 @ 06:56:41

    Eh, sebut pasal pulau Pisang terhantar rangkai khayal ke rangka ‘jalan-jala ke Pulau Pinang’…saudara dah iklankan ka pasal rombongan ke Chowrasta tu? Zulkifli (zamiramnesia.blogspot.com) dah hangguk berkali-kali tanda nak sertai.

    Balas

  6. Poop
    Jun 21, 2008 @ 01:35:44

    Somehow i missed the point. Probably lost in translation🙂 Anyway … nice blog to visit.

    cheers, Poop!

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: