MeM!LiH y@Ng n0rMaL

Pilih yang normal,” begitu ujar teman saya, dalam tenang. Ketika itu, hati saya cenderung mengatakan dia kurang timbang rasa dengan perihal orang lain. Si teman yang baik, entah kejutan apa mahu dia buat, alih-alih sesudah selesai peperiksaan akhir dia hulur kad wangi. Nah, majlis pernikahan seminggu lagi! Dan, kejutan lagi – dia berkahwin dengan pasangan yang jauh daripada apa yang kami sangkakan!

Dia, sebelum ini punya pilihan hati. Menjalin hubungan selama 7 tahun, bukan jangka sekejap. Dan, sudahnya memilih untuk berkahwin dengan pilihan ibu ayahnya.

Ketika saya tanya, “apa yang buatakamu begitu senang membuat pilihan sebegini? Ah, 7 tahun bukan sekejap. Sudahnya, memilih untuk menurut ibu ayah. Sudahlah begitu, semuanya siap-sedia, tunggu pulang sahaja daripada UIA dan terus naik pelamin.” Dia senyum, malu-malu, dan saya tahu soalan itu tidak sewajarnya ditanya-tanya lagi. Eh, siapa bisa halang keinginan saya utuk ingin tahu?

Dia jawap; “kerana aku mahu pilih pasangan yang normal.”

Saya kerut kening, bengang juga ada. Masakan mahu berlawak ketika kami teruja ingin tahu ketika berhimpun di bilik pengantin yang penuh haruman rampai dan serba kuning keemasan. Warna pilihan si teman, tentunya.

“Jika terlalu mengasihi dan mencintai tanpa kawalan akal, lama-lama kalian akan menjadi fanatik dengan apa yang kalian cintai. Sudahnya, apa-apa yang rasional sekalipun akan bertukar menjadi tidak normal lagi, atau…gila,”

Saya diam, ketika teman-teman lain tertawa. Saya tahu, si pengantin bukan berjenaka.

“Maksud kamu, kekasih (baca: bekas kekasih) kamu sudah gila?” Murni, seorang teman kami  mencelah.

“Aku tidak sanggup berkahwin dengan orang gila, apa lagi menghabisi masa seumur hidup untuk menjadi isteri yang setia kepada suami yang tidak normal (baca: penggila) sepertinya. Apa kalian mahu kahwin dengan orang gila?” Dia memandang sahabat-sabahat di depan, dan lama merenung saya. Dalam mata si pengantin, dia sebetulnya ada menyimpan ketenangan yang ampuh. Jika tidak, masakan boleh berbicara sebegitu nadanya.

“Aku mahu mencari keredhaan Tuhan, yang ditadah daripada keredhaan ibu bapa.” Dia berhenti lama, ketika ada tetamu yang masuk ke bilik dan mahu bergambar. Sesudah tetamunya pulang, dia menyambung lagi.

“Nas, jangan percaya pada cinta sebelum punya ikatan apa-apa. Cukuplah pengalaman mencintai dan dicintai selama 7 tahun ini mengajar aku menilai siapa yang normal dan siapa yang gila. Kerana cinta yang sebegitu hanyalah kepura-puraan atau kefanatikan yang akan menjelma menjadi sesuatu yang gila daripada sepasang kekasih yang tidak normal.” Ada air mata. Dan, dia tergelak ketika saya menegahnya daripada menangis terus. Bimbang celak dan maskaranya mencair. Dia balas, ini jenama Maybelline, kalis air! (huh, sempat pula dia!)

“Dan, bagaimana penerimaan bekas kekasihmu?”

“Dia mencintai separuh gila. Aku mengagak, dia juga akan gila  dengan pernikahan ini.” Tenang sungguh perempuan ini walaupun kata-katanya memang ‘ekstrim’!

“Habis, engkau tidak rasa terkilan?” (Hei, soalan apa ini?)

“Tidak, bahkan puas dan seronok kerana impian ayah ibu dapat kutunaikan. Siapa bilang kita sebagai anak akan bahagia jika ibu ayah menangis?”

“Sebegitu drastik engkau memilih?”

“Ya, kerana aku begitu yakin . Kekasih yang fanatik dan separuh gila bukan hanya menjadi ‘pencinta’ tetapi akan menjadi ‘penggila.’ Dan, suami yang sudah aku nikahi, aku percaya dia akan menjadi pencinta kerana dasarnya kami memilih untuk keredaan ibu bapa, dan selanjutnya keredaan Tuhan. Engkau juga tahu bukan, orang gila tidak punya apa-apa liabiliti di sisi undang-undang?” Dia berlucu pula.

“Peperiksaan sudah habis, jangan ulang prinsip undang-undang di sini, aku bosan.” Saya buat-buat marah. Sejujurnya, hati saya terkesan sepenuhnya dengan kata-kata si teman.

Sedap nasi minyak masakan ibunya sendiri masih teringat-ingat. Ibunya, tidak lekang dengan senyuman. Hati ibu mana yang tidak syahdu apabila anak menurut begitu. Ya, berkorban cinta yang dia bina selama 7 tahun (dengan hanya orang yang berstatus kekasih, perkataan ‘hanya’ ditekankan sedikit ketika anda membaca.) dengan kasih sayang dan pengorbanan yang ibu ayah berikan sejak 26 tahun lalu. Hei, terlalu mudah bukan?

“Nas, cuba-cubalah cari lelaki normal, bukan lelaki gila.” Begitu bisiknya ketika kami berpelukan. Nanti, dia akan pergi ke daerah isteri selepas meninggalkan alam siswa. Tuhan, sungguh-sungguh saya mahu dia bahagia. Ya, sungguh-sungguh, kerana dia berhak untuk itu. Bahagia – bukan hanya dengan pilihan ibu ayahnya, tetapi bahagia dengan kepuasan diri sendiri yang berkorban begitu.

Cendera hati titipannya saya letakkan di meja studi. Kelmarin, saya hantar mesej buatnya bertanyakan khabar. Lalu, dia membalas; “Nas, bahagia bukan kerana aku mendapat diri sendiri. Tetapi kerana aku dapat ibu ayahku kembali, dan mendapat suami yang penyayang dalam masa yang sama. Doakan pilihan ini berkat. Jangan lupa pesanku hari tu.” Itu barangkali satu jenaka, atau mungkin juga pesanan yang penuh hikmah.

Mesej itu saya tatap dalam senyuman. Tentu, teman saya itu kini sedah mengarang bunga-bunga bahagia. Aduhai, coleteh si teman di hari perkahwinannya benar-benar mengesankan.

 

Nota gambar: Hanya itu yang tinggal dalam telefon salah seorang daripada kami kerana gambar yang lain (dalam kamera) terkena jangkitan virus. Aduh!

 

Comments are closed.

%d bloggers like this: