PENGGERA YANG AKAN ‘MEMBUNUH’ SAYA!

Memang saya perlukan penggera – untuk kejutkan dari tidur, juga jika berlaku kebakaran supaya boleh bergegas selamatkan diri melalui pintu penghadang api. Namun, kini saya kira saya perlukan penggera untuk masuk (baca: untuk keluar) ke (dari) kedai buku juga. Bahkan, jika boleh, biarlah fungsi penggera itu bukan hanya mengeluarkan bunyi, tetapi juga dilengkapi dengan arus elektrik yang boleh ‘merenjat’ saya supaya lekas-lekas keluar dari kedai buku sesudah masuk cuma 10-15 minit. Bahkan, jika saya tangguh atau masih berlama-lama, renjatan elektrik itu boleh buat saya sesak nafas atau lumpuh (hingga perlu dipapah keluar) beberapa jam, atau paling teruk boleh buat pengsan hingga sudahnya saya perlu diusung keluar dari kedai. 

 Ya, adakalanya ‘berkreatif’ boleh sahaja dianggap orang sebagai ‘mengarut ala-ala kartun.’ Tapi sungguh, tiba-tiba saya terfikir, masuk dan berlama-lama di kedai buku boleh mengakibatkan (baca: pasti mengakibatkan) bajet bulanan lari dan tersasar jauh dari perancangan asal.  Disember lepas, saya dan Hani Salwah ‘bergegas’ mengejar masa ke DAWAMA Hulu Kelang, khuatir kedai bukunya tutup. Kami sampai hampir pukul 5 petang, dan kedai akan ditutup 30 minit selepas itu. kami mencari buku secara ‘selongkar-geledah’ (rasa macam masuk explorace) dan saya membeli buku-buku yang dirancang sebelumnya biarpun tersasar lebih juga 3-4 buah yang berkenan dalam waktu itu juga. Berhabis agak banyak RM juga. (itupun nasib baiklah sesudah ditolak diskaun 25%).  :)

Sepulang daripada bengkel cerpen di Seremban (11-13 janari lalu), saya turut bawa pulang bersama 2 buah novel rakan sepenulisan, tanda menyokong pertemuan dan kerja idea mereka; 

Di sebalik Mentari Jingga, W.B Rendra 

Tinta Elipsis, Ibnu Ahmad al-Kurauwi 

Pertengahan Januari, ada booth buku yang menjual buku-buku Said Nursi Bediuzzaman. Secara kebetulan, sejak setahun kebelakangan ini tokoh intelektual Islam ini begitu saya kagumi (sesudah membaca The Words tulisan beliau) dan jika boleh mahu memiliki buku-bukunya yang lain. Bagai dicita cuma pucuk pegaga, namun yang datang ialah ulam raja- saya berpeluang membeli;

 Biografi Intelektual Bediuzzaman Said Nursi (Shukran Vahide), dalam bahasa Indonesia

 A Guide to Youth (kerana tulisannya ini, beliau pernah ditahan dan dibicarakan, jadi tentu sekali tulisan ini ada ‘kontroversi’ tersendiri). 

 Alegori Kebenaran Ilahi, juga dalam bahasa Indonesia. Isinya sudah dibaca dalam The Words, tetapi lebih lazat meneliti dalam bahasa yang lebih mudah dihayati, bahasa Melayu. 

 Islam, the West, and the Risale-i-Nur – Meryem Weld, seorang yang bersedia memeluk Islam sesudah membaca kitab-kitab Risale-i-Nur. (Alhamdulillah). 

Kelmarin (belumpun meninggalkan Januari), saya ke kedai buku kegemaran (kerana boleh tawar harga dan minta kurang hanya dengan alasan, “Pak cik, saya ni student lagi”), saya ke Pustaka Mukmin, di Jalan Tunku Abdul Rahman. Niat dan perancangan yang kejap ialah hanya mahu membeli Housing Development (Control and Licensing) Act 1966 –untuk tujuan kuliah dan senaskhah Dewan Sastera juga. Tetapi, keluar ke kedai buku bersendirian ialah nikmat yang tidak boleh dikongsi oleh orang lain, hanya individu tertentu sahaja yang boleh merasainya. Lalu, saya khayal bersendirian tanpa gangguan, sedar tidak sedar beberapa buah buku lain tercapai dek tangan setelah hampir sejam di situ; 

 Peluru lawan Batu, Konflik Palestin Palestin & Israel, Maszlee Malik. – Sudah separuh dibaca, saya senang mengikuti tulisan beliau mengenai Palestin, dan saya mula belajar mengikuti isu universal ini (ingat, ini isu wajib diketahui dan diambil berat oleh umat Islam) secara konsisten ialah apabila membaca tulisannya di majalah-majalah dan mengikuti kuliah-kuliahnya semasa di Matrikulasi UIAM, PJ.  

National Heritage Act 2005 – orang undang-undang berjiwa ‘klasik’ barangkali boleh/suka baca akta ini walaupun tidak ada dalam silibus kuliah. :D 😀

 Palestine, Palestians and International Law, Francis A. Boyle. Entah kenapa akhir-akhir ini sangat ‘obses’ pula saya dengan subjek International Law di kuliah, semakin pula kemaruk membaca perkara-perkara yang terkandung dalam apa-apa perjanjian (treaty) dan convention.

Sedikit memperkenalkan penulis ini, Francis A. Boyle ialah pengamal undang-undang antarabangsa yang pernah menjadi penasihat undang-undang Palestine Liberation Organization dalam Palestinian Declaration of Independence (1988) dan pernah menjadi penasihat undang-undang rundingan damai delegasi Palestin ke Timur Tengah pada 1991 hingga 1993. Bahkan, banyak lagi buku-buku tulisan beliau mengenai undang-undang antarabangsa, isu nuklear dan lain-lain. Yang aneh lagi menarik, saya petik kata-kata pembukanya dalam buku ini; “I am not Arab. I am not Jewish. I am not Palestinian. I am Irish American.” – namun tulisan beliau banyak menyelar kepimpinan Bush Jr. terutamanya selepas 11 September 2001. (tak sabar mahu baca buku ini dengan tenang.)

 Tafsir al-Munir, Juz ‘Amma – Dr. Wahbah Zuhaily, juga seorang ilmuwan Islam yang tulisan dan buah fikirnya banyak dirujuk hingga kini, terutamanya dalam hukum/fiqh.

Sewaktu petugas sudah memasukkan data buku yang mahu dibeli, jantung saya dag! dig! dug! tiba-tiba. Betapa saya lupa memastikan berapa jumlah wang yang ada dalam beg duit sebelum masuk ke kedai, atau setidak-tidaknya sebelum menghampiri kaunter. Pak cik India-Muslim itu seperti biasa murah hati memberi diskaun. Apabila dia menyebut harganya, saya rasa tangan sejuk, muka dah rasa berubah. Lambat-lambat saya buka beg duit dan berdoa supaya duit cukup, masakan mahu minta hutang dahulu. Jika berteman ke sana, barangkali boleh minta teman dahulukan duitnya.  

Fuh! Baki duit dalam beg ialah RM 10 dan beberapa keping wang syiling cuma selepas membuat bayaran, dan beg duit mendadak kempis – cukuplah bakinya untuk tambang LRT. Itupun masih ada hati mahu membeli Puisi-puisi Syeikh Ahmad al-Fatani (DBP) tetapi tiada naskhah lain yang tinggal melainkan naskhah yang dipamerkan (ada sedikit renyuk, jadi minat untuk memiliki jadi menurun).

Duit yang dari awalnya mahu diperuntukkan untuk membeli keperluan lain telah digunakan ‘secara tidak sengaja’ untuk memenuhi kehendak. Saya marahkan diri sendiri, dalam hati saya menjerkah berkali-kali- “Nas, jangan buat perangai macam ni lagi!” 

Terbayang muka emak yang tentu sekali akan kata macam biasa; “apa dibuat dengan duit begitu cepat, budak?” Saya akan jawap, macam selalu juga, “tidak sengaja emak…” –kadang-kadang saya fikir seronok jadi pelajar, semua buku yang nak dibeli akan ditanggung.  (kan?)

Terkenang seorang kawan baik di kampus yang merancang untuk berkahwin Mei ini, betapa dia bersungguh berjimat-cermat dalam soal kewangan untuk memenuhi belanja perkahwinan. (terkedu amat saya, terasa diri sendiri seorang yang sangat teruk!)  

Teringat kawan sealiran minat, sama ‘tabiat,’ Nazwan Hafeez yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Saya pernah tanya, adakah bakal isterinya juga punya minat yang sama (membeli dan membaca –walaupun entah bila akan habis baca), katanya tidak. “Betapa selamat” kata saya. Dan apabila dia tanya kenapa begitu ujar saya, saya langsung menjawap- betapa nanti ekonomi rumah tangga boleh distabilkan jika seorang sahaja yang ada ‘tabiat’ ini berbanding kedua-duanya (pasangan).  

Terbayang muka Hani Salwah sewaktu datang ‘melepak’ ke bilik saya di UIAM. Dia bermenung di katil menghadap rak buku dan meja tulis, dan apabila ditanya kenapa, dia bilang; “Aku cuma membayangkan, bagaimanalah nanti mahu engkau angkut semua ini (buku-buku) balik ke Kelantan.”  

Aduhai, hal angkut-angkut ini satu masalah besar dari dulu sampai sekarang! Sebab itulah saya katakan, jika kalian tahu di mana kedai yang menjual penggera seperti yang saya gambarkan di atas, silalah maklumkan pada saya. Saya mahu dapatkan segera.  

(tiba-tiba saya terbayang muka mak ayah yang akan terkejut kalau nanti sehabis belajar di sini saya pulang dengan menyewa lori dan seorang kelindan. Lori yang sarat barang-barang peribadi termasuk buku berkotak-kotak ini akan berhenti di depan pagar rumah, dan mak ayah akan kata; wahai puteriku, betapa tadi kami sangka Kassim Baba yang baru pulang daripada mencuri barang rompakan 40 penyamun dari gua, rupanya kamu wahai puteriku!)  

— Nasriah Abdul Salam berazam untuk tidak membeli buku dalam tempoh dua bulan ini untuk memenuhi pelan belanjawan. Tapi…(macam tak boleh percaya rasanya).   :) 😀

14 Komen (+add yours?)

  1. mohamadkholid
    Feb 02, 2008 @ 00:19:04

    Nas,
    saya juga pencandu buku sejak sekian lama. Di Cameron, ada dua almari penuh – itu pun buku-buku sastera dan berkaitan dengannya. Rumah saya di KKB ada satu almari penuh – buku-buku zaman belajar dulu.
    tak salah membeli dan berkampung di kedai buku. mujurnya isteri saya juga sama naik. Dua minggu kebelakangan ni saya ke xpressbook di amcorp mall – paling murah bagi bigrafi dan fiksyen inggeris.
    kalau dulu saya berkira juga utk membeli buku – kalau waktu belajar – almaklumlah… dgn gaji bekerja juga masih belum mencukupi – tapi sekarang alhamdullillah rezeki menulis boleh menampung makanan asasi tu… dtglah ke cameron, bersantai menulis di sangkar kami!

    Balas

  2. puteribongsu
    Feb 02, 2008 @ 01:13:31

    Saudara Kholid,

    Wah…tergiur saya membayangkan almari buku. Emak saya juga sering ‘bising’ kerana apabila pulang bercuti panjang ke kampung tentu kena beli rak-rak buku, jika tidak rak besar memadai dengan rak kecil sahaja. sudahnya, baru-baru ini dia beli 2 buah rak setinggi alang rumah sekali gus, biar senang hatinya (agak saya..heheh)

    menarik juga saya dengar, berkongsi minat dan ‘tabiat’ dengan orang yang paling dekat tentu sekali boleh buat anak2 juga terikat dengan hal yang sama.

    oh ya, ke Cameron? huh, ada satu kenangan paling ‘kecut’ yang pernah berlaku sewaktu saya dalam perjalanan turun daripada Kampung Susu (kampung orang asli). sejak dari puncak Cameron hinggalah turun ke kakinya, Ayat Kursi tidak henti2 saya baca. sungguh tak sanggup saya ingat, tapi sungguh pula tak boleh saya lupa. tunggulah, ada masa saya bercerita.🙂 tak akan saya lupa sampai tua!

    dan, insyallah..ada kelapangan dan jika berkunjung lagi ke Cameron saya akan singgah ke teratak kalian. sekarang saya benar2 dicucuk rindu dengan perkampungan orang asli di sana, rindu mahu meniti di batu2 sungai yang airnya sudah coklat, membasuh kain baju di sungai nan sejuk…(tapi kata orang, tidak semua kerinduan akan terkabul. begitu juga kata saya).

    terima kasih kerana menandatangan novel penyiasatan saudara untuk anak buah saya. dia sangat2 suka melompat-lompat bila saya kata itu tanda tangan penulisnya dan saya juga yang bantu guntingkan penanda buku percuma di kulit belakang novel itu. sungguh, anak buah yang seorang itu kini sudah berjaya saya pengaruhi. hingga adakalanya pula dia kata; “mak su, kenapa tidak pernah mak su beri hadiah lain, selain buku?”

    hehehe…biarlah, lama-lama dia akan faham sendiri.

    Balas

  3. Zaharah Nawawi
    Feb 03, 2008 @ 05:39:47

    Beruntungnya dapat kumpul buku banyak-banyak. Tak pernah hilang? Apa rahsianya? Buku-buku saya macam ada kaki selalu lari dari almari simpanan. Itu yang lari, tapi yang minta lain cerita pula. Datang jerr rumah saya yang pertama diterkam rak buku. Balik jerr adalah yang hilang.
    Sekarang saya kunci semua almari buku. Rakan pernsyarah dari ANU (Australia National Universiti) Dr Christine Kimball dan Dr Wendy Mukharji ketawa sampai keluar air mata. Dalam dunia katanya satu-satunya orang yang mengunci almari buku ialah Zaharah Nawawi. Melihat saya tidak ikut ketawa, kedua-duanya berhenti mengekel lalu menyeka air mata gembira itu.
    Bila berkunci buku tak dapat lari. Bila ada yang datang akan tadah tangan. “Makcik, boleh pinjam tak? Lepas pionjam baca, tak sempat habis dah nak balik, “Makcik boleh baca di rumah tak?”
    Isy isy isy…demi Allah dalam hati ras mahu menjerit. Jika ada lebih saya akan beri. Jika tidak ada, maaflah…

    Balas

  4. Rebecca Ilham
    Feb 03, 2008 @ 06:27:09

    Salam Kak Nas,

    saya pun berazam tak mahu beli buku lagi dalam beberapa bulan ini setelah poket kering berbelanja di Waterstone’s, Manchester sepanjang musim cuti lalu, namun tentulah gagal!
    Mujur ada mengambil kelas sastera semester ini, maka adalah alasan untuk beli buku lagi, walaupun tak boleh pilih-pilih =)

    Balas

  5. puteribongsu
    Feb 03, 2008 @ 16:50:54

    Bonda Zaharah Nawawi,
    setakat ini buku tak pernah hilang atau dicuri. Ada yang pinjam dan seringnya saya kena bertegas dengan tentukan masa pinjaman, misalnya 2 minggu sahaja (seperti sistem pinjam buku di perpustakaan)dan saya akan catat nama peminjamnya. itu pun dengan syarat jaga elok2, jangan lipat buku sebaliknya gun penanda buku yang sudah sy selitkan dalam setiap buku2 saya. jika lambat dipulangkan, saya akan minta, dan jika bertangguh juga saya akan desak, dan jika bertangguh lagi saya akan paksa…dan jika tangguh lagi juga? hehe…saya akan gunakan ‘keistimewaan’ bicara saya yang ‘menyelar’ bak tedung selar juga.(tapi ini belum pernah berlaku).

    dan, jika teman2 yang datang berkunjung ke bilik seringnya mahu buat rujukan (jadikan bilik ini pustaka mini) saya akan terus bertegas bahawa buku2 untuk ‘rujukan sahaja.’ dan tidak dibenarkan bawa keluar dari bilik…

    seringnya, buku belum hilang. tapi…renyuk disebabkan tertindih badan sendiri ketika tidur itu benda biasa..hehe (baca buku sebelum tidur seringnya membawa apa yang sudah dibaca ke dalam mimpi)😀

    Balas

  6. puteribongsu
    Feb 03, 2008 @ 16:53:06

    Becky Ilham, kalau berdisiplin tentu boleh..tapi, mampukah berdisiplin?

    akak sanggup tidak top up kredit telefon untuk stabilkan kewangan berbanding lupkan bab membeli buku…jangan suruh kita tinggalkan hal ini, nanti kita akan sakit.

    Balas

  7. zawanbaba
    Feb 03, 2008 @ 23:49:36

    saudara nas,

    saya fikir ada dua tempat yang WAJIB untuk ‘pencandu-pencandu’ buku harus bertakah;

    1) Novelhut Bay -Ipoh
    2) Chowrasta -Penang

    kata-kata saya ini hanya ‘benar’ jika saudara melaluinya sendiri – dan saudara juga akan ‘kecanduan’ saya fikir.

    dan perjalanan ke dua-dua gedung ilmu ini sebenarnya bukanlah hanya perjalanan memburu lipatan buku atau aksara, tapi sebenarnya kita mempelajari hidup itu sendiri. sejujurnya, itu yang saya dapat rasakan – setelah khatam berkali2 ke ruang ilmu dan sastera itu.

    dan perjalan mempelajari hidup itu akan lebih dinobatkan jika kita dapat berkongsi rakam hurufiahnya dengan rakan2 se’doktrin’-yang tentunya menggilai buku!

    selamat merancang perjalanan mencari bahasa di chowrasta!!

    Balas

  8. puteribongsu
    Feb 04, 2008 @ 13:13:08

    Saudara Nazwan,
    plaza Chowrasta sudah lama ingin saya pergi, sudah hampir 3 tahun simpan rasa dan rancang untuk ke sana. bukan tida masa, dan bukan juga kewangan tidak mengizinkan. tapi saya tiada geng.

    bab tiada geng ni ‘masalah’ sikit, barangkali ini bukan masalah besar bagi orang lelaki tapi bagi orang perempuan mungkin pergerakan akan jadi agak terhad. nantilah, saya sedang kumpul geng untuk ke sana.pergi ramai2 tentunya legih seronok. bak kata saudara, “lepas tu pi pekena nasik kandaq line cleaa…”

    ada sesiapa mahu jadi geng saya? boleh hubungi saya ya!

    bongsu.puteri@yahoo.com

    Balas

  9. zawanbaba
    Feb 05, 2008 @ 18:42:09

    nas, jangan pergi terlampau ramai…nanti takut2 berebut buku2 yang lazat tu!! haha.. ‘ajaklah’ matador ber’muleta’ merah buat meneman! :p

    Balas

  10. puteribongsu
    Feb 06, 2008 @ 00:51:44

    Saudara Nazwan,
    amboi….sendakan saya?
    (sabar aje la!) saya tahulah awak tu nak naik pelamin, jangan baca sajak atas pelamin tu nanti sudah!
    😛

    Balas

  11. Rebecca Ilham
    Feb 07, 2008 @ 04:18:52

    Tak ada geng tak apa, Kak Nas.
    Saya dulu nak ke mana-mana selalu fikir nak ajak orang, tapi sukar mencari yang sama minat dan tak ralat ikut bergelumang sama naik dengan buku.
    Sudahnya sekarang, saya kembara ke mana-mana sendiri. Senang =)
    Pegangan saya begini: Asal nawaitu baik, inshaallah Tuhan akan melindungi.
    Dan, saya tidaklah tahu menerjah saja satu-satu tempat baru. Saya research dulu lokasinya, perhentian bas-nya.

    Tentang buku, sekarang ada kedai buku indie di bandar kecil tempat saya tinggal. Lima minit dari kampus dengan berjalan kaki, dan boleh mencelah pergi antara kelas. Resolusi tak mahu beli buku selagi buku atas rak tak habis diladeni telah ‘dipecahkan’ dengan jayanya =>

    Balas

  12. Rebecca Ilham
    Feb 07, 2008 @ 04:20:24

    BTW Kak Nas,

    nanti kalau saya balik Malaysia, kita ke Chowrasta bersama, ya? =)

    Balas

  13. puteribongsu
    Feb 07, 2008 @ 21:31:45

    Becky Ilham, Nanti lah..akan pergi juga bila ada masa yang sesuai.

    ok, akak tunggu awak balik. bila balik ke sini? sempatlah akak rancang kewangan dahulu..hhuhuh..
    setakat ini (bila masuk februari) akak masih konsisten tak beli buku, itupun sebab tak keluar ke mana, dok di kampus menekuni assingment dan kerja2 lain saja…seringnya kalau keluar ke mana-mana akan beli singgah juga ke kedai buku, paling koman kalau dah ‘gian’ sangat beli buku dalam kedai buku di UIA ni saja…banyak juga yang bagus2.

    ok, cepat2lah pulang😀

    Balas

  14. zawanbaba
    Feb 29, 2008 @ 12:10:54

    penggera telah membunuh dompet saya sepanjang februari. sekian.

    Balas

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: