PERPINDAHAN KE BLOG BAHARU

Ini akan jadi entri terakhir dalam ujana saya di wordpress.com kerana saya telah berpindah ke ujana yang baharu di blogspot.com.

Untitled

Jom, kunjungi saya di UJANA NASRIAH ABDUL SALAM YANG BAHARU!

Dijemput membaca dan meninggalkan maklum balas. Dijemput juga meninggalkan pautan dan dijadikan pautan (link). Mudahan sama saling memberi dan berbahagi manfaat.

Salam hormat;

Nasriah Abdul Salam

13.03.2011 – 13.03.2012

ALHAMDULILLAH,
syukran, Tuhan;

Mohon terus pimpini kami
untuk terus saling berpimpinan
atas jalan aman dan cabaran.

(“Tuan Suami, moga Allah merahmatimu.”)

HARI-HARI BERSULUH HARAP

Cuaca di luar mendung, sedikit berangin dan beburung juga sudah berbunyi cuak – barangkali mengajak kumpulan masing-masing untuk lekas kembali ke sarang.

Sudah lama tidak memasukkan sebarang entri dalam blog ini. Jarang-jarang juga memasukkan perkembangan apa-apa aktiviti yang disertai. Walau bagaimanapun, banyak perkara yang difikirkan dan direncanakan. Lebih-lebih lagi apabila anak dalam kandungan kian aktif pergerakannya, maka makin banyak perkara perlu disiapkan dan tanggungjawab yang perlu dilangsaikan menjelang kelahiran yang kami nantikan.

Lalu, ketika ini, saya mensyukuri satu-persatu wajah yang selalu ada di sisi ketika ada masanya saya berasa bagai burung yang cuak dengan cuaca mendung di luar itu. Doa saya; pemilik wajah-wajah kesayangan ini dirahmati Allah dan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat juga.

Mohon saya pada teman-teman; doakan agar urusan saya dipermudahkan Allah dan diberi kesihatan serta kekuatan untuk terus laksanakan tanggungjawab yang masih berbaki (dan adakalanya bertambah). Mudahan Allah juga menyediakan perkara yang sama untuk kalian, insya-Allah. 

Salam hormat;
Nasriah Abdul Salam

KERANA BUDI

Pagi-pagi menanam selasih,
        Selasih ditanam di hujung serambi;
Bagailah mana hati tak kasih,
        Kerana tuan baik budi.

 

 

 

 

Buah rambai dalam padi,
        Lazat pula cita rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
        Sarat dengan budi bahasanya.

 

-Koleksi Kurik Kundi Merah Saga

KEMBALI – SALAM 2012.

Sesekali kembali ke tempat yang disukai – ibarat kembali menemui seorang sahabat lama yang dirindui.

Selamat Tahun Baru 2012

Dengan doa keselamatan dan kesejahteraan, dunia dan akhirat – untuk semua!

Salam hormat; Nasriah Abdul Salam.

CINTA TIDAK KESAMPAIAN – DI BAWAH LINDUNGAN KA’BAH

Cerita cinta tidak kesampaian – pada saya itu cerita biasa. Cerita yang boleh sahaja berlaku di mana-mana dan dalam apa bentuk persembahan sekalipun. Cinta tidak kesampaian kerana darjat atau keturunan – itu juga cerita biasa.

Begitu juga cinta Zainab dan Hamid dalam filem Di Bawah Lindungan Kaabah, yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama, karya Hamka. Tiada yang beza atau luar biasa, pada saya. Cinta Zainab dan Hamid dalam Di Bawah Lindungan Kaabah, tidak jauh berbeza dengan cinta Hayati dan Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, juga karya Hamka. Bahkan, pengakhiran cerita juga lebih kurang serupa. Juga, bagaimana surat berperanan dalam menghubungkan makna perasaan bagi watak-watak utama dalam kedua-dua karya tersebut – juga lebih kurang sama.

Namun, sebanyak mana sekalipun persamaan sesuatu perkara, tentu sahaja ada sekurang-kurangnya satu perkara lain yang membuatkannya lebih tertonjol. Begitu jugalah dengan Di Bawah Lindungan Kaabah – temanya biasa, tetapi pada saya, pengolahan jalan cerita dan bahasa menjadikan cerita ini menempuh jalannya yang berbeza.

 Cerita cinta yang memiliki harapan berbeza, sudahnya menempuh satu laluan yang berpusat di negeri yang satu – Mekah, dengan surat yang mempertemukan mereka. Harapan Hamid yang paling besar ialah untuk menunaikan haji, dan pada sisi Zainab pula; menikah dengan lelaki yang mencintai dan dicintanya adalah harapan yang teratas, sehinggakan impian itu dititipkan kepada Hamid untuk disebut di hadapan Kaabah. Tanpa sedar, kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan.

Luahan perasaan tidak perlu dengan kata-kata berjela. Masing-masing memahami sendiri walaupun tanpa pengakuan secara langsung. Bagaimana sabut berisi kalam tertulis nama ‘Zainab’ dihanyutkan lewat arus sungai sehingga disambut oleh Zainab sendiri ditafsir sebagai satu bentuk penyampaian perasaan dari pihak Hamid walaupun susuk tubuh lelaki itu tidak kelihatan.

Bahasa – tetap akan jadi penghubung yang baik dalam apa-apa sahaja situasi. Pengakuan cinta Hamid walaupun tidak secara langsung lebih ‘berdarjat’ dengan kata-kata bermakna ketika ditanyakan perasaannya kepada Zainab oleh Engku (salah seorang gurunya) dengan soalan langsung dan didesak: “Apakah engkau mencintai Zainab?” Lalu jawab Hamid; “Saya hanya bisa mengatakan bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar dibandingkan dengan kesedihan ketika saya difitnah dan diusir dari kampung ini.”

Juga, antara kata-kata cantik yang lain untuk saya catatkan;

“Sampai kapanpun; emas takkan setara dengan loyang, dan sutera tak sebangsa dengan benang.” – ibu Hamid

“Apapun yang akan terjadi, Hamid; ingatlah bahawa ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup.” – ibu Hamid

“Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang harus terus kita bawa; keyakinan, dan cinta.” – Hamid.

Selain mendapatkan VCD/DVD, filem ini boleh ditonton di Youtube.
Selamat menonton dan mendengar yang indah daripada tema cerita yang biasa!

QASIDAH INDAH MEMPERINGATI RASULULLAH (S.A.W)

طالما اشكو غرامى - Ini qasidah lama, yang saya sendiri tidak pasti siapa pencipta asalnya dan siapa pula yang mula melagukannya. Cuma seingat saya, liriknya pernah suatu waktu dahulu disenandungkan oleh Imad dalam nada yang sedikit rancak. Selepas itu, Haddad Alwi pula mengalunkan dalam versi orkestra bersama Sulis.

Walau bagaimanapun, qasidah yang dibawa oleh Abdelssalam El-Hasany ini lebih mengikat rasa, lebih memegang hati, lebih memugar rindu untuk baginda Rasul.(Abdelssalam El-Hasany ialah penasyid daripada Moroco yang keturunannya bersalasilah dengan Ahlil-bait Rasulullah S.A.W) 

“Selepas dihulurkan zam-zam, mudahan nanti kami dipilih untuk minum dari haudh, yang akan menghilangkan haus kami untuk selama-lamanya, wahai penyandang akhlak al-Quran. Selawat dan salam untuk sebaik-baik makhluk, sebaik-baik manusia. Mudahan kami terpilih untuk mendapat syafaatmu pada saat tiada satupun penolong yang bermanfaat.” 

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

طالما اشكو غرامى يا نور الوجود

وانادى يا تهامى يا معدن الجود

Lama sudah aku menanggung rindu;
Wahai cahaya alam yang indah !
Serta aku menyeru, wahai nabi !
Wahai punca ilmu yang pemurah !

.

منيتى اقصى مرامى احظى بالشهود

وارى باب السلام يا زاكى الجدود

Impianku setinggi-tinggi cita-cita;
Moga diberikan tuah dapat melihatmu;
Juga melihat Bab al Salam (di Masjid Nabawi);
Wahai sesuci-suci insan!

.

يا طراز الكون انى عاشق مستهام

مغرم والمدح فنى يا بدر التمام

Wahai hiasan dunia ini!
Aku amat cinta dan rindu padamu;
Hanya pujian menjadi persembahanku;
Wahai bulan mengambang penuh!

.

اصرف اعراضا عنّي اصناني الغرام

فيك قد احسنت ظنّي يا سامى العهود

Jauhkanlah segala penghalangku daripadamu;
Yang kupendam hanya kerinduan terhadapmu;
Padamu aku bersangka baik;
Wahai yang benar pada janjinya!

.

يا سراج الأنبياء يا عالي الجناب

يا إمام الأتقياء إن قلبي زاب

Wahai pelita sekalian Rasul!
Wahai insan yang mempunyai setinggi-tinggi kedudukan!
Wahai Imam orang-orang yang bertaqwa!
Sesungguhnya hatiku terpaut padamu.

.

وعليك الله صلى ربى ذو الجلال

يكفى يا نور الاهلة ان هجرى طال


Ke atasmu, moga Allah mencurahkan rahmat;

Tuhanku Yang Mempunyai Keagungan;
Cukuplah, wahai Cahaya Bulan!;
Sesungguhnya perpisahanku denganmu telah terlalu lama.

.

Previous Older Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.