Ujana Sakar Syatar menghimpukan buku atau bacaan-bacaan tertentu yang pernah dibaca atau bacaan terkini. Buat masa ini, Sakar Syatar akan dipenuhi dengan ulasan dan pandangan mengenai buku yang dibaca sepanjang tahun 2007.

Manikam Kalbu, Faisal Tehrani, DBP, 2007-  Sebuah novel yang telah memenangi hadiah utama kategori novel remaja Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP. Tema tunjangnya novel ini ialah kekayaan dan kegemilangan Melayu dalam bidang busana dan fesyen. Juga, turut diadun bersekali dengan tema kasih sayang kekeluargaan, persahabatan dan setiakawan, serta kekuatan jati diri remaja dalam kesungguhannya menuntut ilmu.
Keseluruhannya, novel ini bergerak ‘antara dua zaman’ iaitu zaman Sultan Muhammad Syah Melaka dan zaman kini. Bab-bab novel yang ‘sengaja’ diatur atau disusun berselang-seli bagi membezakan dua zaman (atau latar waktu) memudahkan pembacaan, Kedua-dua zaman tersebut seolah-olah bertemu dengan kewujudan seekor kucing Madura yang ‘dikatakan’ memiliki deria keenam yang mampu menyelami, memahami dan berkomunikasi dengan manusia.

 

 

 manikam_kalbu1.jpg
Dalam zaman Sultan Muhammad Syah Melaka, saudara Faisal Tehrani menggambarkan kejahilan penduduknya dalam berpakaian (terutamanya kaum wanita) dan keadaan ini menimbulkan kekhuatiran baginda sultan, sehingga baginda mula mengadakan pertandingan mencipta busana. Dalam zaman ini, Manikam Kalbu ialah watak seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tampil memenangi pertandingan tersebut dengan rekaan busananya yang bukan sekadar indah dan menutup aurat, bahkan turut mengandungi falsafah-falsafah tertentu yang berkait dengan ketauhidan dan keimanan. Malahan, pemilihan warna busananya bukan sekadar berfungsi untuk mengindahkan, tetapi turut berperanan untuk menampilkan kesederhanaan. Manikam Kalbu memelihara seekor kucing Madura yang sentiasa berdampingan dengannya belayar ke beberapa tempat untuk mendalami ilmu mencipta pakaian dan tenunan seperti ke tanah Aceh dan Minang.
“Jelaskan pada beta, apakah maksudnya warna putih?”
“Putih itu lambing tulang. Putih menampakkan suci, tanda beriman. Putih itu warna kegemaran habibullah, junjungan kita Rasulullah SAW, Tuanku.”
“Bagaimana dengan warna kuning?”
“Kuning lambangnya daging, Tuanku. Kuning raja ada daulatna dan kuning itu dipakai untuk menjaga maruahnya.” (muka surat 131)
Selain itu, bentuk rekaan dan jahitan busana Melayu turut mengandungi fungi, atau nilai-nilai falsafah yang tersendiri;
“Bersederhanalah, begitulah pacal ciptakan busana Melayu. Pacal tidak mahu baju Melayu itu ketat menjemput bala, dan busana penuh mengada-ngada itu petunjuk kepada peribadi sang pemakainya.” (muka surat 129)
Dalam zaman ‘kini’, seorang watak remaja lelaki yang bernama Ziryab memiliki minat yang mendalam dalam dunia busana dan fesyen. Oleh kerana minat tersebut, Ziryab mula mendalami dan berazam mentajdidkan busana Melayu kini yang kebanyakkannya sudah ‘tercemar’ dengan kemasukan elemen asing yang menenggelamkan keaslian busana Melayu dari segi fungsi, rekaan dan falsafahnya. Ini diungkapkan secara nyata oleh pertuturan Cikgu Natasya kepada Ziryab; “…Busana Melayu bukan main sarung sahaja. Kreatif bukan lesen untuk semborono menggabungkan kebaya dan seluar jeans misalnya, kemudian mengenakan mini telekung. Ini kesesatan. Tajdid ialah usaha untuk kembali kepada asal, dan asal kita ialah agama dan adab….” (muka surat 53)
Berbekalkan azam untuk mentajdidkan busana Melayu, Ziryab tekun dan gigih dalam usaha pembelajarannya biarpun dihalangi banyak cabaran dalam kehidupannya. Berdepan dengan kehidupan yatim piatu dan nenek yang menjaganya sejak kecil mula didatangi nyanyuk dan akhirnya turut meninggal dunia, juga ditambah dengan cabaran daripada teman-teman menjadikan personaliti Ziryab lebih matang berbanding usianya. Berbekalkan bantuan keluarga angkat dan kekuatan jati diri serta keazamannya, Ziryab akhirnya terbang ke Paris dan London untuk mendalami ilmu busana dengan cita-cita untuk mengislahkan busana Melayu.
Dalam zaman kini, Manikam Kalbu turut diangkat menjadi satu watak. Bezanya dengan zaman Sultan Muhammad Syah, Manikam Kalbu ialah seekor kucing Madura yang dipungut oleh nenek Ziryab dan dibela oleh keluarganya. Dan, kucing inilah yang menjadi penghubung dua zaman kerana keistimewaan deria keenamnya.
Secara keseluruhan, watak kucing yang diwujudkan kelihatan terlalu ‘fantasi’ kerana barangkali pembaca akan mempersoalkan keistimewaan kucing ini yang memiliki deria keenam dan hidup dengan hayat yang terlalu lama (antara zaman Sultan Muhammad dan zaman kini). Namun berdasarkan pembacaan saya, ‘keanehan’ tersebut tidak mencacatkan sebuah cerita dan bukan satu fantasi yang keterlaluan, bahkan keistimewaan yang ada pada kucing tersebut begitu penting dalam membantu pergerakan ceritanya. Biarpun maklumat mengenai busana Melayu yang dirincikan dalam novel ini kelihatan ‘berat’ namun penceritaan dengan gaya santai dan humor membantu mengimbangi maklumat-maklumat yang diadun campur. Sudahnya, novel Manikam Kalbu merupakan satu novel humor yang penuh wacana, satu kepuasan bagi pembacanya.
‘Ab, kerana sebaik-baik pakaian itu ialah takwa. – Cikgu Natasya.
(Kategori: Tolonglah Baca)

 

 

 

Kekasih Sam Po Bo, Faisal Tehrani, Abeerdeen Books World, 2007 – sebuah kumpulan cerpen hasilan idea dan himpunan ilham penulis prolifik, mengandungi 30 buah cerpen pelbagai tema sama ada bersifat lokal atau universal. Kebanyakan cerpen yang dimuatkan dalam naskhah ini ialah cerpen-cerpen yang pernah memenangi hadiah-hadiah sastera.

 

 kekasih_sang_po_po_201.jpg

 

 

Sebagai salah seorang pembaca, saya begitu menyenangi cerpen Imam Muhaimin (cerpen ini begitu ‘menyengat’ sejak saya membacanya dalam Dewan Sastera), Syawal Ini Abah Menjadi Manusia Kembali (anda boleh menangis jika benar-benar menginsafi penyampaian tema dan wataknya), Moga Umpama Attarajjah (mahu tahu apa itu Attarajjah?), Sultan Alauddin Belajar Tasawuf, Sultan Alauddin Syahid Diracun, Setelah Diciptakan Adam…(mahu tahu apa yang dicipta kemudiannya?)… Istimewanya kumpulan cerpen ini, anda boleh melihat, mengkaji dan seterusnya belajar bagaimana Cikgu Faisal Tehrani menggunakan beberapa sudut pandang dalam penulisan cerpen. Kesemua cerpen dalam kumpulan ini mewakili semua sudut pandang, iaitu sudut pandang pertama (penceritaannya berkisarkan penggunaan ‘aku, saya’), sudut pandang kedua (penceritaannya bergerak dengan penggunaan ganti nama kedua, misalnya ‘kau’) dan sudut pandang ketiga (ganti nama ketiga).
Nah, anda boleh membaca dan mendapatkannya sendiri. Mari belajar tulis cerpen dengan membacanya terlebih dahulu.
(Kategori: Mesti Baca)

 

Warisan Seni Bina Melayu, Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh, Penerbit UKM, 1997 – Seni bina Melayu  berkembang selari dengan peredaran masa dan turut menerima asimilasi daripada unsur bangsa lain. Dalam seni bina, Melayu menunjukkan kekayaan kreativiti dan sumber kayu kayan, dan ini boleh dilihat dalam pembinaan rumah kediaman, istana, rumah wakaf, masjid dan surau, kota dan kubu, makam, dan sebagainya.

buku-melayu.jpg

Dalam pembinaan rumah, orang-orang Melayu bijak menyesuaikan pembinaan rumah dengan alam persekitaran, iklim, pengaruh kepercayaan agama, ekonomi serta nilai hidup. Misalnya, iklim hujan dan panas sepanjang tahun mempengaruhi seni bina rumah yang bertiang dan berlantai tinggi daripada tanah bagi mengelakkan kelembapan tanah atau banjir. Selain itu, bentuk rumah yang bertiang tinggi akan membolehkan peredaran udara di bawah kolong dan penghawaan turut disokong dengan pembinaan cucuran atap. Dengan pengaruh agama Islam, orang Melayu akan membina rumah berorientasikan arah kiblat. Selain itu, ukiran-ukiran bermotifkan tumbuh-tumbuhan dan kaligrafi akan menghiasi seni bina rumah kediaman Melayu.
Buku ini turut menyebut dan menyenaraikan beberapa kategori rumah yang dibina seperti rumah bujang salasar, rumah bujang barat, rumah potong Patani (yang dipengaruhi oleh gaya seni bina rumah Melayu Patani), rumah kutai, rumah bumbung panjang, rumah tiang dua belas, rumah potong Belanda dan sebagaianya. Kepelbagaian jenis rumah ini menunjukkan kekayaan kreativiti masyarakat Melayu serta pengaruh bangsa lain pengaruh agama turut memainkan peranan dalam pembinaan rumah.
Selain itu, buku ini turut membicarakan kehalusan seni bina Melayu berdasarkan ukiran yang kebiasaannya diukir pada dinding, tingkap, serambi, singgahsana istana, tiang, pintu gerbang dan sebagainya. Gambar-gambar yang dirakamkan dalam buku ini membuktikan ukiran dan seni bina Melayu benar-benar mengkagumkan. Bahkan, setiap bahagian rumah turut dibicarakan seperti pembinaan dinding, bumbung dan sebagainya.
Buku ini disarankan buat pembaca yang ingin mencari dan menelaah kembali kekayaan dan kehalusan budaya bangsa Melayu. Bahkan secara peribadi, saya asyik sekali menatap dan memerhati setiap gambar yang dilampirkan, dan setiap seni dalam pembinaan rumah bukan dibina tanpa apa-apa fungsi, sebaliknya mewakili falsafah-falsafah tertentu. Cari dan bacalah, mudahan anda menyayangi kekayaan milik bangsa sendiri!
(kategori: mesti baca)
Reka Bentuk Rumah Kolonial di Malaysia, Zulkifli Hanafi, penerbit USM, 2000- Sepanjang pendudukan Inggeris di Tanah Melayu, corak pemerintahan mereka turut mempengaruhi pembinaan seni bina rumah. Bagi menjaga kepentingan mereka dalam pemerintahannya di Tanah Melayu, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pekerja British dibawa masuk dan untuk menempatkan kemasukan mereka, rumah-rumah yang bercirikan reka bentuk Barat diperkenalkan.
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh penulis, rumah kolonial boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu rumah teres (setingkat dan dua tingkat), rumah berkembar (setingkat dan dua tingkat), dan rumah banglo (untuk pegawai atasan dan rakyat). Dalam buku ini, beberapa contoh rumah kolonial dianalisis dan dikaji. Secara khususnya, buku ini membicarakan tentang pemilihan tapak rumah untuk pembinaan rumah kolonial, susun atur ruang, bentuk rumah, kekedaran rumah, susun atur tapak dan jarak antara rumah, pembinaan dinding dan bumbung, pembinaan lantai, pembukaan, termasuklah hiasan dalaman dan lanskap yang mementingkan keselesaan dan keindahan atau ‘kemegahan’ bangsa Inggeris.
Misalnya, rumah akan dibina berhampiran bandar dan jaraknya dibina berselang agak jauh dengan rumah lain bagi menjaga privacy, tiang yang megah dan pintu berpanel yang berkaca. Walaupun begitu, pembinaan rumah kolonial turut dipengaruhi oleh seni bina setempat (seni bina Melayu), misalnya bentuk bumbung perak, bumbung panjang dan bumbung lima turut mempengaruhi pembinaan bumbung rumah kolonial disebabkan. Secara rasional, pengaruh ini disebabkan oleh tukang rumah yang merupakan orang tempatan, serta bagi menyesuaikan pembinaan rumah di negara yang menerima hujan sepanjang tahun.
Secara keseluruhannya, pembinaan rumah kolonial di Malaysia dibina berdasarkan pangkat dan bagi menjaga kepentingan atau privacy penghuninya. Misalnya, susun ruang mengikut heirarki fungsi dan kepentingan ruang pegawai berpangkat tinggi akan dibina berbeza dengan rumah milik pegawai berpangkat rendah dan kakitangan biasa dari segi keluasan, bahan binaan dan sebagainya.
(kategori: bacalah)
Simbolisme Dalam Seni Bina Rumah Melayu Kelantan, Muhammad Afandi Yahya, DBP, 1995 – Seni bina rumah Melayu tidak dapat dipisahkan daripada symbol, adat, falsafah dan kepercayaan. Penulis buku ini menjalankan kajian dan merungkaikan simbol dan falsafah yang menjadi kepercayaan masyarakat Melayu dalam membentuk, mereka dan menghias kediamannya. Semua symbol atau falsafah dicerminkan melaui seni hiasan, susunan dan imbangan bentuk rumah, garis, corak, jalinan dan warna. Walaupun penulis memberi tumpuan terhadap pembinaan seni bina rumah di Kelantan, namun semua falsafah atau simbolisme yang diperkatakan mewakili rumah Melayu keseluruhannya. Sebagai penguat subjek buku ini, penulisnya turut merujuk kajian yang pernah dibuat oleh penulis-penulis lain.
Secara keseluruhannya, simbolisme dalam seni bina rumah Melayu boleh dilihat dalam adat istiadat pemilihan tapak rumah, meramu rumah, mendirikan rumah, dan menaiki rumah. Selain itu, penggunaan symbol juga terkandung dalam reka bentuk rumah tradisi Kelantan serta hiasan seni ukirnya.

rumah-melayu2.jpg

Sepanjang telaahan buku ini, simbolisme dalam pembinaan rumah Melayu boleh saya ringkaskan kepada 3 kategori, iaitu simbolisme berdasarkan kepercayaan terhadap semangat lain, kekayaan ilmu tajuk muluk serta simbolisme berdasarkan penghayatan agama dan falsafah Islam.Contohnya, kepercayaan masyarakat Melayu lama terhadap semangat lain tercermin dalam proses pemilihan tapak rumah, pemilihan kayu kayan, dan sebagainya. Oleh sebab itu, khidmat pawing atau bomoh turut digunakan untuk menimbang pusat tanah untuk mengetahui hubungannya dengan udara. Oleh itu, seelok-eloknya tanah yang mencuram ke arah selatan perlu dielakkan kerana dipercayai penghuninya akan diganggu dengan pelbagai penyakit. Oleh itu, pawang akan mengubahnya supaya mencuram ke arah lain seperti rendah ke utara dan tinggi ke arah selatan, supaya penghuninya tidak mudah diserang penyakit. Secara pandangan peribadi, kepercayaan ini sedikit sebanyak memiliki rasionalnya tersendiri kerana adakalanya penyebaran penyakit yang berjangkit khususnya boleh dibawa oleh bawaan angin. 
Kepercayaan tajul muluk juga turut digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu dalam membina rumah mereka. Misalnya, menurut pengarang Kitab Tajul Muluk (yang dipetik oleh penulis buku ini) menyatakan pemilihan tapak rumah juga harus dipilih dan ditentukan berdasarkan warna dan rasa tanahnya. Maksudnya, baik atau tidak sesebuah tapak disimbolkan oleh warna, jenis dan rasanya. Misalnya, tanah yang putih dengan rasa yang harum dan manis melambangkan kesucian akan membolehkan penghuninya hidup dalam keberkatan dan terhindar daripada kuasa jahat, serta disegani masyarakat.
Sebaliknya, tanah berwarna hitam dengan bau hanyir dan bau busuk adalah lambing kejahatan dan penghuninya akan dilanda kehancuran dan kebinasaan. Tanah yang tidak baik seperti tanah berbonggol, berlubang dan retak mesti dielakkan kerana sifat tanah ini sendiri menunjukkan keburukan dan secara simboliknya membayangkan hal yang sama terhadap penghuninya. Misalnya, keretakan rumah tangga, persengketaan, perceraian dan penyakit. Sekali lagi, pada pendapat peribadi saya,  hal ini mesti dilihat secara rasional. Misalnya, tanah yang berlubang atau retak menunjukkan bahawa struktur tanah itu sendiri tidak kuat. ‘kehancuran’ yang disimbolkan merujuk kepada keruntuhan rumah itu sendiri, dan permasalahan yang timbul mungkin akan memberi kesan negatif secara tidak langsung kepada keluarga yang menghuni tempat tersebut -  porak peranda, pergaduhan, dan sebarang bentuk masalah yang boleh membawa kepada perpecahan.
Pengaruh agama Islam memainkan peranan besar dan penting dalam seni bina rumah Melayu. Simbol dan falsafah berdasarkan agama Islam (ketauhidan) dan alamiah mempengaruhi sebahagian besar bentuk, hiasan dan makna sesebuah seni bina rumah. Misalnya, bentuk Rumah Limas Melayu yang melebar di bawah dan meruncing di atas melambangkan kejahilan manusia yang ketara jika berhadapan dengan ilmu Allah S.W.T. Dan ada pendapat lain yang mengatakan, bentuk bumbung yang menguncup ke atas memperlihatkan pemahaman orang Melayu terhadap khalik dan makhluk. Bahagian bawah yang melebar, membayangkan alam yang penuh dengan kekotoran. Manakala, semakin ke atas, semakin bersih dan akhirnya menuju ke arah hakikat ketuhanan yang abadi. (muka surat 79).
Pembinaan bahagian rumah yang lain, anak tangga misalnya, tidak dibina dengan bilangan genap kerana dianggap membawa keburukan. Tetapi, tangga yang dibina dengan bilangan ganjil dianggap membawa kebaikan, dan kebiasaannya bilangan anak tangga yang paling popular diguna ialah lima. Pemilihan bilangan lima anak tangga mempunyai maksud tersendiri, di mana anak tangga pertama (paling bawah) yang dipijak mewakili nafsu amarah, kemudian menginjak ke anak tangga keempat memberi simbol nafsu lawwamah, seterusnya nafsu mulhamah, nafsu muthmainnah, dan yang paling tinggi nafsu radhiyah. Secara rasionalnya juga, ini menggambarkan betapa seseorang Muslim perlu berusaha untuk mencapai dan mendaki tangga-tangga lain menuju puncak nafsu tertinggi, iaitu nafsu muthmainnah. Oleh sebab itu jugalah, tempayan air diletakkan di tepi tangga dan kaki perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum memijak tangga. Ini menunjukkan, penyucian diri dan hati diperlukan untuk menginjak tingkat nafsu muthmainnah. (muka surat 92, 100)
Ringkasnya, pembinaan rumah Melayu amat berkait rapat dengan ‘kehalusan dan kekayaan ’ dari segi falsafah dan simbol yang dipengaruhi oleh adat dan agama Islam. Biarpun adakalanya simbol-simbol yang digunakan kelihatan memiliki unsur-unsur semangat yang tidak dibenarkan oleh Islam, namun rasional disebaliknya perlu direnungi. Orang Melayu dahulu masih kuat dipengaruhi oleh agama Buddha dan Hindu dan unsur-unsur ini berdikit-dikit hilang dan digantikan oleh falsafah Islam yang memberi simbol ketuhanan. Sama seperti pemilihan kata atau diksi dalam puisi, begitu jugalah pemilihan dan pembinaan rumah Melayu lama, betapa indah dan berseni.
(kategori: tolonglah baca)

 

LAIN-LAIN YANG MENANTI GILIRAN ULASAN (kalaulah sempat) SEPANJANG PEMBACAAN 2007;

TUHAN MANUSIA, Faisal Tehrani, Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd, 2007.

BILA TUHAN BERBICARA, Al-Ameen Serve Sdn. Bhd, 2007

BEDAR SUKMA BISU, Faisal Tehrani, DBP, 2007.

DETEKTIF INDIGO, Faisal Tehrani, Utusan Publications.

1511H (KOMBAT), Faisal Tehrani, Utusan Publication, 2004

MENCARI LOCUS STANDI, Nisah Haji Haron, Utusan Publications, 2004

CINTA SANGKURIANG, RINDU OEDIPUS, Nisah Haji Haron, 2006

ODISI TANAH KENCANA, Sri Rahayu Mohd Yusop, Utusan Publications, 2007

JUSTERU IMPIAN DI JARING, Zaid Akhtar, Utusan Publications, 2007

PUSAKA CENDANA, Nor Azah Abd. Aziz, Rozlan Mohamed Noor (Penyelenggara) Utusan Publication, 2007.

WARNA PERANG, Nor Azah Abd. Aziz, Rozlan Mohamed Noor (Penyelenggara) Utusan Publication, 2007.

WAHAI IBU! WAHAI AYAH! Hafiz Firdaus Abdullah, JAHABERSA, 2006

INSAN, INGATLAH! SEBUAH PANDUAN MENUJU HATI YANG TENANG, Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nufair Street Sdn Bhd, 2006

THE BIBLE OR THE QURAN (hich one is the true word of God?), Abuhuraira Abdurrahman, Islamic Counsellor Office.

BUMI HARAPAN, Ali Jusoh, Utusan Publications, 2004 – novel ini pernah memenangi Anugerah Sastera Darul Iman IV.

UNDANG-UNDANG KEDAH, diselenggarakan oleh Mariyam Salim, DBP, 2005

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA, Abdul Aziz Bari, Intel Multimedia and Publication, 2005

DUBAI TALES, Muhammad al Murr (diterjemahkan  daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris oleh Peter Clark, Forest Books, London & Boston.

FALSAFAH KESUSATERAAN DAN SENI HALUS, Sayyed Hossein Nasr, diterjemahkan daripada bahasa Arab oleh Baharudin Ahmad, DBP, 11989.

 

13 Respons to “SAKAR SYATAR”


  1. Nasriah,

    Kenapa tulisannya kecil? Sedikit seksa mataku dibuatnya. Kebetulan, buku ketiga terbitan DBP itu juga saya miliki. Nasriah, teruslah membaca!

  2. bunga Says:

    teruskan membina rumah..

  3. puteribongsu Says:

    Salman, terima kasih. saya kabulkan permintaan anda.

    bunga, terima kasih. saya sedang mengecat dan mengukir sekarang. ada sesiapa sudi reka landskap luaran taman?


  4. Hah, baru senang dibaca. Lain kali ‘kasi torang’. Begitulah baru jelas di mata Pakcik yang dah rabun ni nak oii! Heh, heh. Gurau je. Bacalah lagi ya!

  5. puteribongsu Says:

    Atuk Salman, terima kasih sekali lagi. saya sangat prihatin dengan warga emas..hehe..

    “bacalah lagi” – sama macam pesan seorang atuk kepada cucunya :D


  6. ehemm…saya hanya peminat seni landskap taman dan sedang mendalami seni ini. tapi kalau saudari memberi kepercayaan kepada saya, saya sudi merekaciptanya… (“,)

  7. puteribongsu Says:

    Saudara Hasbullah, saya minat dengan landskap taman tapi belum ada peluang nak belajar, kalau ada peluang pun saya utamakan perkara lain yang dirasakan lebih perlu untuk dipelajari..hehe…

    oleh itu, boleh sahaja jika anda berminat, saya berikan kepercayaa. pastikan dalam kolam buatan ada ikan kap, dan bunga-bunga kiambang juga keladi air. nak letak teraitai pun boleh, saya suka sekali.

    dan juga, mahu ada satu wakaf mini berdekatan dengan kolam tu. biar tenang saya nak membaca, nak menulis, nak menghabiskan masa di situ..

    huh, diri sendiri kuat berangan!!! ;)

  8. FahdRazy Says:

    Mesti baca dan tolonglah baca mana satu lagi tinggi prioritinya?

  9. puteribongsu Says:

    Fahdlil, martabat “tolonglah baca” lbih tinggi daripada “mesti baca”

    :D

  10. zierie Says:

    sy..boleh tolong buatkan landscape rumah puteri bongsu….teringat syair masa darhag enam dulu

  11. klantan boy Says:

    blh tlong buat esei btjuk,’seni bina perlu mencerminkan identiti bangsa’.

    1. puteribongsu Says:

      kelantan boy, semudah itu awak siapkan kerja?

Tinggalkan jawapan