Tanpa malu

kuseluk poket-Mu, Rabb;

berikanlah sekepeng rahmat

moga reti kubeli semangat

bila rohaniku sedang membejat.”

    Nasriah Abdul Salam, subuh, ketika hujan.

Saya masih perlu mengetik kekunci komputer (kerja masih ditimbun/bertimbun) biarpun mata sudah terlalu minta direhatkan.

Sudah banyak kali saya lalui jalan sehala, hinggakan adakalanya saya fikir mahu sahaja berhenti. Namun, kenderaan di belakang saya masih banyak, dan banyak kecelakaan yang mungkin berlaku jika saya berhenti begitu sahaja.

Memang, melalui jalan sehala amat memenatkan, berkali-kali.

Hingga adakalanya saya tidak rasional memberitahu diri; pilihlah sahaja jalan mati, di situ barulah perjalanan akan berhenti dengan sendirinya. (Ampunkan aku, Tuhan)

Kawan, Tuhan menguji anda dan saya berbeza-beza nisbah dan gravitinya. Mari terima dengan reda, dan syukur atas semua perkara.

Kawan, begini kata Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 186 dengan maksud; Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka beritahulah sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Dan kawan, begini pula kata Nabi Muhammad dalam hadisnya (riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim) yang bermaksud; Tak seorang pun pendoa, melainkan ia berada di antara salah satu dari tiga kelompok ini: Kadang ia dipercepat sesuai dengan permintaannya, atau ditunda (pengkabulannya) demi pahalanya, atau ia dihindarkan dari keburukan yang menimpanya.

(Apa lagi kali ini, Tuhan?)

: Doakan kekuatan untuk saya, mudahan.

TAHNIAH untuk pemenang HSKU 2008, mudahan terus sukses dan prolifik!

    Aniqah Jun, 2009

     “Islam bukan melarang cinta, bahkan perasaan itu dicipta oleh Allah bersesuaian dengan fitrah manusia, sebagai pengubat jiwa yang sentiasa berkeluh-kesah dan sentiasa berasa kehilangan,” Ustaz Firdaus berhenti seketika, seraya meneguk air kosong yang sedia diletakkan di sisinya. Diana yang mula tersengguk di sebelah ditepuk kasar, menyentakkan gadis itu dan dia membetulkan duduk sambil menggosok-gosok mata.

      “Kita menjadi penggila cinta apabila cinta bersendi nafsu terlalu diagungkan sehingga melupai kuasa sebenar pemegang cinta, iaitu Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Sebab itulah Islam datangkan ajaran yang lengkap untuk menjaga perasaan ini agar kehidupan manusia tidak dikucar-kacirkan oleh cinta itu sendiri.” Suara Ustaz Firdaus menusuk ke teras perasaan.

       “Jadi, cinta yang disekalikan dengan akal itulah yang menjadikan kita pencinta yang normal dan rasional. Anak-anakku, cinta bersendi nafsu yang digilai banyak manusia umpama sebatang tiang yang digilai anai-anai. Zahirnya kukuh, namun terlalu rapuh buat menongkat sebuah rumah, apatah lagi untuk berdiam di dalamnya.” Kesimpulan ceramah Ustaz Firdaus malam itu memalu perasaan dan ada kesalan yang bertindan-tindan. Ustaz Firdaus yang belum bangkit daripada lantai surau dipandang, seperti ada bayangan arwah ayahnya bersebelahan ustaz itu.  

      “Engkau menangis?” Diana menyinggul lengannya ketika pelatih-pelatih lain mula bangun dan bersedia menyertai jemaah isyak yang akan diimamkan oleh Ustaz Firdaus.

 

Nota; Teruskan membaca novel saya di majalah Aniqah dengan judul Melur Hasanah, dengan siri ketiga (Jun 2009) dengan siri ‘Bukan Jatuh Cinta.’

 

Di PPMN

(Gambar diambil daripada Utusan Online)

Kalau dibandingkan dengan penulis terdahulu yang terdidik oleh alam dan persekitaran perang, penulis muda sekarang lebih beruntung apabila datang dengan ilmu dan disiplin yang pelbagai. Nasriah misalnya dari jurusan undang-undang telah menyentuh mengenai kekangan undang-undang yang membataskan penghasilan karya kreatif.

Nasriah yang beberapa kali memenangi anugerah di HSKU melihat bahawa sekatan secara langsung dan tidak langsung boleh menjejaskan kebebasan berkarya terutama golongan muda. Beliau menuntut diberikan kelonggaran supaya golongan penulis bebas melontarkan pemikiran dalam lingkungan adab sopan budayanya.

Baca lanjut tulisan Ku Seman Ku Hussain, di Utusan Online, di sini

     Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 di Tanjung Piai, Johor – ketika itu saya masih terlalu baru dalam dunia penulisan. Tentu tidak saya lupakan perjalanan daripada Port Dickson (seusai seminggu menjadi peserta Minggu Penulis Remaja) ke Tanjung Piai sebagai peserta dan penulis yang ‘sangat muda.’ Sejujurnya ketika itu, saya terlalu rasa ‘terasing’ dengan apa yang diperkatakan oleh pembentang di PPMN 2005. (Dan di PPMN 2009 saya ketemui mantan-mantan MPR 2008 – syabas untuk adik-adik yang saya dampingi di MPR 2009 atas penyertaan anda, kerana kita ialah penyambung perjuangan meletakkan budi manusia pada tempat asalnya).

     Selepas empat tahun, saya diundang sebagai salah seorang pembentang makalah di PPMN 2009. Terlintas di fikiran saya untuk menolaknya apabila menyedari saya masih ‘sangat muda’ dalam penulisan, apatah lagi untuk menjadi panel di hadapan sarjana dan penulis yang begitu mapan. Namun dalam waktu yang sama hati saya juga menyuruh, bahkan mendesak untuk lekas-lekas ‘berdewasa.’ Lalu, saya sematkan dalam minda bahawa ini satu ‘lamaran’ akademik – bidang yang mula saya cintai kini, maka saya tidak boleh menolaknya.

     Hari pertama di Puteri Resort, Ayer Keroh, saya sudah ketemu rakan-rakan mantan MPR dan kenalan-kenalan penulis yang sudah lama tidak bertemu. Duduk bersekali dalam satu sesi bersama Ustaz Azman Al-Kurauwi, Cikgu Sahrunizam Abdul Talib dan Kak Nisah Hj. Haron membicarakan ‘Pengarang Muda; Ketiadaan Ruang dan Masa Hadapan’ sungguh-sungguh buat saya ‘kerdil’ sekali lagi. Bahkan, antara audien di hadapan saya ialah Dato’ Haji Termuzi Abdul Aziz (Ketua Pengarah, DBP), ayahanda Dato’ Baha Zain (yang tidak sempat menyapa bertanya khabar kerana kurang sihat pada hari kedua di sana dan ayahanda Baha Zain sudah meninggalkan majlis pada hari ketiga. Maafkan saya, ayahanda) dan Dato’Dr. Anwar Ridhwan juga buat dewan serasa luas dan audien seperti tiga kali ganda ramai.

Pengarang Muda: Ketiadaan Ruang atau Masa Hadapan - tiga panel beserta pengerusi, Rahimidin Zahari

     Dalam makalah saya, ‘Kelangsungan Pengkaryaan Penulis Muda: Sorotan Kebebasan Berekspresi,’ perbincangan difokuskan terhadap ‘kekangan’ dan ‘penyempitan’ ruang penulis muda dari sudut undang-undang yang boleh menyempitkan ruang berekspresi dengan gagasan dan pendapat. Pentingnya ruang yang selesa (nota: bukan ruang yang seluas-luasnya) diberikan kepada penulis muda saya justifikasikan melalui kaca mata agama, undang-undang hak asasi dan undang-undang Malaysia.

     Tanpa menafikan peranan undang-undang untuk mencegah penulisan yang boleh menggugat pembentangan makalahketenteraman masyarakat dan keselamatan sosial (lihat sahaja fungsi undang-undang terhadap Salman Rushdi sesudah menulis Satanic Verses), namun melaksanakan undang-undang secara keras atau ‘rigid’ hanya lama-kelamaan menyumbang ke arah proses ‘pembodohan’ masyarakat apabila gagasan dan buah fikiran penulis tidak dapat disampaikan terus kepada masyarakat. Oleh yang demikian, saya melihat ‘peranan tiga penjuru’ (iaitu peranan penulis itu sendiri, peranan masyarakat termasuk pembaca dan penerbit serta peranan penggubal dan pelaksana undang-undang) menjadi landas penting dalam pengharmonian ‘kebebasan’ penulis muda dan ‘kekangan’ undang-undang ini.  (maaf atas kekurangan makalah ini dan kelemahan seorang saya ketika pembentangan berlangsung).

     Hari kedua, saya rasakan saya sedikit ‘mengasingkan diri’ atas faktor kesihatan. Ketika itu saya sangat bersyukur kerana Tuhan masih berikan kesihatan pada hari pembentangan makalah saya pada hati pertama perhimpunan. Bahkan malam persembahan peserta di pinggir kolam tidak saya hargai sepenuhnya, langsung pulang berehat ke bilik penginapan selepas makan malam biarpun saya perlu manfaatkan waktu itu untuk mengenali penulis-penulis lain. (Maaf sekali lagi atas halangan ini)

     Secara peribadi, saya melihat PPMN 2009 tidak ‘semeriah’ PPMN 2005. Sepanjang tinjauan PPMN 2009 – saya tercari-cari wajah orang-orang ‘besar’ dan sarjana sastera kita yang lain (yang saya temui di PPMN 2005 dahulu), sebagai inspirasi penulis-penulis muda yang akan menerus legasi yang sama, namun saya difahamkan banyak antaranya dalam persiapan untuk majlis lain yang perlu didahulukan. Biarpun mungkin kurang ‘dimeriahkan’ dengan wajah-wajah individu penting sastera kebangsaan, apa yang lebih penting ialah merealitikan resolusi yang disepakati sepanjang berlangsungnya perhimpunan ini – mudah-mudahan. (Nota: Resolusi tersebut boleh dibaca langsung di blog Shamsuddin Othman, di sini).

     Syabas dan tahniah untuk semua, khususnya untuk penganjur utama (PENA) dan penganjur bersama. Moga ketemu lagi dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang berikutnya.

Salam takzim.

Jika itu tak boleh, ini tak boleh…habis, apa yang boleh?

Radikal sangatkah seorang saya?

Boleh baca, di Utusan Online, di sini

img_05451Hantarkan aku kembara ke belantara hati lelaki

untuk kurempa lebar-dalam gaung prinsipnya

untuk kuterka malar-rendang pohon jiwanya

untuk kucekera segar-teduh daun budinya

untuk kurasa besar-teguh umbi wahadatnya

hantarkan aku kembara ke sana

biar kucantas erti-erti makhfi

yang lama bersulur di julai naluri

hantarkan aku mencari.

NASRIAH ABDUL SALAM

KOTA BHARU

 

Syurga penuh dengan wangi-wangian. Dia pernah memilih penempa besi sebagai teman, bukan si penjual atar.

 

DIA pernah mendayung ke seberang. Sayang, perahunya digendalai lumpur. Dan, dia perlu menunggu waktu air pasang untuk kembali berdayung.

 

Dia manusia, dan anda juga manusia. Dia manusia yang pernah berdosa. Namun, sebaik-baik pendosa ialah apabila dia kembali menjadi pentaubat.

 

Dia pernah gagal, bahkan tanpa sedar, dia memilih untuk gagal. Namun, sebaik-baik manusia yang gagal ialah apabila dia memilih untuk menuju jaya.

Aniqah, April 2009

Dia ialah Melur Hasanah – perempuan yang pernah diterima ke universiti, tetapi kandas. Hingga akhirnya dia ke pusat serenti. Dia keluar, bukan sebagai graduan, tetapi sebagai bekas pusat pemulihan. Dia membawa sama cemuhan dan stigma segelintir masyarakat yang sukar ditanggal dan dibasuh.

Disebabkan itu, dia perlu buktikan sebaliknya. Namun, sebagaimana mendayung perahu yang kandas di dalam lumpur; seperti itulah laluan yang perlu ditempuh. Menunggu air pasang buat kembali berdayung, adakalanya menggusarkan. Masakan tidak, arus adakalanya deras.

Ada warisan Melayu yang penuh wangi-wangian yang perlu dia hidupkan bersama kecintaan dan kepatuhan. Ada sesuatu yang perlu ditebus dan dibuktikan. Ada falsafah yang perlu dia lestarikan sebalik sebuah nama; Melur Hasanah.

 

———————————————————–

Novel bersiri saya disiarkan di majalah ANIQAH bermula April dengan judul MELUR HASANAH. Siri pertamanya berjudul Racun yang Menyuburkan.

 

Terima kasih buat pembimbing, abang dan kakak di Minggu Penulis Remaja. Juga, buat editor Aniqah, Kak Kay. Dan terima kasih buat individu yang merancang untuk melihat saya ‘jatuh.’ Ini buktinya, tekanan yang anda beri hanyalah seperti ‘gula-gula getah’ pada saya; hanya diludah sesudah bercampur liur.

 

Buat semua; selamat menatap, dan sudi-sudikan memberi kritikan buat saya membaiki kekurangan untuk terus ke hadapan.

 

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Maksud ayat 104, Surah Al-Imran)

Buat sahabat searena; mudahan kita tergolong dalam golongan yang menganjurkan kebaikan dan seterusnya mengecap kejayaan. Doakan saya kukuh atas trek ini, dan doakan saya punya kekuatan dan kesihatan untuk menulis hingga ke siri akhir.

 

Barangkali boleh jika saya kategorikan diri sebagai seorang yang menghargai alam sekitar. Isu kehijauan alam sekitar pernah beberapa kali saya angkat dalam cerpen (antaranya cerpen Sehijau Bakau Seteguh Cinta), dan yang terkini, dalam novel saya.

 

Saya meminati tanam-tanaman, haiwan dan apa-apa yang berkaitan dengan alam. Pernah dahulu ketika masih menuntut dalam ijazah pertama di UIAM, saya beberapa kali memilih untuk ke Zoo Negara apabila stress dengan rutin pelajar, dan saya tenang dengan cara begitu. (Pernah juga merasai suasana ‘Safari at Night’ di Zoo Negara beberapa tahun lalu, tapi kurang selesa dengan nyamuk yang menghisap darah haiwan dan kita pula mungkin berkongsi gigitan yang sama). Di atas meja kerja, ada pohon keladi yang saya bela dengan jeli basah, hijau yang menyenangkan.

 

Pada tahun ketiga pengajian dahulu, saya memilih untuk mengikuti kursus Environmental Law sebagai memenuhi kursus elektif, berbanding kursus Banking Law, Commercial Law, mahupun Islamic Banking and Takaful yang dikatakan oleh rakan-rakan sebagai memenuhi kehendak pasaran masa hadapan. Tanpa menafikan, namun untuk melanjutkan pengetahuan mengenai undang-undang dan polisi alam sekitar di Malaysia, saya tidak begitu berkira dengan kehendak pasaran.

 

Tanpa bermaksud menyisihkan peranan lelaki dalam menjaga alam sekitar (dan bumi yang semakin uzur), wanita perlu peka atau prihatin dengan peranannya. Kenapa saya katakan demikian?

 

Kerana (pada pendapat saya), wanita antara golongan yang kerap menggunakan tisu berbanding lelaki (cuba periksa beg tangan wanita, tentu majorotinya mengandungi tisu poket). Mungkin saya boleh sarankan anda hadkan penggunaan tisu poket atau gunakan handkerchief sebagaimana kebiasaan lelaki. Di rumah, dan khususnya di dapur, gunalah kain (sekiranya itu dilihat praktikal). Sebagai ‘pengurus’ rumah, wajar anda memilih untuk tidak mengguna pencuci dalam kuantiti yang berlebihan (untuk mencuci kain, misalnya). Betapa banyak pencemaran sungai di negara kita dicemari sisa domestik, selain sisa industri.

 

Dan, untuk pemanasan global; saya akui saya juga antara penyumbangnya. Boleh dikatakan, lampu kediaman saya dipasang sehingga pagi. Saya antara individu yang tidak boleh bergelap, atau tepatnya, tidak boleh tidur sekiranya lampu tidak dipasang.

 

Saya turut padamkan lampu untuk 60 minit sebentar tadi. Barangkali 60 minit terlalu kecil nisbah masanya untuk dibanding dengan 360 hari (dalam setahun) saya pasangkan lampu ketika tidur, namun sebagai seorang penghuni bumi yang semakin uzur, saya kira ini tanggungjawab sosial yang wajar dimainkan oleh semua individu, kerana kita berkongsi bumi yang sama. Dalam hanya menggunakan lilin sebentar tadi, saya terfikir; selepas ini, mungkin perlu mencari lampu bervoltan rendah, atau bukakan bidai tingkap untuk gunakan cahaya lampu jalan sahaja sebelum lelap. – Alah bisa, tegal biasa.

 

Memetik kata watak ‘ayah’ dalam cerpen Sehijau Bakau Seteguh Cinta;

 

“Bukan cinta pada manusia sahaja, Wajdi. Cinta pada kemerdekaan watan dan kehijauan alam juga. Semuanya ditunjangi dengan cinta kita pada Pencipta.”

 

“Wajdi, banyak manusia tidak mahu belajar dari ayat-ayat alam. Ayah mahu kamu belajar dari bakau.”

 

Dan, ungkap Wajdi; “Rupa-rupanya cinta satu rantaian, antara makhluk dengan makhluk dan antara makhluk dengan Pencipta. Saya akan mempertahankan cinta kita pada watan dan akan berusaha mengekalkan kehijauan cinta ayah ini.”

 

Dan, kata Tuhan saya dalam Kitab-Nya, surah ar-Rum: 41-43;

 

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

 

“Katakanlah (Muhammad), “Berpergianlah di bumi lalu lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang dahulu. Kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang mempersekutukan (Allah).”

 

“Oleh sebab itu, hadapkanlah wajahmu kepada agama yang lurus (Islam) sebelum datang dari Allah suatu hari (kiamat) yang tidak dapat ditolak, pada hari itu mereka terpisah-pisah.”

 

 

 

Maha Suci Dia, rupanya pemanasan global ini ialah balasan dan ujian Allah untuk kita rasai akibat perbuatan kita, dan rupanya ini mesej daripada Allah untuk kita kembali kepada-Nya sebelum bumi dihancurkan dan segala planet bertembung sesama sendiri. Astaghfirllah…

 

Dan sebenarnya, 60 minit bergelap tadi untuk bumi, atau untuk kita di dunia dan akhirat?

 

« Laman SebelumnyaLaman Berikutnya »