Uncategorized


oktober

Dalam jarak tiga meter sahaja kelihatan daun-daun pada beberapa perdu halia tanpak layu dan kekuningan. Batas dihampiri dan daun-daun halia diperhati lagi, ada sedikit rasa kecewa yang terbit apabila sudah ada daunnya yang bertukar coklat keemasan. Melur Hasanah cuba menarik batang halia yang sudah lembik dan mudah cerai daripada rizom halia. Benar sekali kata Ridhwan, kini perdu-perdu yang sudah diserang layu bakteria perlu segera dibuang dan diasingkan daripada batas sebelum menjangkiti perdu-perdu lain dalam batas yang sama.

Waktu kerja di ladang masih berbaki setengah jam, namun sudah kelihatan beberapa orang pekerja-pekerja ladang yang berhenti bekerja dan sekadar duduk melepas lelah di bawah rimbun limau purut di pinggir ladang.

Melur Hasanah meninggalkan tapak-tapak tanaman menuju ke pejabat pengurusan mendapatkan Maria untuk bersekali pulang, namun gadis itu sudah sedia menanti berhampiran keretanya.

“Eh, di sini panas, Maria. Kenapa tidak tunggu sahaja di dalam pejabat?” Melur Hasanah menegur seraya mendongak ke langit, namun cepat-cepat dia tunduk kembali mengelak silau matahari yang masih tajam petang biarpun waktu sudah melewati asar.

“Di dalam pejabat juga panas, kak.” Nada jawapan Maria yang luar dari kebiasaan pada pendengarannya serasa sinis dan menggetis rasa, namun cepat-cepat dihalau rasa kurang senang yang mula bertunas. Barangkali Maria sekadar berseloroh biarpun dia tidak menyertakan kata-kata dengan senyuman – begitu Melur Hasanah menyedapkan hati sendiri dan mengawal keadaan.

Masing-masing bagai membiarkan juru hebah radio mengisi separuh perjalanan menuju ke rumah. Maria yang seringnya akan berceloteh dan menyakat itu-ini dipandang sekilas sebelum memecah suasana pemanduan yang serasa beku sambil cuba merasa dahi Maria dengan kura tangan kirinya;

“Maria kurang sihat?”

Nota: Terus ikuti kesudahan siri ini di majalah Aniqah (Oktober) ~~ Selamat membaca! “

Aniqah, Ogos

“Kebebasan ini bukan suatu kemerdekaan, Melur Hasanah.” Ustaz Firdaus begitu tenang pada hari terakhir lelaki itu ditemui di pejabatnya yang bersebelahan dengan bilik Puan Hafizah. Sebentar lagi ibunya akan datang menjemput bersama-sama Pak Long Ibrahim.

“Kebebasan boleh sahaja datang berkali-kali dalam hidup seseorang, namun kemerdekaan akan benar-benar dikecapi setelah seseorang berjaya mempertahankan kebebasan yang dia miliki.” Semua jari Ustaz Firdaus bersilang taut antara satu sama lain di atas meja yang banyak menempatkan buku-buku agama dan cenderamata yang diterima sepanjang perkhidmatannya.

Bagai menyedari garis kekeliruan pada dahi Melur Hasanah, lelaki itu melanjutkan percakapan tanpa diminta; “Kebebasan yang Melur perolehi hari ini bukan hanya perlu dihargai, tapi juga dipertahankan. Maksud ustaz, kebebasan ini akan memberi makna andai kamu benar-benar merdeka daripada dadah setelah keluar dari pusat ini. Banyak pelatih yang sudah bebas, namun kembali ke pusat ini kerana gagal mempertahankan kebebasan, dan sudahnya tidak mengecapi erti kemerdekaan.” Ustaz Firdaus senyum lagi seusai mewakafkan huraian yang sendat hikmah, tenang sambil mengangguk-angguk kecil.

Melur Hasanah masih diam, ada sebak yang tiba-tiba menyentuh perasaan biarpun dia benar-benar menunggu hari kebebasannya. Rasa cuak dan gementar adakalanya memberi tekanan apabila membayangkan kehidupan dalam stigma masyarakat dan masa depan yang masih berkabut. Dapatkah dia masuk ke tengah-tengah masyarakat, dan sudikah masyarakat menerimanya andai dia mahu berubah dan memberi bakti?


Siri penuhnya boleh diikuti dalam Aniqah, Ogos 2009

TAHNIAH untuk pemenang HSKU 2008, mudahan terus sukses dan prolifik!

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah-Nya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmat-Mu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua

Nyanyian; Man Bai

SELAMAT BEPUASA BUAT SEMUA PENGUNJUNG UJANA INI. SELAMAT MELEWATI SATU UJANA RAMADHAN YANG PENUH BUNGA-BUNGA TARBIAH. DAN INSYALLAH, SAKARNYA KITA HURUP DI SANA.

Betapa tepat, Tuhan mengambil sesuatu dengan tujuan untuk menghadiahkan sesuatu. Ini perihal kepulangan yang pedih. Kepulangan yang dirancang – dirancang dengan satu komplot dan pengkhianatan, dirancang pula dengan satu prosedur dan undang-undang. Namun, siapa betah dan tegar menolak gemal-gemal doa yang sudah matang dalam bendang takdir?

 

Perjalanan takdir ini seperti membawa biji saga dan mengaturnya di setiap lubang congkak. Betapa kekeliruan dan perjalanan yang begitu jauh akan membawa kita kembali – kembali kepada keluarga, dan yang penting kembali kepada Tuhan!

 

 

 

“Semua ini tidak akan terjadi pada seorang anak andai mendengar setiap butir hikmah daripada ibunya sejak awal.”

 

…Betapa nanti ia akan kembali ke ‘kampung’ dan memenuhi ‘rumah’nya.’

 

…Sepanjang tahanan ini, Tuhan sempat mengajar bahawa kebongkakan saya dalam mengagungkan pengetahuan dan kajian di makmal suatu ketika dahulu sebetulnya satu penderhakaan terhadap-Nya. Bersendirian ketika ini memberi peluang untuk saya meminta-minta dalam doa, biarlah perjalanan saya selepas ini diatur oleh Tuhan di atas denai-denai keadilan kerana itu sahajalah jalan yang ada untuk saya kembali ke pangkuan keluarga.

 

…Dan, saya masih berharapkan ihsan Tuhan agar menerima doa-doa ibu yang lain, biarpun mungkin antaranya ada yang telah serpih.

 

Cerpen terbaru saya, Khatimah Sebuah Ekstradisi yang dihasilkan bagi melengkapkan proses-proses kematangan dalam medan penulisan boleh di baca di arkib Utusan (25 Mei 2005), DI SINI.

 

Selamat membaca, dan selamat memberi kritikan.

 

 

 

ACCRETION- Saya hanya ‘terserempak’ dengan perkataan ini lewat sebuah buku. Hampir 2-3 hari berfikir-fikir mengenainya. Malam tadi, perkataan itu saya mimpikan lagi. Ya, hingga masuk dalam mimpi - ACCRETION.

Satu perkataan. Namun, sudah mampu menarik saya untuk menekuni sesuatu, mencari sesuatu. Sejak usai kuliah pukul 1 dan tanpa makan tengah hari, saya menuju pustaka universiti. Mencari dari rak ke rak, keluar masuk dua tiga kali, membelek itu dan menyelongkar ini, menyemak daripada satu web ke web yang lain. Hinggalah kini perut senak bagai gastritis, dan kepala sakit macam migrain.

 stress.jpg

Aduhai, pelik sangatkah seorang saya mencari ‘keajaiban’ satu perkataan dengan ‘bermukim’ di pustaka hampir 5 jam! (memang menyakitkan diri sendiri dan orang lain yang memandangnya).

Ps: Jangan kawan dengan saya, jangan ganggu saya. saya memang pelik orangnya, hehehe!!

SALAM HIJRAH daripada saya. Sungguh-sungguh belum sempat memasukkan entri, tentang hijrah lebih-lebih lagi. Walaubagaimanapun, suka saya pesan (pada semua dan saya juga), jadikan tahun baru hiijrah ini lebih baik daripada yang semua-semua sebelum ini. Hijrahkan diri dalam semua segi, rohani lebih-lebih lagi. Anjakkan diri ke takah yang lebih bermakna di sisi Ilahi, lebih cemerlang.

Saya ‘bercuti’ ke selatan Sejantung Pisang. Doakan saya selamat, doakan saya sihat yang pentingnya supaya ‘cuti’ ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk mencari ilmu dan pengalaman. Moga perjalnan pergi dan pulang dipenuhi dengan penghayatan. Tahun baru ini, moga saya lebih beringat dalam semua perbuatan, percakapan, tindakan dan amalan-  agar tidak tertabung dosa-dosa free

Salam Hijrah, moga diri terus menghayati hijrah Nabi (biarpun adakalanya pernah cuai, atau melupai).