JANGAN TERPEDAYA DENGAN ADEGAN ‘TARIK BEG’
14 Mac 2010 3 Komen
in catatan, Perundangan
Sering ditonton dalam filem atau drama Melayu-Islam; si isteri akan mula menarik keluar beg berisi kain baju selepas cerai atau talak dilafazkan oleh si suami. Adegan sebegitu lebih meruntun tentunya jika dicampur emosi dan berbumbukan esak tangis isteri.
Sehingga seringnya kita (mungkin) dididik oleh adegan-adegan sebegitu untuk memahami bahawa dalam kes perceraian yang boleh dirujuk kembali (talak raj’ie, iaitu talak satu atau dua), suami dan isteri tadi sudah tidak boleh tinggal serumah lagi.
Untuk memberi sedikit pencerahan dan keluar daripada zon ‘kelabu’ yang mugkin ditinggalkan dari adegan tadi, saya rangkumkan perihal talak, iddah dan rujuk dalam tulisan yang cuba diringkaskan. Entri ini hanya akan menjurus kepada jenis ‘iddah dan bagaimana cara yang dianjurkan untuk seseorang wanita yang sudah diceraikan menyempurnakan tempoh ‘iddahnya.
Dalam perkahwinan Islam, wanita yang diceraikan (sama ada talak ba’in atau raj’ie) dan wanita yang kematian suami (sama ada pernah disetubuhi atau tidak); kedua-duanya perlu melalui tempoh ‘iddah yang tertentu. ‘Iddah, ialah satu tempoh masa bagi wanita untuk menunggu dan menahan diri daripada berkahwin lain selepas diceraikan, atau selepas suami meninggal, atau selepas difasakhkan perkahwinannya oleh hakim atau kadi.
Sebagai agama yang menjadikan pemeliharaan maruah dan nasab (hifz al-nasab) sebagai matlamat syariat (maqasid syariah; selepas pemeliharaan agama, hayat kehidupan, akal, dan diikuti dengan pemeliharaan harta) ‘iddah bertujuan untuk membersihkan rahim wanita yang diceraikan. Apa yang dimaksudkan dengan ‘pembersihan rahim’ di sini ialah benih bekas suami (yang menceraikannya atau yang meninggal) berkemungkinan masih ada di dalam rahim wanita yang diceraikan.
Maka, ‘iddah disyariatkan bagi mengelakkan percampuran (benih suami tadi) dengan benih lelaki baru yang mungkin akan dikahwini serta-merta selepas perceraian. Ini bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan nasab anak yang dikandung selepas perceraian dan perkahwinannya dengan suami baru. Oleh yang demikian, wanita dihalang dari memakai perhiasan, wangian, menerima pinangan atau melakukan perkara-perkara lain yang boleh mendorong kepada rangsangan seksual.
Pensyariatan ‘iddah disandarkan kepada beberapa ayat Al-Quran. Saya perturunkan maksudnya di sini;
Surah al-Baqarah: 228:
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).
Surah al-Baqarah: 234
Dan orang-orang yang mati antara kamu serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka (isteri-isteri tadi) menunggu selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah sampai (akhir) ‘iddah mereka, maka tidak ada dosa bagimu mengenai apa yang mereka lakukan terhadap diri mereka (mufassirin mentafsirkan sebagai berhias, berpergian dan menerima pinangan) menurut cara yang patut. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Surah al-Talaq: 4
Dan perempuan-perempuan di kalangan kamu yang tidak haid lagi (menopause), jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh ‘iddah mereka) maka ‘iddahnya ialah tiga bulan; dan demikian juga ‘iddah perempuan yang tidak mempunyai haid dan perempuan mengandung maka tempoh ‘iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya.
Berdasarkan kepada kedua-kedua ayat berikut, tempoh ‘iddah yang perlu dilalui oleh setiap wanita ialah berbeza. Diringkaskan seperti berikut:
i) ‘Iddah wanita yang diceraikan ketika hamil (sama ada talak ba’in atau raj’ie), tempoh ‘iddahnya akan berakhir sebaik sahaja anak yang dikandungnya dilahirkan.
Cuma bezanya jika isteri dicerai dengan talak raj’ie, si isteri tadi boleh dirujuk kembali oleh suaminya sebelum tempoh ‘iddah berakhir, iaitu sebelum isteri tadi melahirkan anaknya (sepanjang tempoh wanita tadi mengandung).
ii) ‘Iddah bagi wanita yang masih mempunyai haid; ‘iddahnya akan tamat selepas tiga kali suci. Di sini ada kekhilafan antara ulamak yang sebahagiannya mentafsirkan ‘salasatu-quru’ bermaksud ‘tiga kali suci (dari haid)’ dan ada sebahagian yang lain mentafsirkan sebagai ‘tiga kali haid.’ (Tetapi dalam fiqah mazhab syafi’e, pekataan ‘quru’ merujuk sebagai tiga kali suci daripada haid.)
iii) ‘Iddah wanita yang tidak mempunyai haid (kerana usia yang masih kecil atau tidak pernah datang haid) dan menopause; tempoh ‘iddah mereka ialah selama 3 bulan
iv) ‘Iddah wanita yang kematian suami;
Jika mengandung: ‘iddahnya sehingga melahirkan anak.
Jika tidak mengandung: tempoh ‘iddahnya ialah 4 bulan 10 hari (merangkumi wanita yang kematian suami setelah disetubuhi, belum disetubuhi, tidak mempunyai haid atau sudah menopause).
Lalu, apakah relevennya saya memukadimahkan tulisan ini dengan adegan tarik beg pakaian? Apa yang ingin diteruskan di sini, di manakah wanita (yang masih didatangi haid, tidak ada haid atau yang sudah menopause) yang diceraikan dengan talak raj’ie (iaitu perceraian yang boleh dirujuk oleh si suami dalam tempoh ‘iddahnya) perlu tinggal sepanjang tempoh itu?
Jawapannya disebut dalam Surah Al-Talaq: 1-2
Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan isteri-isterimu maka hendaklah kamu ceraikan mereka pada waktu mereka dapat (menghadapi) ‘iddahnya (yang wajar), dan hitunglah waktu ‘iddah itu serta bertakwalah kepada Allah Tuhanmu. Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumahnya dan janganlah (diizinkan) keluar kecuali jika mereka mengerjakan perbuatan keji yang jelas. Itulah hukum-hukum Allah, dan barangsiapa melanggar hukum-hukum Allah, maka sungguh dia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.
Maka apabila mereka telah mendekati akhir ‘iddahnya, maka rujuklah (kembali kepada) mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Demikianlah pengajaran itu diberikan bagi orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya.
Saya simpulkan aplikasi kedua-dua ayat dalam surah Al-Talaq di atas setelah dihubungkan kesinambungannya dengan ayat-ayat Al-Quran yang sebelumnya:
i) Wanita yang diceraikan dengan talak raj’ie masih berhak dan perlu mendiami rumah suaminya. Dia (dan anak-anak) masih berhak diberi nafkah dan tempat tinggal dan sekiranya suami gagal berbuat demikian (kepadanya dan anak-anaknya) maka hal tersebut dikira sebagai perhutangan. Si isteri boleh menuntutnya ‘hutang’ itu biarpun setelah tempoh ‘iddah sudah berakhir.
ii) Si suami tidak boleh mengeluarkan isteri dari rumah itu (menghalau, menghantar ke rumah ibu bapa wanita itu dan sebagainya) kecuali jika wanita itu mengerjakan perbuatan keji.
Hikmahnya; Islam lebih menganjurkan pasangan tadi berbaik dan bersama kembali biarpun perceraian dihalalkan dalam Islam. Tempoh ‘iddah yang dilalui oleh wanita tadi di rumah suaminya diharapkan dapat membuka laluan bagi kedua-duanya merujuk kembali perkahwinan itu. Oleh sebab itu, larangan untuk isteri berhias, memakai wangian sepanjang tempoh ‘iddahnya TIDAK terguna-pakai sepanjang dia berada di dalam rumah suami. Bahkan tugasnya sebagai isteri (dalam menguruskan suami, anak-anak dan rumah tangga) perlu dijalankan seperti biasa. Itulah hikmatnya kenapa Allah menyudahkan ayat tersebut dengan “Kamu tidak mengetahui barangkali setelah itu Allah mengadakan suatu ketentuan yang baru.”
iii) Si suami lebih digalakkan merujuk isterinya dengan cara yang baik (dalam ayat ini perkataan makruf digunakan). Proses rujuk boleh berlaku dengan lafaz (lisan) atau apabila isteri bersetuju melakukan persetubuhan apabila diminta oleh suaminya.
Oleh yang demikian, sebarang hubungan fizikal (selain dari persetubuhan) yang dilakukan oleh suami dengan ‘lesen yang akan tamat tempoh’ bukan dengan niat untuk merujuk kembali perkahwinan itu merupakan sesuatu yang tidak makruf biarpun dibolehkan kerana ikatan perkahwinan antara kedua-duanya masih wujud. Rentetan itu, dalam ayat yang sama (At-Talaq:2), Allah mengingatkan bahawa pengajaran ini diberikan kepada orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat. [Ghalibnya, hanya orang yang beriman dan bertakwa akan melakukan perkara yang makruf dan berpegang pada apa yang dipersetujui bersama selepas isteri memberi persetujuan].
iv) Atau, isteri dilepaskan dengan cara yang baik (makruf) selepas ‘iddahnya tamat. Bermula waktu ini (tamat ‘iddahnya), ikatan perkahwinan akan tamat dan kedua-duanya tidak boleh lagi tinggal sebumbung.
Oleh yang demikian, janganlah dikelirukan dengan adegan seorang wanita tarik beg berisi pakaian sambil menangis atau dialog “Hantar saya ke rumah mak bapak saya” selepas talak dilafazkan dalam srama atau filem Melayu-Islam. Hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri masih kekal sepanjang tempoh ‘iddah dan anak-anak masih memerlukan didikan serta kasih sayang kedua-duanya selepas talak dilafazkan.
Islam menggariskan hukum-hukum dan tertib dalam hal seremeh menguap dan tidur-baring, inikan pula dalam perkara melibatkan perkahwinan, hak, tanggungjawab, nasab, dan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan yang bakal mencorakkan institusi masyarakat Islam.
Cantik sekali Allah menyusun hukum-hukumnya…
Gambar ambilan di sini
ALKISAH SEBUAH PULAU, DAN NAJIS CAMAR
24 Mei 2008 6 Komen
in Perundangan, semasa Label:Perundangan
“Pulau Batu Putih bukan milik kita.” – ketika itu juga saya bangkit membancuh minuman, sedikit sukar untuk lelap. Dan, saya kira bukan saya seorang yang terkilan dengan keputusan ini. Namun, cepat-cepat saya akur, “usah lagi diugah dan dipertikaikan sesuatu yang sudah ditentukan bukan lagi milik kita.”
Keputusan terhadap pertikaian Pulau Batu Putih memang saya nantikan, bahkan saya kira bukanlah saya seorang. Satu pertikaian pada sebuah pulau yang memutih dengan najis-najis camar rupanya termaktub sama satu kedaulatan. Dan, jangka masa 28 tahun bukan satu jangka waktu yang sebentar untuk sebuah keputusan dalam pertikaian ini – walaupun sebetulnya, saya tak senang dengan ungkapan ‘pertikaian.’
Dalam pertikaian Pulau Batu Putih, Malaysia mengemukakan hujah bahawa pulau itu berada di bawah milik kesultanan Johor, termasuklah Perjanjian 1824 yang ditandatangani oleh dua pihak koloni (Inggeris dan Belanda) serta Perjanjian Crawfurd yang mula membahagikan wilayah kesultanan Johor menjadi dua – Kesultanan Riau-Lingga dan Kesultanan Johor. Dalam perjanjian ini, Sultan Johor ketika itu (Sultan Hussin) menyerahkan pulau-pulau dan batu-batu dalam lingkungan 10 batu kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Dan, ini disokong pula dengan surat balasan pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 (kepada Setiausaha Singapura yang ketika itu masih di bawah kuasa koloni) tentang pemilikan pulau itu tidak akan dituntut oleh kesultanan Johor.
Dalam surat tersebut, Setiausaha Koloni Singapura meminta kerajaan Johor menjelaskan mengenai status Pedra branca (Pulau batu Putih) dan balasan itu menyebut bahawa Johor tidak menuntut hak milik ke atas Pedra Branca - “Johore Government [did] not claim
ownership” – secara peribadi, saya tertarik sekali dengan frasa ini. tentang bagaimana hanya satu ayat, apabila dikaji dan interpretasi, terhasillah satu konklusi bahawa jawapan itu merujuk kepada hak pemilikan pulau secara keseluruhan, bukan sekadar pemilikan terhadap rumah api Horsbough yang dibina sekitar Mac 1850 dan Oktober 1851 (sebelum kedua-dua belah pihak berbalas surat mengenai status pulau itu.)
Dan, secara ringkasnya, entri ini cuba menjelaskan bagaimana keputusan sedemikian dicapai dan disepakati.
Secara dasarnya, kedaulatan sesebuah wilayah akan ditentukan berdasarkan ‘siapa dahulu yang menemui/mendiami kawasan’ tersebut, atau terra nullius. Namun, prinsip ini bukan satu pengukur yang mutlak bagi menentukan sesuatu wilayah kerana dalam sesetengah situasi atau sejarah, satu-satu tempat atau wilayah didiami atas dasar perjanjian atau kebenaran pihak autoriti atau pihak yang lebih berkuasa.
(Masih ingat pada ‘sejarah’ bagaimana sultan Kedah, Sultan Abdullah memberi kebenaran kepada Francis Light mendiami Pulau Pinang (Pulau Penaga) yang ketika itu berada di bawah kesultanan Kedah? Dan, bagaimana buku-buku sejarah (sukatan pelajaran tingkatan dua) pula mencatatkan Francis Light ialah orang pertama yang membuka Pulau Pinang – atau dalam erti kata lain (secara asas dan logiknya), Francis Light seolah-olah menafikan hak kesultanan Kedah dan mengatakan Pulau Pinang ialah terra nullius! – Latar dan ‘kritik’ ini cuba saya selit dan paparkan dalam cerpen saya yang berjudul Terra Nullius setelah menekuni naskhah Undang-undang Kedah, Dewan Sastera (Tunas Cipta) Februari, 2008
Kembali kepada perihal Pulau Batu Putih, umumnya, pertikaian untuk membuktikan pemilikan sesuatu wilayah, beberapa perkara perlu dipenuhi, iaitu;
1. wilayah tersebut mestilah satu terra nullius – iaitu satu wilayah yang tidak dimiliki oleh mana-mana pihak (sebuah kerajaan) pada waktu pertikaian bermula. Dan, satu-satu wilayah boleh dianggap terra nullius apabila pihak yang berkuasa sebelumnya mengabaikan wilayah tersebut.
2. pendudukan di wilayah itu perlulah ‘efektif’ – di sini, merujuk kepada niat untuk mendudukinya (animus occupandi) serta diikuti dengan perbuatan atau kerja-kerja fizikal atau tindak-tanduk yang menzahirkan niat untuk menduduki wilayah tersebut (corpus occupandi)
Namun demikian, syarat (2) di atas perlulah diteliti dengan mendalam dan diperhalusi dalam setiap segi berdasarkan bukti-bukti yang ada. Dan, beberapa perkara juga perlu dipenuhi. Iaitu, ‘niat’ untuk menduduki wilayah tersebut perlulah merupakan satu niat untuk menjadi pemilik yang berdaulat dan mutlak (sovereign) secara aman, berpanjangan dan tidak mendapat tentangan daripada mana-mana pihak. Ini kerana adakalanya, sesubuah wilayah boleh sahaja didiami atau diduduki atas sebab-sebab tertentu seperti perjanjian dan hadiah, sebagaimana yang turut terjadi dalam kisah Pulau batu Putih ini. (bukankah penganugerahan tanah, pulau atau wilayah sudah lama menjadi amalan sultan-sultan terdahulu).
Dan, satu lagi prinsip penting yang perlu diteliti ialah, setiap pertikaian dalam satu-satu hak wilayah perlulah merujuk kepada undang-undang, bukti atau apa sahaja perjanjian yang termaktub sebelum tarikh bermulanya sesebuah pertikaian- dalam bahasa Inggeris disebut inter-temporal law. Misalnya, dalam kes Pulau Batu Putih, pertikaian mula wujud apabila Singapura membangkitkan isu peta yang dikemukan oleh Malaysia pada tahun 1979 yang merangkumkan Pulau Batu Putih dalam wilayah autoriti atau kedaulatan Malaysia. Oleh itu, mahkamah antarabangsa memutuskan 14 Februari 1980 sebagai satu critical date (atau batas waktu) dalam mengambil kira atau menentukan inter-temporal law. Maka, setiap keterangan dan penghujuhan perlu didasari pada setiap perkara atau perjanjian (sebagai bukti-bukti untuk menyokong tuntutan) sebelum 14 Februari 1980 sahaja akan diambil kira bagi menyelesaikan kes ini.
Namun, dalam sesetengah keadaan, apabila ‘terra nullius’ bukan lagi menjadi satu isu utama yang perlu diputuskan terlebih dahulu, mahkamah akan mengambilkira dan menimbang tindak-tanduk pihak mana yang lebih menunjukkan niat untuk menduduki dan menzahirkan kedaulatannya. Kes ini misalnya, perihal ‘terra nullius’ menjadi isu yang kurang releven untuk diperdebatkan memandangkan kedua-dua belah pihak mempunyai hujah dan pendirian tersendiri – Malaysia mengatakan Pulau Batu Putih bukan terra nullius kerana pernah berada di bawah kesultanan Johor, manakala Singapura berpendirian sebaliknya.
Oleh yang demikian, tindak-tanduk kedua-dua belah pihak dalam menzahirkan kedaulatan masing-masing akan menjadi kayu pengukur. Maksudnya di sini, pihak yang lebih banyak menunjukkan kuasa atau pengaruh serta kedaulatannya lebih berhak menduduki wilayah yang menjadi pertikaian. Namun begitu, beberapa perkara penting juga perlu diteliti dan diambil kira, iaitu;
1. pendudukan dalam sesuatu wilayah perlulah dalam bentuk penzahiran kedaulatan (a titre de souverain)
2. pendudukan tersebut berterusan secara aman dalam satu tempoh waktu tertentu. Tempoh waktu itu pula perlulah munasabah bagi sebuah kuasa menzahirkan kedaulatannya. (maksudnya di sini, jika sekadar menduduki wilayah tersebut hanya untuk beberapa tahun, maka pendudukan tersebut bukanlah dianggap munasabah bagi menzahirkan satu pengaruh atau kuasa dalam menzahirkan kedaulatan).
3. pendudukan wilayah itu perlulah diketahui umum.
Oleh itu, dalam kes Pulau Batu Putih ini, tindak-tanduk kedua-dua belah pihak diambil kira sebagai satu bukti bagi membuktikan ‘niat untuk menduduki secara aman dan berpanjangan’ dan mengetepikan pembuktian dari sudut sejarah antara dua entity – Singapura dan Malaysia. Sebagaimana dalam kes ini, mahkamah turut merujuk
‘kegagalan’ Malaysia menentang segala titre de souverain – iaitu segala tindak-tanduk Singapura dalam menunjukkan bahawa republik itu mempunyai kedaulatan, seperti tindakan-tindakan Singapura menyiasat kemalangan marin di perairan pulau tersebut, kawalan mereka terhadap siri lawatan, pemasangan peralatan komunikasi kapal dan pelan penambakan lautnya. Selain itu, republik itu bertindak mengeluarkan kebenaran kepada pegawai-pegawai dari Malaysia yang datang ke pulau berkenaan pada tahun 1978 bagi menjalankan kajian perairan di sekeliling Pulau Batu Putih – semua ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak mencabar semua tindak-tanduk Singapura dalam menunjukkan kedaulatan dan pemilikan terhadap pulau itu.
Anda boleh membaca isu penghujahan, keputusan dan ringkasan kes MAHKAMAH ANTARABANGSA ini
Alkisah sebuah pulau yang memutih dengan najis camar laut sebelum 14 Februari 1980 ialah sebuah kronologi panjang dan berkajang-kajang. Ya, saya tentu sekali tidak betah untuk memperihalkan satu persatu-satu dari awal hingga mendapat keputusan akhirnya. Adat sebuah pertikaian – akan ada satu pihak yang berwarna hitam dan satu lagi berwarna putih. Tidak akan ada yang berada antara kedua-duanya.
Oleh itu, saya amat alu-alukan anda membaca keputusan Mahkamah Antarabangsa pada pautan di atas (atau setidak-tidaknya ringkasan keputusan tersebut) bagi menjernihkan pemahaman dalam sebuah pertikaian dan duduk letak sesuatu hal. Dan, sebagai seorang penuntut bidang perundangan yang warganegara Malaysia, saya amat berharap agar keputusan yang diadili ini tidak akan membawa kesan langsung (kesan negatif, maksud saya) terhadap dua buah negara yang berasal daripada satu rumpun, sebagaimana hubungan Malaysia-Indonesia masih boleh dikekalkan biarpun Malaysia memenangi tuntutan terhadap Pulau Ligitan dan Sipadan suatu waktu dahulu – juga, sebagaimana saya tidak senang dengan ungkapan ‘pertikaian’ (yang ditulis pada awal entri ini) bagi merujuk kes ini.
Benar, perhubungan ini janganlah jadi seperti sebuah pulau, yang dicemari dengan najis camar yang hanya menyinggah.’
Nota: Saya tidak mengalu-alukan komen berbaur prejudis atau berbentuk kecaman tanpa asas, namun terbuka menerima pandangan kritis, bernas dan munasabah. Terima kasih.



KOMEN TERKINI