MINGGU PENULIS REMAJA 2011

Syukur sekali lagi – pada 29 Jun hingga 3 Julai lalu saya berkesempatan melangsaikan taklifan yang diberi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembimbing genre cerpen dalam Minggu Penulis Remaja 2011. Tahun ini, genap empat tahun saya bersama dengan urusetia Minggu Penulis Remaja (DBP) berusaha membimbing peserta-peserta bakal penulis muda yang akan menginjak nama dalam penulisan (insya-Allah).

Bersama-sama saya; Sdr. Salina Ibrahim, Tn. Haji Shamsudin Othman dan Sdr. Lutfi Ishak turut sama mendampingi peserta selama seminggu perkampungan di Shah’s Beach Resort, Tanjung Kling, Melaka. Laporan mengenainya ada dalam ruangan Sastera Berita Harian, di sini.

Untuk adik-adik mantan peserta Minggu Penulis Remaja 2011 – mudahan segala perkongsian yang diberi sepanjang MPR lalu bermanfaat untuk kalian. Tiada langsung terbit rasa riyak atau kekaguman pada diri sendiri tatkala berkongsi pengalaman, melainkan hanya untuk menaikkan semangat dan memotivasikan adik-adik. Apa-apa yang baik ambillah dan sebarkan juga.

Selamat menulis dan membaca; “… kerana menulis dan membaca itu kerja penulis dan pendakwah!”

Salam hormat, salam kasih sayang sejagat.

WAWANCARA SOFA PUTIH ITNM – PESTA BUKU ANTARABANGSA, KL

Ya, ini sekali lagi jadi catatan yang tertinggal. Sekadar mencatat untuk koleksi peribadi.

Seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Kumpur  tahun sebelumnya, saya sekali lagi diundang oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Bezanya, tahun ini untuk acara yang berbeza.

Pada 22 April lalu (ya, sudah hampir 2 bulan berlalu), saya bersama Tuan Shamsudin Othman diundang untuk acara Wawancara Sofa Putih ITNM berbicara seputar dunia penulisan kami secara khusus, dan dunia sastera secara umum. Kebetulan, kedua-dua kami adalah antara penyumbang puisi untuk antologi puisi Dari Jendela Zaman Ini yang menghimpunkan puisi-puisi penulis Malaysia dan Singapura.

[Terima kasih yang sesungguhnya untuk ITNM - betapa kerja ITNM yang menyokong penulis dengan penerbitan dan terjemahannya bukan dapat dilihat pada tagline atau iklan, tetapi pada hasil kerja. Syabas untuk team ITNM!]

Bersama moderator, Tuan Sayed Munawar, kami bersantai. Namun, tahu-tahu sahaja bagaimana Tuan Sayed Munawar melantun soalan dalam bual bicaranya di kaca tv, begitu jugalah soalan-soalan ‘santainya’ petang itu.

Banyak yang diperkatakan sepanjang sejam wawancara. Namun yang paling membekas ialah; “Siapakah (apakah) yang mencorak citra pengkaryaan Nasriah?” Maka sejujurnya saya jawab; agama ialah pencorak citra karya-karya saya. Pengaruh pesanan emak dan ayah banyak mempengaruhi cara saya mencampur warna dalam karya. Juga, bimbingan guru-guru. Biar sebesar mana idea atau inspirasi yang mahu disampaikan dalam tulisan atau karya, agama ialah corak, tunggak dan panduannya.

Antara sedar mahupun tidak, soalan Sayed Munawar yang satu itu bagai memperbaharui ikrar saya pada diri sendiri. Insya-Allah, mudahan ini akan diingat sampai bila-bila. Terima kasih untuk nama-nama yang sangat bermakna dalam hati saya. Juga untuk pasangan; yang saya hutangi keizinannya.

Laporan mengenai wawancara ini dapat dibaca dalam ruangan sastera Berita Harian.

 

Salam hormat, salam kasih sayang sejagat.

 

MELUR HASANAH SIRI 18: Memandang Hikmah Tuhan


“Saya kira Melur ingin sampaikan sesuatu yang penting. Jika tidak, tentu sekali Melur akan memilih untuk bercakap menerusi telefon.” Faqih menduga dalam senyuman yang diberi. Gelas minuman yang sudah separuh dihabiskan ditolak ke tengah meja.

“Sebenarnya, saya ingin berkongsi sesuatu dengan Faqih. Dan tujuan saya, hanya untuk berjujur.” Faqih dipandang. Lelaki itu berkalih duduk dan bersandar, mencari keselesaan untuk menjadi pendengar.

………..

…………

“Saya harap ini memuaskan hati Faqih. Memandangkan Faqih jujur melamar, saya jujur berkongsi. Lebih-lebih lagi Faqih sendiri tidak pernah bertanya hal-hal peribadi saya. Jadi, saya juga harapkan Faqih jujur berkongsi apa-apa yang wajar saya ketahui.” Sedikit panjang Melur Hasanah menjelaskan dan menyatakan harap.

“Err..Melur…” Faqih memandangnya tepat. Dia berdehem, cuba melancarkan perjalanan suara.

“Benarkan saya untuk memikirkan hal ini.” Ringkas lelaki itu meminta, namun cukup memukul perasaan Melur Hasanah.

Melur Hasanah cuba memasang senyuman pada bibir, namun tidak terlalu menjadi. Perlahan dia mengangguk. Datang lagi kata-kata yang sama daripada ibunya; ‘Jika benar seorang lelaki ikhlas melamar…’

 

Selamat membaca siri seterusnya Melur Hasanah dalam majalah Aniqah edisi Oktober, terbitan MMP Publications dengan isu; Rumah Tangga Orang Kita Tak Serius.

 

CABARAN PENULIS MUDA

Tentang Cabaran Penulis Muda – tulisan Faisal Tehrani dalam Tunas Cipta, September, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Atau, boleh terus di baca di blog penulisnya, di sini.

Kredit gambar: Hazwan Ariff Hakimi.

SELAMAT MEMBACA ‘DARI JENDELA ZAMAN INI’

Terima kasih yang paling autentik untuk Tuhan Yang Maha Memberi, Memberi dan Memberi.

Terima kasih kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dan National Art Council of Singapore, dengan usaha kedua-duanya antologi puisi ini telah diluncurkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Book Fair 2010) pada 27 Mac lalu. Terima kasih untuk rakan-rakan penulis yang turut datang meraikan. Dan, saudara Shamsudin Othman terutamanya; yang banyak terlibat secara langsung untuk urusan awal  bahan antologi sehinggalah majlis ini berakhir.

Dalam rencam keadaan; kajian akademik dan pelbagai tugasan, saya turut hadiri dan penuhi undangan bacaan puisi sempena majlis tersebut. Dua buah puisi saya; Marsum Ralat daripada Al-Aziz dan Warkah Hijrah dari Hati yang Pecah sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, dengan tajuk A Letter of Regret from Al-Aziz dan A Letter of Migration from a Broken Heart. [Sengaja memilih kedua-dua puisi dalam bentuk surat untuk penerbitan antologi ini].

Boleh di baca di laman sesawang Institut Terjemahan Negara Malaysia mengenainya. Dititipkan juga gambar-gambar sekitar majlis, untuk mewakilkan cerita.

Selamat memiliki, dan selamat menghayati puisi-puisi dalam antologi ini!

 

SIRI KE-6 MELUR HASANAH – TAFSIR SENI BONSAI PERIBADI

Aniqah September

“Dan, kita perempuan, umpama bonsai inilah…” Puan Hafizah menggantung ayatnya, memandang Melur Hasanah sekilas sebelum pandangannya beralih ke arah pelatih-pelatih lain yang ria bermain bola jaring di gelanggang bersebelahan taman.

“Umpama bonsai, ummi?” Sebahagian daripada pertanyaan Melur Hasanah lembut berbaur desakan. Seperti seringnya, percakapan dengan kaunselor itu tidak akan berlangsung tanpa ada butir nasihat yang bersekali dalam titipannya.

“Lihat sahaja cara menjaga dan mencantikkannya, begitu teliti.” Pohon bonsai jenis aralia dibelai perlahan.

“Menjaganya perlu dalam semua segi. Masa dan kekerapan siraman perlu diperhati, tidak boleh terlalu banyak atau terlalu sedikit airnya. Membaja, menggembur dan menukar tanahnya juga, perlu terlalu cermat.” Puan Hafizah masih memegang pasu bonsai di hadapannya. Titis air siraman yang berbaki dan bercampur tanah yang mengalir dari lubang kecil di bahagian bawah pasu mencemari tapak tangannya yang menampung pasu, namun tidak segera dia mengelapnya.

“Bahkan, pencahayaan dan suhu juga tidak kurang penting. Itu masih belum ditambah dengan mencantas dan ‘mendandan’ bonsai dengan lembut dan berseni.” Wanita bergaya sederhana itu menyudahi kata-katanya dengan senyuman yang diserikan dengan lesung pipit pada sebelah pipinya yang sedikit berjeragat. Pohon renek ditempatkan semula ke tengah-tengah meja sebagaimana asalnya.

“Lalu, hubungan antara perempuan dan bonsai pula bagaimana, ummi?” Kali ini Melur Hasanah bagai dipikat oleh gambaran bonsai yang dimulai oleh Puan Hafizah. Hati yang masih merasai pemergian ayahnya terasa bagai sedikit dilipur dan dimanja.

“Jika tidak kena cara menjaga diri dan menghias peribadi, maka kerosakan akan menggantikan keindahan.” Sebegitu ringkas Puan Hafizah menyampaikan maksudnya berbanding kiasan yang didahulukan sebentar tadi. Melur Hasanah diam sejenak. Tumpuan matanya masih diarahkan ke wajah Puan Hafizah walaupun suara sorak-sorai pelatih di gelanggang bola jaring sesekali menarik deria dengarnya.

DAN, BUKALAH LENGKUNG LANGIT

aniqah julai

“Selepas ini, Maria juga akan melihat kakak sebagai seorang bekas penagih dadah yang sentiasa cemar?” Melur Hasanah menduga dalam suara lembut dan mendatar.

Maria segera menggeleng; “Kisah silam hanyalah sebahagian daripada laluan yang sudah kita tinggalkan, kak. Maria pernah tanyakan hal yang sama pada ibu.” Maria umpama membuka cerita baru seraya meregangkan senyuman tatkala Melur Hasanah dilihat mengerutkan keningnya.

“Kata ibu, manusia umpama dilahirkan semula apabila benar-benar bertaubat dan tidak mengulangi keburukan yang sama. Maria kini seorang Muslim, apakah perlakuan buruk Maria ketika masih dalam agama asal dahulu mahu dibangkit dan dipersoalkan?” Jungkir pertanyaan yang dicipta oleh Maria memberi sedikit huraian dan dalam waktu yang sama semakin melanjutkan perkongsian cerita.

“Saya mengenali Kak Melur bukan sebagai penagih dadah, sebaliknya sebagai seorang ‘kakak’ yang berdikari sebelum kisah peribadi ini saya ketahui.” Melur Hasanah ditenung untuk meyakinkan dan tanda sokongan. Melur Hasanah senyum tanpa kata, ada rasa terharu yang meluruti hatinya saat itu.

“Anak-anakku, Allah berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 53; Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa-dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Seperti seringnya, lelaki itu menyuntik dos kerohanian dalam kelembutan. Tangannya segera memperbetulkan ikatan serban yang mula longgar dan pelatih yang beragama Islam tekun menunggu buah bicara seterusnya.

Wajah Johan membesar di ruang matanya ketika itu.

Nota: Sambungan siri Melur Hasanah di Aniqah (Julai) dapat diikuti dengan tajuk Dan, Bukalah lengkung Langit.

Doakan, moga Allah sentiasa beri kekuatan, kemudahan dan kesihatan untuk tujuan ini. Mudahan, hasanahnya dikembalikan untuk anda.

BUKAN JATUH CINTA

Aniqah Jun, 2009

“Islam bukan melarang cinta, bahkan perasaan itu dicipta oleh Allah bersesuaian dengan fitrah manusia, sebagai pengubat jiwa yang sentiasa berkeluh-kesah dan sentiasa berasa kehilangan,” Ustaz Firdaus berhenti seketika, seraya meneguk air kosong yang sedia diletakkan di sisinya. Diana yang mula tersengguk di sebelah ditepuk kasar, menyentakkan gadis itu dan dia membetulkan duduk sambil menggosok-gosok mata.

“Kita menjadi penggila cinta apabila cinta bersendi nafsu terlalu diagungkan sehingga melupai kuasa sebenar pemegang cinta, iaitu Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Sebab itulah Islam datangkan ajaran yang lengkap untuk menjaga perasaan ini agar kehidupan manusia tidak dikucar-kacirkan oleh cinta itu sendiri.” Suara Ustaz Firdaus menusuk ke teras perasaan.

“Jadi, cinta yang disekalikan dengan akal itulah yang menjadikan kita pencinta yang normal dan rasional. Anak-anakku, cinta bersendi nafsu yang digilai banyak manusia umpama sebatang tiang yang digilai anai-anai. Zahirnya kukuh, namun terlalu rapuh buat menongkat sebuah rumah, apatah lagi untuk berdiam di dalamnya.” Kesimpulan ceramah Ustaz Firdaus malam itu memalu perasaan dan ada kesalan yang bertindan-tindan. Ustaz Firdaus yang belum bangkit daripada lantai surau dipandang, seperti ada bayangan arwah ayahnya bersebelahan ustaz itu.

“Engkau menangis?” Diana menyinggul lengannya ketika pelatih-pelatih lain mula bangun dan bersedia menyertai jemaah isyak yang akan diimamkan oleh Ustaz Firdaus.

 

Nota; Teruskan membaca novel saya di majalah Aniqah dengan judul Melur Hasanah, dengan siri ketiga (Jun 2009) dengan siri ‘Bukan Jatuh Cinta.’

 

PERJUANGAN PENULIS MUDA

Di PPMN

(Gambar diambil daripada Utusan Online)

Kalau dibandingkan dengan penulis terdahulu yang terdidik oleh alam dan persekitaran perang, penulis muda sekarang lebih beruntung apabila datang dengan ilmu dan disiplin yang pelbagai. Nasriah misalnya dari jurusan undang-undang telah menyentuh mengenai kekangan undang-undang yang membataskan penghasilan karya kreatif.

Nasriah yang beberapa kali memenangi anugerah di HSKU melihat bahawa sekatan secara langsung dan tidak langsung boleh menjejaskan kebebasan berkarya terutama golongan muda. Beliau menuntut diberikan kelonggaran supaya golongan penulis bebas melontarkan pemikiran dalam lingkungan adab sopan budayanya.

Baca lanjut tulisan Ku Seman Ku Hussain, di Utusan Online, di sini

PASCA-PPMN 2009: CATATAN PENDEK SESUDAH EMPAT TAHUN

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 di Tanjung Piai, Johor – ketika itu saya masih terlalu baru dalam dunia penulisan. Tentu tidak saya lupakan perjalanan daripada Port Dickson (seusai seminggu menjadi peserta Minggu Penulis Remaja) ke Tanjung Piai sebagai peserta dan penulis yang ‘sangat muda.’ Sejujurnya ketika itu, saya terlalu rasa ‘terasing’ dengan apa yang diperkatakan oleh pembentang di PPMN 2005. (Dan di PPMN 2009 saya ketemui mantan-mantan MPR 2008 – syabas untuk adik-adik yang saya dampingi di MPR 2009 atas penyertaan anda, kerana kita ialah penyambung perjuangan meletakkan budi manusia pada tempat asalnya).

Selepas empat tahun, saya diundang sebagai salah seorang pembentang makalah di PPMN 2009. Terlintas di fikiran saya untuk menolaknya apabila menyedari saya masih ‘sangat muda’ dalam penulisan, apatah lagi untuk menjadi panel di hadapan sarjana dan penulis yang begitu mapan. Namun dalam waktu yang sama hati saya juga menyuruh, bahkan mendesak untuk lekas-lekas ‘berdewasa.’ Lalu, saya sematkan dalam minda bahawa ini satu ‘lamaran’ akademik – bidang yang mula saya cintai kini, maka saya tidak boleh menolaknya.

Hari pertama di Puteri Resort, Ayer Keroh, saya sudah ketemu rakan-rakan mantan MPR dan kenalan-kenalan penulis yang sudah lama tidak bertemu. Duduk bersekali dalam satu sesi bersama Ustaz Azman Al-Kurauwi, Cikgu Sahrunizam Abdul Talib dan Kak Nisah Hj. Haron membicarakan ‘Pengarang Muda; Ketiadaan Ruang dan Masa Hadapan’ sungguh-sungguh buat saya ‘kerdil’ sekali lagi. Bahkan, antara audien di hadapan saya ialah Dato’ Haji Termuzi Abdul Aziz (Ketua Pengarah, DBP), ayahanda Dato’ Baha Zain (yang tidak sempat menyapa bertanya khabar kerana kurang sihat pada hari kedua di sana dan ayahanda Baha Zain sudah meninggalkan majlis pada hari ketiga. Maafkan saya, ayahanda) dan Dato’Dr. Anwar Ridhwan juga buat dewan serasa luas dan audien seperti tiga kali ganda ramai.

Pengarang Muda: Ketiadaan Ruang atau Masa Hadapan - tiga panel beserta pengerusi, Rahimidin Zahari

Dalam makalah saya, ‘Kelangsungan Pengkaryaan Penulis Muda: Sorotan Kebebasan Berekspresi,’ perbincangan difokuskan terhadap ‘kekangan’ dan ‘penyempitan’ ruang penulis muda dari sudut undang-undang yang boleh menyempitkan ruang berekspresi dengan gagasan dan pendapat. Pentingnya ruang yang selesa (nota: bukan ruang yang seluas-luasnya) diberikan kepada penulis muda saya justifikasikan melalui kaca mata agama, undang-undang hak asasi dan undang-undang Malaysia.

Tanpa menafikan peranan undang-undang untuk mencegah penulisan yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat dan keselamatan sosial (lihat sahaja fungsi undang-undang terhadap Salman Rushdi sesudah menulis Satanic Verses), namun melaksanakan undang-undang secara keras atau ‘rigid’ hanya lama-kelamaan menyumbang ke arah proses ‘pembodohan’ masyarakat apabila gagasan dan buah fikiran penulis tidak dapat disampaikan terus kepada masyarakat. Oleh yang demikian, saya melihat ‘peranan tiga penjuru’ (iaitu peranan penulis itu sendiri, peranan masyarakat termasuk pembaca dan penerbit serta peranan penggubal dan pelaksana undang-undang) menjadi landas penting dalam pengharmonian ‘kebebasan’ penulis muda dan ‘kekangan’ undang-undang ini.  (maaf atas kekurangan makalah ini dan kelemahan seorang saya ketika pembentangan berlangsung).

Hari kedua, saya rasakan saya sedikit ‘mengasingkan diri’ atas faktor kesihatan. Ketika itu saya sangat bersyukur kerana Tuhan masih berikan kesihatan pada hari pembentangan makalah saya pada hati pertama perhimpunan. Bahkan malam persembahan peserta di pinggir kolam tidak saya hargai sepenuhnya, langsung pulang berehat ke bilik penginapan selepas makan malam biarpun saya perlu manfaatkan waktu itu untuk mengenali penulis-penulis lain. (Maaf sekali lagi atas halangan ini)

Secara peribadi, saya melihat PPMN 2009 tidak ‘semeriah’ PPMN 2005. Sepanjang tinjauan PPMN 2009 – saya tercari-cari wajah orang-orang ‘besar’ dan sarjana sastera kita yang lain (yang saya temui di PPMN 2005 dahulu), sebagai inspirasi penulis-penulis muda yang akan menerus legasi yang sama, namun saya difahamkan banyak antaranya dalam persiapan untuk majlis lain yang perlu didahulukan. Biarpun mungkin kurang ‘dimeriahkan’ dengan wajah-wajah individu penting sastera kebangsaan, apa yang lebih penting ialah merealitikan resolusi yang disepakati sepanjang berlangsungnya perhimpunan ini – mudah-mudahan.

(Nota: Resolusi tersebut boleh dibaca langsung di blog Shamsuddin Othman, di sini).

Syabas dan tahniah untuk semua, khususnya untuk penganjur utama (PENA) dan penganjur bersama. Moga ketemu lagi dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang berikutnya.

Salam takzim.

Previous Older Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.