PANTUN PERGANTUNGAN DENGAN TUHAN
23 Jul 2011 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir, sastera
Dari hulu turun ke pekan,
Sampannya rosak di tengah hari;
Kalau selalu ingatkan Tuhan,
Apa dipinta pasti diberi.
Dewa-dewa melihat sakti,
Diam dalam gua batu;
Jangan tuan susah hati,
Sudah ada Tuhan membantu.
Anak labi makan mengecap,
Beri makan kelopak jantung;
Pada nabi saya mengucap,
Pada Tuhan saya bergantung.
Raja Sulung Indera Shah Johan,
Gagah berani lagi perkasa;
Kalau ada pertolongan Tuhan,
Mana boleh rosak binasa.
Kalau tuan memetik rambai,
Rambai ada di hujung dahan;
Sungguh berpantun kita beramai,
Berserah kita kepada Tuhan.
Sumber: Kurik Kundi Merah Saga
…HANYA KERANA KUKU.
30 Jun 2011 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir, santai
Dua minggu lalu saya dan Tuan Suami dikunjungi hampir 20 orang tetamu. Sepulangnya mereka, kami bergesa pula ke majlis kenduri perkahwinan seorang teman akrab. Dalam perjalanan, baru saya sedar yang celahan isi di bawah kuku dan jari-jemari sudahpun kekuningan kerana menggaul garam kunyit pada bahan lauk basah untuk hidangan makan tengah hari tetamu yang berkunjung. Maka gesa pula beg tangan diselongkar untuk mencari pengetip kuku.
“Alamak, jari saya kuning kena kunyit. Memalukan jika nak bersalaman dengan orang nanti.” Saya meluahkan, sekadar mahukan respon ringkas Tuan Suami yang memandu.
Tapi, respon ringkas yang saya harapkan bertukar jadi tazkirah santai yang cukup mengesankan.
Kata Tuan Suami; “Apa diralatkan dengan kuku yang kuning dengan kunyit jika itu jadi saksi di hadapan Allah bahawa kita sudah berusaha melakukan yang terbaik untuk tetamu. Beruntungnya, kerana kuku yang kuning itu akan jadi saksi (kebaikan) bahawa awak sudah memasak untuk suami.”
Kedengaran bagai Tuan Suami berjenaka. Tapi kata-katanya saya benarkan dalam diam.
“Jangan jadi seperti kebanyakan perempuan yang hanya ralit jaga kuku, yang hanya jadi ‘hamba’ kuku merah.”
“Maksudnya?”
Lalu sambung Tuan Suami; “Jangan hanya kerana jadi ‘hamba’ kuku (terlalu menjaga kuku sehingga mengetepikan tugasan lain kerana khuatir mengotor dan merosakkan kuku) sehinggakan tidak memasak untuk suami yang berharap demikian. Sudahnya, terhalang dan gagal meniti Siratul Mustaqim semata-mata kerana kuku yang cantik terjaga semasa di dunia.”
“ Apabila tanya Allah nanti; “Aku ciptakan engkau untuk mentaati dan menyenangkan suami, atau untuk jadi ‘hamba’ kuku?” maka ketika itulah (perempuan) mula menyesal. Jangan hanya kerana kuku…”
“Hanya ingatkan, supaya kita tak ambil mudah perkara-perkara kecil, sedangkan itu bawa kesan besar di akhirat.”
Tazkirah suami benar-benar terkesan. Betapa kadangnya kita terlepas pandang pada perkara kecil dan ambil mudah pada perkara remeh, sedangkan berkemungkinan perkara kecil dan remeh itulah yang mungkin jadi penyebab kita gagal meniti Siratul Mustaqim dan ‘dimalukan’ oleh Allah di Mahsyar nanti. Apatah lagi jika berkaitan dengan hak-hak suami yang ‘diketepikan’ tanpa sedar. Bukankah amal kebaikan dan amal keburukan yang sebesar zarah sekalipun ada timbangan dan balasannya di sisi Allah?
Dan, apalah sangat ‘keburukan’ yang ternampak pada mata manusia, sekiranya tidak begitu pada pandangan Tuhan. Bahkan, Rasulullah S.A.W meriwayatkan; Allah tidak memandang rupa parasmu dan hartamu, tetapi Allah memandang amalanmu. (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah).
Sesampai di dewan keraian perkahwinan yang kami tuju, saya kongsikan tazkirah tadi dengan sahabat-sahabat perempuan lain yang duduk semeja. Mudahan ada manfaatnya perbualan dengan Tuan Suami sebentar tadi.
Salam hormat,
dan, salam kasih sayang sejagat.
CATATAN TERTANGGUH – SELEPAS DUA PURNAMA
13 Mei 2011 2 Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir
Sewajarnya entri ini dimasukkan sejak dua bulan lalu. Makanya, ini benar-benar catatan yang tertangguh. Catatan yang wajar ditulis untuk merakam tanggal 13 Mac 2011, hari ini dimasukkan pada 13 Mei 2011 – selepas dua bulan saya mulakan hari dan ‘bertugas’ sebagai seorang isteri secara rasmi.
Pernah saya terbaca satu hadis dalam kitab Tibb Nabawi – riwayat Ibn Majah dan Al-Hakim yang bermaksud; Tidak ada yang boleh dilihat (lebih indah) oleh orang yang saling menyintai seperti halnya pernikahan.
Kenapa hadis tersebut dirakamkan dalam kitab perubatan? Setentunya kerana hikmah-hikmah besar sebalik pernikahan itu sendiri yang bukan hanya mencegah penyakit fizikal, bahkan sebagai ‘ubat’ emosi dan ‘terapi’ jiwa. Dalam hadis yang lain Rasulullah S.A.W meriwayatkan; Wahai orang muda, barangsiapa yang berkuasa untuk berkahwin antara kamu maka berkahwinlah. Sesungguhnya berkahwin itu melembutkan pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barang siapa yang tidak mampu, maka berpuasalah, kerana puasa itu boleh melemahkan syahwat. (Riwayat Bukhari).
Secara jelas, Islam terlebih dahulu membawa pencegahan berbanding pengubatan. Dalam hadis riwayat Ibn Majah, Baihaqi dan al-Bazzar, Rasulullah S.A.W mengingatkan dengan jelas mengenai penyakit yang datang disebabkan oleh perhubungan di luar perkahwinan, yang bermaksud; Wahai Muhajirin, lima bala akan ditimpakan ke atasmu dan aku berdoa agar kamu tidak ada ketika bala ini menimpa…satu antaranya adalah, apabila zina zahir dalam masyarakat secara terang-terangan, wabak yang dahsyat dan penyakit yang belum pernah menjangkitimu akan menyerangmu ketika itu. [Mudahan Allah melindungi kita].
Sesungguhnya perkahwinan adalah satu RAHMAT untuk sesiapa yang memandang perkahwinan dari kanta positif. Secara peribadi pula, saya jadikan titik tolak untuk membaiki diri biarpun dalam hal dan urusan kecil, menjadi tempat untuk belajar, dan yang penting ialah sebagai tempat untuk lebih mengingat Tuhan dan menghidupkan sunnah nabi-Nya.

Untuk pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga; saya doakan agar kalian selalu dalam RAHMAT Allah. Mudahan tidak berantakan, dan mohon dijauhkan dari perceraian (talak 4 sekali gus, lebih-lebih lagi). Untuk yang belum berumah tangga, diharapkan kalian memudahkan jalan perkahwinan (bukan menyulitkan).
Ini adalah RAHMAT – selepas Tuhan menukar cahaya menjadi nirmala, cendera menjadi purnama, halba menjadi cendana, kata-kata menjadi doa, gemala menjadi nurbisa, rasa menjadi cinta, dan ujana menjadi syurga.

Doakan kelak saya (dan setiap yang bergelar isteri) dapat memilih mana-mana pintu syurga yang kita suka. (Maksud hadis riwayat al-Bazzar; Apabila seseorang perempuan itu sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia melalui mana-mana pintu yang dia kehendaki).
Salam hormat.
HARI INI MASIH BOLEH BUKA MATA (?)
17 Jan 2011 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir, santai
(Gambar dikreditkan kepada: http://www.photographycorner.com)
Sebelum tidur malam tadi kita sudah merencanakan apa aktiviti yang mahu dilaksanakan hari ini. Lalu, malam tadi tidur kita benar-benar lena.
Tapi, bayangkan pagi ini kita tidak dapat membuka kelopak mata biarpun puas mencuba. Kelopak mata terlalu berat untuk dibuka. Mata belum dapat dicelikkan biarpun kita sudah terjaga dari lena. Dan, ketika itu kita terlalu gelabah. Sangat gelabah!
Maka, betapa besar sekali nikmat yang Tuhan berikan untuk kita pada pagi ini jika kalian dapat membaca entri ini (dan saya pula dapat menulis sekali lagi di ujana ini). Kerana sebetulnya; kita tidak mampu membuka kelopak mata tanpa keizinan, perlindungan, pertolongan dan rahmat Tuhan (sekadar untuk buka atau angkat kelopak mata). Apatah lagi untuk bergerak dan melaksanakan agenda kehidupan untuk hari ini.
Segala puji hanya untuk Dia, kerana hari ini kita masih boleh buka mata!
Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit) dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah – sebagai pelindung atau pemberi pertolongan [As-Shura: 31]
(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya. [Al-Imran: 8]
MEMBUKA TINGKAP 2011
01 Jan 2011 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir, santai
Secara sengaja entri ini dikemas kini untuk merakam tarikh 1.1.11, Sabtu. Pujian yang paling autentik hanya milik Allah, maka sehari lagi usia dipanjangkan untuk membuka tingkap 2011 sesudah lampu 2010 dipadamkan di kamar kehidupan.
Teman-teman banyak merencana resolusi tahun baru. Bahkan ada yang mencatat harapan untuk melupakan perkara-perkara yang tidak menggembirakan sepanjang tahun sudah. Dan untuk diri sendiri; syukur sekali atas kurniaan kegembiraan sepanjang 2010 sehinggakan tidak terfikir apakah kesedihan atau keralatan yang tertinggal untuk dilupakan.
Sekali lagi, pujian paling autentik dihantar kepada Dia – yang memberi ujian setimpal dengan keupayaan hamba untuk mengandarnya. Pun, masih saya doakan agar 2011 digenapkan dan dilengkapkan dengan perkara yang membahagiakan dalam setiap urusan, perancangan dan pekerjaan. Sungguh, ukuran kebahagiaan pada setiap individu benar-benar berbeza. Kita bahagia dengan ketetapan yang Tuhan kurniakan pada kita, dengan cara kita sendiri. Oleh itu, teruskan berdoa agar diberikan yang terbaik pada ukuran Tuhan, bukan pada ukuran kita.
Lalu, ingin saya titipkan petikan doa daripada hadis sahih sebagai peringatan untuk diri sendiri (dan pembaca) dalam menghadapi perancangan tahun 2011. Mudahan diberi ketetapan hati dan keimanan dalam apa juga ujian Tuhan. Dikepilkan bersama entri, dan mudahan bermanfaat.
Selamat membuka tingkap 2011, selamat mengelap cerminnya yang tentu akan berkabut juga, dan sesekali tukarlah hiasan langsir jika perlu.
Setiap kehebatan ujian akan berkadaran terus dengan keteguhan iman!
Nasriah Abdul Salam.
(dengan senyuman)
SEKETIKA BERSAMA YUSUF ISLAM
14 Dis 2010 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir, santai
Entri ini sewajarnya dimasukkan sejak lebih tiga minggu yang lalu. Namun beberapa kekangan kerja tidak memungkinkan saya mencatatnya lebih awal.
Catatan di sini lebih bertujuan untuk merakam aktiviti peribadi. Dengan penambahan; saya ialah seorang penggemar irama nasyid tempatan dan antarabangsa; Yusuf Islam (atau Cat Steven) adalah salah seorangnya. [Laman web peribadi Yusuf Islam boleh dipaut di sini.] Umum mengetahui; Yusuf Islam dan/atau Cat Steven ialah orang yang sama. Namun pada peribadi beliau – berbeza.
Ziarah saya ke masjid Universiti Islam Antarabangsa pada 26 November lalu memberi peluang mengisi Jumaat dengan sedikit kelainan; bersama menyertai jemaah solat Jumaat bersama Yusuf Islam dan seterusnya mengambil titipan hikmah lewat tazkirahnya. Antara yang paling kuat melekat dalam ingatan (berulang mengingatkan diri sendiri yang secara langsung terlibat dalam penulisan dan pendidikan) ialah pentingnya melaksanakan tugas dakwah.
Syukur (ada uja yang bersekali) Tuhan berikan kesempatan ini. Biarpun hanya tazkirah ringkas dan pendek (dan pengisiannya juga sudah sering didengar dan dibaca); namun ada ‘kesan’ yang tersendiri apabila terbit daripada individu yang pernah merakamkan Tea for the Tillerman, Teaser and the Firecats, Catch Bull at Four (dan lain-lain) sewaktu namanya masih Steve Adam dan Cat Steven.
Dan kini; dia ialah Yusuf Islam – datang dengan album yang berbeza pengisian dan lirik dengan yang sebelumnya; An Other Cup, ataupun yang terkini Roadsinger (To Warm You Through the Night). (Dan, saya sendiri; paling gemari I Think I See the Light dan Don’t Let Me Be Misunderstood. Kedua-duanya dalam album An Other Cup).
(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya. (Ali-Imran: ayat lapan)
Rakaman tazkirah ringkas dilampirkan bersama catatan ini;
Sedikit perjalanan atau pertukaran daripada Cat Steven ‘menjadi’ Yusuf Islam saya tinggalkan sekali di sini;
Juga, yang jadi kegemaran saya, I Think I See The Light;
Mudahan bermanfaat;
Nasriah Abdul Salam.
KEHIDUPAN: HANYA SEBUAH TAMAN TEMA.
05 Nov 2010 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir
BAGAI masuk ke sebuah taman tema. Segala permainan dan hiburan barangkali mengujakan dan menghiburkan. Ya, anda terhibur. Tetapi apabila keluar daripada taman tema tersebut; anda mungkin tertanya ‘apakah aku sudah perolehi kepuasan dan kegembiraan?’
Dalam al-Quran, banyak kiasan yang Allah berikan bagi menggambar kehidupan di dunia. Seperti perenggan awal di atas, Allah kiaskan kehidupan di dunia sebagai satu permainan, senda gurau dan perhiasan. Sekadar berkongsi (dan mengingatkan diri sendiri juga), saya himpunkan kalam Allah yang seputar subjek yang disebutkan di atas dalam entri ini. (Mohon ditegur/ditambah jika saya terlepas pandang pada ayat-ayat yang lain).
[Rujuk perkataan-perkataan yang tidak dicondongkan].
Dalam surah Al-An’am: 32, dinyatakan;
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
Dalam Surah al-`Ankabut: 64; Allah berfirman;
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).
Serupa juga dalam Surah Hadid: 20; Allah berfirman;
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak…
Juga, perkara yang sama Allah nyatakan dalam Surah Muhammad: 36;
(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).
SIAPAKAH YANG ‘DIPERBODOHKAN’ OLEH PERMAINAN DAN SENDA GURAU INI?
Allah menyatakan orang yang diperdayakan oleh kehidupan dunia ialah orang yang menjadikan agama sebagai bahan permainan dan sendaan, serta orang yang mengambil kemewahan dunia sehingga diperdayakan oleh kenikmatannya. Dalam surah Al-An’am: 70 Allah menyatakan;
[Rujuk perkataan-perkataan yang tidak dicondongkan].
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah…
Begitu juga dengan orang yang tidak beriman dan terpedaya dengan kemewahan dunia serta mengingkari risalah Allah, sebagaimana diperturunkan dalam surah Al-A’raf: 51.
(Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat keterangan Kami.
PERINGATAN UNTUK YANG BERIMAN
Berkesinambungan dengan ayat-ayat di atas, Allah mengingatkan orang-orang beriman agar tidak menjadikan orang yang menjadikan agama sebagai ejekan dan permainan serta orang kafir musyrik sebagai penolong. Seterusnya, diingatkan juga agar tidak menjadikan individu yang mempersendakan panggilan sembahyang sebagai penolong dalam urusan kehidupan, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Maidah: 57-58.
[Rujuk perkataan-perkataan yang tidak dicondongkan].
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.
Bahkan, Allah mengingatkan orang-orang beriman supaya menjauhkan diri daripada kelompok ini sebagaimana dimaktubkan dalam surah Al-An’am: 70, di atas.
KELUARLAH DARI ‘TAMAN TEMA’.
Jika kita masih dalam lagi berada dalam ‘taman tema’, maka memilih untuk keluar ialah jalan terbaik. Berpandukan ayat-ayat di atas, mengambil dunia sekadarnya ialah jalan cermat yang selamat. Paculah kehidupan atas jalan yang sudah Allah tunjukkan dalam Al-Quran (yang menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang beriman) serta sunnah tinggalan Rasulullah S.A.W (yang pada dirinya ada contoh ikutan yang baik bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat).
Mudahan saya dan kalian tidak menjadikan agama sebagai bahan mainan dan sendaan.
Selamat memerhati dan merenungi kata-kata Allah!
MOHONKAN CINTA TUHAN
15 Okt 2010 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir
Rasulullah (SAW) bersabda; antara doa Nabi Daud (AS) ialah: “Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, serta (kasihkan) amalan yang mendekatkanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikan cinta-Mu lebih aku sukai berbanding diriku sendiri dan ahli kelurgaku, dan daripada air yang sejuk.” Dan apabila Rasulullah (SAW) mengingati Nabi Daus (AS), baginda menggelarkan Nabi Daud (AS) sebagai sebaik-baik manusia dalam beribadah kerana Allah.
(Hadis riwayat Tirmizi)
TANDA INGATAN
17 Feb 2010 2 Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir, puisi, sastera
Sudah berkerat serumpun buluh,
Jangan dibuang ke dalam gaung;
Sudah dapat pohon berteduh,
Jangan dipandang pohon di gunung.
******
Mana tumbang pohon nangka,
Tepi titi sebelah pagar;
Kusut benang carilah punca,
Kusut hati carilah penawar.
KEADAAN DEMI KEADAAN
07 Feb 2010 Tinggalkan Komen
in catatan, fa-anzir & fa-kabbir
Minuman untuk sarapan; kopi, seperti selalunya.
Pagi Ahad; menyemak diari dan menyusun aktiviti, mengemaskini setiap acara mingguan, bulanan serta tahunan – terlalu banyak yang perlu dilakukan. Saya perlu saling pintas-memintas dengan masa, juga belajar-belajar menyesuaikan diri dengan keadaan dan ‘suasana’ baru. Tidak tahu sampai bila saya boleh bertahan, tetapi saya dengar banyak suara yang meminta saya untuk bertahan dan meneruskan. Salah satunya, ialah suara Tuhan.
Menikmati kopi bersendirian memberi peluang memikirkan sesuatu. Sehingga saya mencatat sesuatu pada helaian hadapan diari tadi;
Aku Mahu Jadi Seperti Biji Kopi!
Ya, saya akan larut dalam kepanasan air. Tapi setidaknya, saya sudah mengubah keadaan. Sudah mencipta sesuatu yang baru, memberi aroma yang berlainan, dan menyedekahkan rasa senang untuk si penikmat.
Oh ya; jangan khuatir – saya tetap kekal sebenarnya. Cuma, dalam bentuk yang lain.
Doakan kelangsungan saya dalam semua urusan dan pekerjaan.
(Gambar di ambil di sini)









KOMEN TERKINI