SELAMAT MEMBACA ‘DARI JENDELA ZAMAN INI’

Terima kasih yang paling autentik untuk Tuhan Yang Maha Memberi, Memberi dan Memberi.

Terima kasih kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dan National Art Council of Singapore, dengan usaha kedua-duanya antologi puisi ini telah diluncurkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Book Fair 2010) pada 27 Mac lalu. Terima kasih untuk rakan-rakan penulis yang turut datang meraikan. Dan, saudara Shamsudin Othman terutamanya; yang banyak terlibat secara langsung untuk urusan awal  bahan antologi sehinggalah majlis ini berakhir.

Dalam rencam keadaan; kajian akademik dan pelbagai tugasan, saya turut hadiri dan penuhi undangan bacaan puisi sempena majlis tersebut. Dua buah puisi saya; Marsum Ralat daripada Al-Aziz dan Warkah Hijrah dari Hati yang Pecah sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, dengan tajuk A Letter of Regret from Al-Aziz dan A Letter of Migration from a Broken Heart. [Sengaja memilih kedua-dua puisi dalam bentuk surat untuk penerbitan antologi ini].

Boleh di baca di laman sesawang Institut Terjemahan Negara Malaysia mengenainya. Dititipkan juga gambar-gambar sekitar majlis, untuk mewakilkan cerita.

Selamat memiliki, dan selamat menghayati puisi-puisi dalam antologi ini!

 

PENULISAN – TAZKIRAH & PROSES MENCARI MARDHATILLAH

Bulan ini, Ogos – saya menghiasi menyemak di helaian ‘Penulis Muda’ di majalah Konsep – satu majalah mini yang berinformasi. (kata seorang rakan apabila membelek-beleknya; Herm…sesuai sungguh kalau nak menggantikan majalah Mangga) – itu kata seorang rakan saya, ya. Sayangnya ruangan itu sedikit terhad (dua muka surat), jadi editor memasukkan hanya sebahagian daripada tulisan saya (hingga saya kira seakan-akan maksudnya sedikit tergantung). Saya menghormati kerja editor sepenuhnya, namun diperturunkan semuanya di sini sebagai sekadar satu catatan peribadi.

SEORANG guru saya pernah berkata – penulisan dan sastera bukanlah satu dunia glamour, tetapi dunia penuh ilmu. Juga katanya lagi – menulislah, bukan untuk mencari nama atau pangkat, tetapi untuk mardhatillah (keredaan Allah). Selepas beliau berkata begitu, saya jadi seorang penghisab. Hinggakan saya memutuskan begini – keredhaan Allah tidak akan datang sendiri, tetapi perlu dicari. Dan, pencarian itu memerlukan satu ‘proses.’ Lalu saya memasang azam peribadi bahawa, penulisan akan saya jadikan salah satu ‘proses’ daripada ‘proses-proses’ pencarian itu nanti.

Sejak usia 8 tahun, saya mula aktif menulis sajak untuk dipersembahkan pada sambutan hari guru dan maulidurrasul. Ketika sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-9 pula, kakak menghadiahkan saya sebuah antologi cerpen berjudul Namaku Muni, Namanya Munirah (selenggaraan Ghazali Ngah Azia). Sejak itu, saya bagai dicandui cerpen dan novel, hinggalah sekarang ‘mabuknya’ tidak hilang-hilang. Menginjak persekolahan menengah, barulah saya mula berjinak-jinak dengan penulisan cerpen biarpun tidak pernah dihantar kepada penerbitan. Kegiatan kokurikulum di sekolah menengah juga memberi peluang untuk saya mengasah minat apabila dilantik sebagai jawatankuasa dan editor untuk penerbitan.

Perjalanan penulisan saya boleh dianggap bermula aktif selepas memasuki Pusat Matrikulasi UIAM apabila puisi pertama yang bertajuk Bicara Hamba disiarkan di majalah Anis. Dengan rasa rendah diri, puisi itu dicagarkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk ke Minggu Penulis Remaja 2005. Mendapat bimbingan di Minggu Penulis Remaja di bawah bimbingan Faisal Tehrani (cerpen) dan Shamsuddin Othman (puisi) adalah antara kurniaan yang paling mewah pernah diterima daripada Allah. Selain itu, saya turut mengikuti kursus-kursus penulisan lain di bawah bimbingan Zaharah Nawawi.

Sehingga kini, saya memilih untuk terus berguru dan berguru, sama ada dengan manusia mahupun buku. Juga, saya akan pastikan saya mempunyai hipotesis dan kesimpulan sendiri terhadap apa-apa yang didapati melalui pembacaan kerana saya percaya, karya-karya yang baik dan membina hanya akan lahir daripada penaakulan. Bahkan, kebanyakan karya saya terhasil selepas merenung dan memikir bahan-bahan bacaan. Beberapa karya mula kerap dihantar kepada editor dan syukur sekali, kebanyakannya mendapat tempat. Antaranya, saya menerima hadiah utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2006 dengan cerpen Sehijau Bakau Seteguh Cinta. Terkini, cerpen Banglo Kolonial di Lot 152 dan Selamat Kembali Nurul Merdeka turut mendapat hadiah utama dan hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2007.

Sesekali mengecap kemenangan, terimbas pula pesanan guru saya tadi. Kembali menghisab, buat saya bertanya diri sendiri – bagaimana mahu beroleh mardhatillah andai diri sudah terdetik riyak, sedangkan sifat itulah yang akan menghalang diri dari mengecap manis keredaan-Nya. Kiranya begitu, sungguh ini satu ujian dan pertanggungjawaban! Ya Tuhan, rupa-rupanya ini ialah satu ‘proses’ yang payah. Berkali-kali saya tazkirahkan diri sendiri; andai jadi segemal padi sawah, atau jadi padi bukit sekalipun, biarlah ke bumi juga tunduknya.

Menyemak proses berdiri, bertatih dan sesekali berlari dalam seni penulisan sebagai satu pertanggungjawaban, saya gemar sekali merenung dan memegang butir hikmah Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin yang berlafaz; ‘Hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat yang menyajikan perbuatan salah, atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.’

Ini hanyalah satu catatan si penulis mentah. Ada yang tersinggung selepas membacanya? Jika ya, anggaplah ini juga satu tazkirah kecil daripada penulis kecil dalam anda menjalani ‘proses’ payah yang sama. ‘Proses’ inilah kelak yang akan menemukan anda dengan sesuatu yang besar pada pandangan Tuhan.

Nota Nasriah; Doakan agar saya kekal dalam proses ini, dan menemui titik pencarian itu. Doakan, begitu.

USIA BARU YANG BENAR-BENAR RIPUH, dan beberapa catatan

Seminggu sebelum ulang tahun kelahiran diri yang ke-25, saya benar-benar mengejar waktu untuk mendepani itu dan ini. Sebetulnya ketika itu, 2 Ogos bukan sepenting mana pada usia saya memandangkan ada perkara lain yang lebih penting daripada kek mahupun hadiah.

Sejak 26 Julai lalu, saya terlalu sibuk dengan hal-hal berkaitan borang, tugasan-tugasan kuliah yang perlu dihantar menepati waktu, juga hal-hal berkaitan Diskusi Karya Mantan MPR perlu saya langsaikan sebagai pengarah (tentunya ini tidak berlangsung tanpa bantuan rakan-rakan mantan yang lain, sangat-sangat saya hargai kalian yang terlalu ramai untuk disenaraikan di sini).

Juga, sebagai penyelenggara antologi terkini mantan MPR, urusan percetakan perlu dilesaikan memandangkan antologi akan dilancarkan pada hari yang sama. Bahkan 1 Ogos itu, saya langsung tidak sempat menjamah nasi sehingga ke malam, bahkan seharian. Lebih ‘menyukarkan’ kaki saya melecet teruk, bahkan berdarah gara-gara memakai kasut yang jarang dipakai. (silap sendiri; hingga ke hari ini lukanya belum baik sepenuhnya dan perlu dibalut sebelum memakai kasut).

Selesai menguruskan hal-hal bersabitan borang permohonan (sebagaimana dalam entri lalu) sejak 8 pagi sehingga pukul 12 tengah hari, saya hanya sempat mengunyah separuh daripada sepotong roti sambil menunggu bas daripada UIA ke Terminal Putra LRT. Belum sempat menghabisinya, bas sudah sampai, dan separuh lagi roti tersebut saya habiskan di Serdang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat percetakan (Meteor).

6 petang Hani hantar saya ke stesen komuter UKM. Nasib saya kurang baik petang itu – terpaksa berdiri dalam komuter dari stesen UKM ke Stesen Sentral dengan doa agar saya tidak pitam dalam perjalanan (kerana dah mula pening dan rasa menggeletar dek lapar). Usai maghrib di Stesen Sentral, saya mencari restoren makanan segera, dengan harapan boleh segera makan. Pun, nasib saya tidak sebaik mana apabila terpaksa beratur lama sambil tahan kantuk. Awal-awal bulan, masing-masing mahu meraikan penerimaan gaji.

Hampir 11 malam juga barulah tiba di UIA dan sepanjang perjalanan, saya berdoa agar tiada sesiapa yang rajin untuk datang ke bilik bikin kejutan hari lahir. Makanya, saya perlu tidur sebelum pukul 12 malam, rasionalnya supaya tiada orang yang tergamak untuk kejutkan sambil menatang kek. (Sedikit syukur, teman baik saya tiada di kampus hari itu, kerana dialah selalunya yang datang bikin kejutan; tapi lama-lama jadi kebiasaan pula). Saya langsung tidak mahukan kek mahupun hadiah hari lahir. Yang saya mahu ialah bantal dan sebuah lena yang sempurna sebagai persediaan majlis diskusi keesokkannya.

****
2 Ogos – mantan-mantan MPR di UIA bersedia menunggu bas seawal 7 pagi. Juga sekali lagi, hari itu saya perlu melangkah ke sana ke mari sepanjang majlis. (sebenar-benarnya saya berterima kasih buat rakan-rakan mantan sebagai pelaksana dan urusetia). Sekali lagi saya terpaksa abaikan kaki yang melecet dan luka sejak semalam.

Syukur sekali, majlis berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. Harapan kami, selepas ini adik-adik mantan MPR yang junior pula akan jadi pelapis meneruskan aktiviti-aktiviti MPR. Catatan seputar majlis diskusi boleh dibaca di blog Kak Nisah Haron. Terima kasih buat Anis, yang datang hantar kek ketika saya mengurut kaki sendiri sambil mata hampir tertutup di katil).

Selepas 30 minit mengecap lelap, sepupu saya pula tiba ke kolej. Hampir 4 tahun tidak bertemu di majlis diskusi siangnya kami hanya sempat bersalaman, malam itu saya lelap hampir pukul 3 pagi walaupun badan terlalu lesu dan tekak perit semacam, serasa seperti mahu demam. Malam itu juga saya cari kembali madu dan vitamin-vitamin yang hampir seminggu saya lupa mengambilnya. (Cik Jah, terima kasih datang.)

3 Ogos – hilang semua penat dan hampir semua tugasan sudah saya langsaikan, barulah terasa dan sedar rupa-rupanya diri sudahpun 25 tahun. Juga, terima kasih buat Nor yang datang menatang puding malam tersebut. Bahkan, kawan yang baik itu masih belum berpuas hati, beberapa kali dia mengatur waktu dengan beberapa rakan yang lain untuk meraikan saya dalam majlis kecil, dan beberapa kali itu jugalah saya menolaknya dengan alasan saya sudah terlalu tua untuk menyambut usia yang semakin bertambah.

****
6 Ogos – benarlah, saya benar-benar tidak dapat mengelak. Melihat saya liat untuk menurut kemahuannya dengan banyak alasan, dia datang bertandang ke bilik ketika jam hampir menginjak hari baru. Si teman itu datang dengan sekotak kek dengan 5 jenis perisa berbeza. Katanya, biar saya makan semua. (Terima kasih, Asma’ yang turut serta). Lebih  ‘mengada-ngada’ dia tak izinkan saya pegang sudu, dia mahu suapkan dari awal sampai habis. Pun, tak mengapa – saya sudah tak kuasa menghalang jadi sudahnya layankan sahaja. Seorang teman sebilik menegur; “Bukankah hari lahir Kak Nas pada 2 hari bulan. Maksudnya, sudah 5 hari berlalu. Dan saya jawab; “Ya, tapi Kak Nor kamu ni sengaja mahu sambutnya 7 hari, 7 malam. (Terima kasih, Nor yang disayangi!)

Nota: Tak lupa ucapan terima kasih buat semua yang memberi ucapan sama ada lisan, kad, saya anggap itu doa kalian!

****

Seorang rakan buat lawak tahap martabat ‘botol budu.’– katanya; Kak Nas dah usia 25 tahun. Makanya, 25 tahun lagi akan menopause. Tapi, lawaknya buat saya berfikir dan merenung usia-usia diri, terlalu dalam maksud muhasabah dalam sebuah lawak dan saya mengambil itu sebagai satu tazkirah.

Mungkin perkataan ‘menopause’ kedengaran sensitif atau kelakar jika diselit dalam lawaknya. Sebaliknya, saya perlu ingatkan diri sendiri bahawa hari ini saya meraikan jubli perak kelahiran, dan 25 tahun lagi akan meraikan jubli emas pula. Namun, akan berolehkah peluang emas itu?

Jubli perak kelahiran diri ini, doakan saya bukan hanya jadi manusia, tapi jadi seorang insan. Doakan agar helaian-helaian catatan dalam diari dipenuhi dengan kejayaan pada mata Tuhan.

Ya, 25 tahun – saya sudah terlalu tua untuk hidup lama.

KENDURI BUKU!

Baru-baru ini Hani ke Jakarta. Memang tak sah, atau tak lengkap perjalanan ke Indonesia (saya kira) jika tidak ke kedai-kedai buku. Mendengarkan Hani menggambarkan ‘pesta’nya di kedai-kedai buku. Aduh…memang saya telan liur.

Saya minta Hani belikan buku puisi. Memang sekarang saya rasakan penulisan puisi saya sudah ‘tumpul.’ Setidak-tidaknya, membaca buku puisi barangkali boleh menajamkan (barangkalilah ya!). Saya minta Hani pilihkan kumpulan puisi penulis Indonesia, dan Hani belikan Aku Ini Binatang Jalang (Chairil Anwar) dan Biksu tak Berjubah (Sitor Situmorang). Terima Kasih, cik kak!

 

 

5 Julai lepas, saya ke malam MASKARA (Sindiket Soljah, tentangnya boleh baca di sini, atau di sini) untuk bacaan karya. Sekadar membacakan puisi dan petikan cerpen. Berhampiran pintu masuk rumah PENA malam itu, ada disediakan kotak dan di dalamnya terkandung buku-buku dan cd untuk diberi percuma kepada sesiapa yang berminat untuk memilikinya. Dalam buku-buku yang diletakkan dalam kotak itu, saya berminat memiliki Bagai Layang-layang (Zaiton Ajamain), juga sebuah kumpulan puisi. (Terima Kasih buat penderma buku itu).Terima kasih, Cik Ghafirah yang punya ‘cerita gelak-gelak’ tersendiri ketika dalam perjalanan pulang malam itu, dan terima kasih juga untuk geng-geng Soljah yang tak kisah saya pulang awal.

 

 

Malam MASKARA itu juga, saya beli sebuah buku daripada penulis yang saya gemari dengan ‘genre’ yang saya minati sejak sebelum masuk sekolah rendah – Tenas Effendy, berjudul Tunjuk Ajar Melayu.

Beberapa buah buku beliau diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka juga, dan antaranya pernah saya hadam daripada perpustakaan universiti. Kulit buku ini nipis, berketebalan 687 muka surat dan kertas helaiannya juga agak nipis- kurang menyelesakan pembacaan kerana dalam kekhusyukan anda menelaah, anda perlu sentiasa beringat (ini gangguan tumpuan sebetulnya) untuk membeleknya dengan berhati-hati dan ini mengganggu kepuasan pembacaan.

Buku terbitan Balai Kajian dan Pengembangan Budata Melayu (dengan kerjasama Penerbit Adicita Yogjakarta) ini mengandungi ungkapan-ungkapan yang amat indah dari segi maksud dan falsafahnya. Saya belum membalut buku ini, jadi sekadar belek-belek dan baca sepintas lalu secara ‘takut-takut.’. Apa yang saya boleh dikatakan, buku ini ‘mengasyikkan’untuk membawa kita berfikir falsafah-falsafah dalam ungkapan tersebut, hingga saya terfikir sendiri – patutlah jika orang kurang beradab kita akan gelarkan ‘kurang ajar.’ – Nah, mungkin kena sekali dengan tajuknya Tunjuk Ajar Melayu.

 

 

Pernah ‘makan kenduri buku?’ Itulah yang sedang saya ‘kendurikan’ sekarang. 7 Julai lepas, rakan saya hadiahkan buku. (buku ialah hadiah universal – sesuai untuk dihadiahkan untuk sesiapa juga, tidak kira gender, umur, bangsa…setuju?) Memang hati kembang apabila menerima sebuah kotak besar berisi buku yang dihantar terus ke kolej penginapan di kampus. Membuka balutan kotak dalam uja, buat saya terfikir bahawa membalut hadiah (yang berupa buku) untuk dihadiahkan kepada ‘pemabuk buku’ ialah satu langkah yang kurang praktikal. Bayangkanlah, dalam uja dan debar melihat isi kotak yang terkandung buku, aduh…seksa juga. Lalu, apalah gunanya pembalut cantik andai untuk dikoyak-rabakkan dengan ganassssz…(kan?).

 

Di dalamnya saya dapati ada buku-buku pelbagai tema dan jenis terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ada juga yang sudah saya miliki dan sudah dikhatam di perpustakaan universiti. Tetapi tak mengapalah, saya punya anak saudara untuk dihadiahi dan punya kawan-kawan lebih daripada seorang untuk dititipkan juga. Antara yang dihantar untuk ‘kenduri buku’ santapan saya ialah;

1. Air Mata Ibu (novel) – Soo Cham

2. Merentas Sungai Sejarah (novel)  – Mohd. Nazmi Yaakub

3. Lerailah Musim Duka (novel) - Zawiah Che Pa

4. Mutiara Pulau (novel) – Halim Mahat

5. Cowrie Emas (novel) - Salmiah Alias

6. Korban Kasih (novel) – Fatimah Saidin

7. Cinta Sinyur Kosta dengan Si Gundik Cina (novel) - Daeng Ramliakil

8. Kembali (novel) – Norleen Md. Mohid

9. Hempasan Ombak (novel remaja) – Zailani Taslim

10. Di Hujung Perjuangan (novel remaja) – Mohd. Ghazali Tocheh

11. Anak-anak Wawasan (novel kanak-kanak) – Sureini Ahmad

12. Menyusur Sungai Seribu Misteri (novel kanak-kanak) – Kamaludin Endol

13. Madu Dalam Saringan (novel terjemahan) -Kamala Markandaya, diterjemah oleh Mokhtar Ahmad)

14. Anak Raja dengan Anak Papa (novel terjemahan) – Mark Twain, diterjemah oleh Za’ba

15. Si Fadet Kecil (novel terjemahan) – George Sand, diterjemah oleh Yusniza Abdullah

16. Safinaz Idayu (kumpulan cerpen) - Ghazali Ngah Azia

17. Demi (kumpulan cerpen)  – Marsli N.O

18. Tuntut (kumpulan cerpen) – Akiya

19. Rapsodi (kumpulan cerpen)- Zaen Kasturi

20. Debu-debu Berterbangan (kumpulan cerpen) - Baharuddin Harun

21. Rebab Bertali Tiga (antologi cerpen)  – Aripin Said

22. Kami dan Afeya (antologi cerpen remaja) -Jabatan Perpaduan Negara

23. Ujana Rindu (antologi cerpen)- Mohd. Ashadi Saiman, Siti Hajar Mohd. Zaki

24. Remaja dan Cinta (bacaan umum) – Robiah Kulop Hamzah

25. Kanang, Cerita Seorang Pahlawan (autobiografi) – Maznan Noordin

26. Manusia dan Islam (bacaan umum) – Dr. Haron Din dll

27. Panduan Kesihatan Gadis Remaja (bacaan umum)- Zalina Ismail.

28. Remaja dan keterampilan Diri (bacaan umum) – Robiah Kulop Hamzah

29. Sakit Kepala (bacaan umum) – Nafeeza Mohd. Ismail

30. Kulit, Rambut dan Kuku (bacaan umum) – Jamilah Jamaludin, Mohd Hamim Rajikin.

31. Diabetis Melitus – Punca, Cara Kawalan dan Rawatan (bacaan umum) – Jamaludin Mohamed, Khairul Osman.

32. Peribahasa Sekolah Menengah (bahasa) - Asiah Abdul Rahman

33. Kumpulan Pantun Melayu (puisi, bahasa) – Selenggaraan Zainal Abidin Bakar

34. Pandangan Semesta Melayu- Pantun (puisi, bahasa) - Selenggaraan Rogayah A. Hamid, Jumaah Ilias

35. Wanita – Penghapusan Diskriminasi dari Perspektif Islam dan Undang-undang Malaysia (undang-undang) - Rozi Bainon

36. Al-Syariah – Konsep dan Perundangan Islam (undang-undang) – Siti Zalikhah Hj. Mohd Nor dll.

Saya bayangkan, jika setiap sebuah buku dalam kotak itu ditukar menjadi seekor ayam, maka sudah banyak masakan yang boleh saya siapkan untuk sebuah kenduri besar. Gulai, percik, kuzi, rendang, masak merah, kari, paprik, tom yam…(huh!) Kata rakan saya itu – ini ialah hadiah ulangtahun kelahiran untuk tahun ini (walaupun lambat lagi). Terima kasih, sahabat yang baik!

(Buku-buku ini mustahil akan dihabiskan bacaannya dalam tahun 2008. Buat masa ini Nasriah sedang cari jalan terbaik dan praktikal untuk hantar buku-buku pulang ke rumah untuk menutup diari pengajian nanti).  :(

 

\P/s: Jemputlah berkunjung ke bilik saya ye, boleh makan-makan kenduri sambil menjamu teh panas. semester ni saya tambah 2 lagi jenis teh berperisa di bilik. antara yang ada ialah teh jasmin, teh ros, teh limau, teh hijau, teh strawberi, earl grey dan english breakfast. Hani, datanglah minum teh lagi. Gopi pun, mailah minum teh strawberi lagi… :D   :D   —> tertakluk kepada gender, ie: PEREMPUAN sahaja.

BARTER BUKU

 

 

 Ini satu cara untuk mendapatkan buku yang bervariasi. Iaitu, menukar koleksi buku kepunyaan kita dengan orang lain. Mungkin anda memiliki lebih daripada senaskhah buku yang sama dalam koleksi anda. Oleh itu, anda boleh menukarnya, suka sama suka, dengan orang lain yang berhajatkan buku tersebut, atau langsung tidak kisah jika ditukar dengan mana-mana buku sekalipun.

 

 

Langkah ini praktikal. Bukan lagi seperti tukar buku untuk tujuan diberi pinjam, tetapi untuk ditukar milik selama-lamanya. Seorang teman yang memang ‘hantu’ buku, si NB mencadangkan hal ini dan saya bersetuju, bahkan teruja dengan buku-buku yang ditawarkan untuk ditukarkan dengan saya.

 

\

 

Beliau dengan senang hati menghantar melalui pos dan menghulur sendiri 3 buah buku untuk ditukar dengan mana-mana buku yang ada dalam koleksi saya. Benar, saya seronok sekali menerima Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer), Daerah Zeni (A. Samad Said) dan Perjuangan Sia-sia (John Steinbeck) yang ada dalam koleksi beliau. Namun, saya masih belum sepenuhnya menunaikan janji antara kami. (Moga dia sabar menunggu sebuah lagi buku yang saya janjikan).

 

Berkali-kali juga dia meminta maaf. Katanya, kondisi buku itu terlalu teruk. Benar, saya sendiri memperakukan bahawa kondisinya agak teruk. Bahkan, tergelak juga saya – kerana inilah antara buku yang kondisinya paling teruk yang ada dalam koleksi saya. Itupun, sudah ‘dirawat’ oleh beliau dengan balutan plastik dan pita pelekat yang tebal. Kesan contengan di sana-sini, maklum sahaja itu buku second hand. Bahkan, terbersin juga saya ketika pertama kali membelek. (Oh, melampau, bukan?) hehe!

 

 \

 

Namun, usah ralat ya kawan. Saya langsung tidak kisah dengan kondisi. Asalkan buku itu masih boleh dibaca dan difahami isinya, saya sudah cukup seronok membaca dan dan cukup bersyukur kerana memilikinya. Bahkan, saya ‘bangga’ kerana menjadi orang terakhir memegang buku tersebut. Bayangkan jika tuan asalnya mahu mencari kembali buku-buku tersebut, tentu saya juga yang dicarinya. Dan, bayangkan juga andai buku-buku tersebut ada nilai sentimental yang tinggi pada mereka, dan menawatkan ribuan ringgit pada saya semata-mata untuk memiliki buku-buku itu kembali. – huh, plot imaginasi saya dah bermula!

 

 

Terima kasih, buat teman yang baik. Moga beliau terus sukses dalam penulisan. Jauh, dan pergi lebih jauh dalam arena yang diminati olehnya ini. Oh ya, juga berjaya sebagai pemimpin keluarga!

ANTOLOGI TERKINI!

Dicapai daripada Azree MH – Setelah setahun lebih menunggu, akhirnya buku antologi Palestin ini dapat juga disiapkan. Beberapa perkara melambatkan sedikit penerbitan buku ini.

Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada semua penulis yang menyumbang karya untuk antologi ini. Dan tidak dilupakan juga penulis-penulis dari website esastera.com yang turut memberi sokongan.

Karya-karya anda memang baik dan mengesankan!

Tidak lupa juga kepada pihak editorial, Bro Wan Am, dan pihak JIMedia yang memberikan sumbangan tenaga dan kewangan. Semoga usaha saudara semua beroleh keberkatan.

Harapan saya dengan terbitnya buku ini, kesedaran tentang isu Palestin kembali berputik dan dapat memberikan impak yang besar kepada pembacanya. Perjuangan untuk membebaskan Palestin daripada pendudukan Israel perlu ditangani dengan apa jua cara sekalipun.

Biarpun kita tidak dapat membantu mereka (rakyat Palestin) di sana, namun moga pendekatan seumpama ini setidak-tidaknya dapat menyumbangkan sesuatu kepada mereka.

“Saya yakin kehadiran buku ini di kalangan rakyat Malaysia mampu menyampaikan mesej perjuangan Palestin kepada pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya golongan remaja dan belia.

Saya juga percaya usaha murni para penulis kreatif sehingga terbitnya antologi cerpen ini akan mendorong kalangan sasterawan dan lingkungan penulis literary circle untuk mula meneroka penulisan kreatif demi mendukung perjuangan rakyat Palestin.” –Dr Hadfizi-

 

Senarai cerpen dan penulis:
1. Mujahid Kecil – Khairunnasriah Abdul Salam
2. Biarkan Aku Jadi Orang Palestin – Huda Soid
3. Hujan Mengguyur di Al-Quds – Fahd Razy
4. Warkah Kala Hari-hari Berdarah – Ghafirah Idris
5. Skizofrenia – Noor Azree
6. Rebah di Pangku Wahyu – Dini Syarif
7. Izrail Sibuk di Gaza – Hafeziftiqar
8. Untukmu Palestin – Nuaym Budiman
9. Senja di Jabaliya – Mohd Khairul Adha Mohd Jamil
10. Imma Sa’adah Wa Imma Syahadah – Wan Yusra Hananah
11. Wanita Anak Palestin – Ilhami
12. Espirit De Corps – Nimoiz TY
13.Beza Dua Wajah – Safiyah
14. Mawar Itu – Ummu Afeera Zainulabid
15. Setulus Cintamu Mujahid – Umi Khaltum Abdullah

 

Untuk Tempahan
Bagi yang berminat untuk mendapatkan buku ini bolehlah emelkan kepada saya di azree.mh@gmail.com.
Harga asal – RM15.
Harga promosi – RM12.
Kos penghantaran perlu ditambah RM3.

TENTANG PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR, 2008

Ini catatan lama, tapi mungkin masih relevan. Ketika banyak teman-teman blogger mengisi catatan santai mereka ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF 2008), ingin sekali saya mencatat juga. Sehari yang santai, tetapi penat sebetulnya. Di PWTC, Kuala Lumpur, hanya sempat saya kunjungi pada hari terakhir pesta, 13 April.

 

Teman sekampus yang belum pulang ke kampungnya di Sarawak mahu mengikut. Memahami dia juga gemarkan bahan bacaan, jadi saya kira dia akan jadi teman yang menyelesakan dalam seharian yang santai. Perjalanan bermula dengan tren Ekspres KLIA daripada Putrajaya, kemudian mengambil komuter KTM ke stesen Putra (PWTC) pada hari Ahad tidak banyak beza dengan hari-hari lain, mungkin. Sempat dalam perjalanan, saya tatapi Masitah (Mawar Shafei), hasrat untuk mengulang baca untuk kali kedua.

 

Teman saya juga akan tiba daripada kampus. Isyarat lalu lintas komuter tergendala sebentar di hentian Kuala Lumpur. Menunggu hampir 20 minit cambahkan sedikit bosan. Dan, ini yang sempat saya rakamkan lewat tingkap komuter. Oh ya, yang kabur ialah tingkap komuter yang berdebu, bukan kanta kamera saya, ya!

 

 

 

 

 

Teman saya tiba awal beberapa minit dan waktu sudahpun tengah hari. Terus sahaja kami ke setiap lantai dan menjelajah setiap gerai buku. Pesta buku kali ini, saya tidak lagi begitu teruja untuk membeli buku-buku yang baru diterbitkan, sebaliknya mahu mencari buku-buku lama yang mungkin sudah sukar untuk ditemui. Hari itu, saya sekadar membeli dua buah buku yang dilancarkan sempena KLIBF 2008. Kebetulan menemui penulisnya dan boleh mendapatkan tandatangan kenang-kenangan, iaitu;

 

1. Karbala, Faisal Tehrani, dan

2. 68 Soneta Pohon Ginkgo, A. Samad Said

 

Buku yang beliau tandatangani

 

Beliau yang sentiasa senyum...

 

Juga,

 

3. Dari Salina ke Langit  Petang, A. Samad Said (Edisi Santai

4. Perburuan, Pramoedaya Ananta Toer

5. Subuh, Pramoedaya Ananta Toer,

6. Changing Pathways, Forest Degradation and the Batek of Pahang, Malaysia, Lye Tuck-Po. (buku sosiologi seringnya mendapat tempat dalam pembacaan saya)

7. Sejarah Bani Umayyah di Andalus, Maruwiah Ahmat

8. Islam di Tanah Melayu Abad ke-19, suntingan Farid Mat Zain.

 

Selebihnya, saya teruja membelek sebuah demi sebuah buku-buku lama di sebuah gerai yang menjual buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, biarpun teman saya sesekali hilang dalam khalayak penggemar buku yang memenuhi dewan pameran. Antara buku-buku yang sempat dibeli dengan harga runtuh, potongan 50%, tidak membuatkan saya begitu berkira tentang kualiti atau kondisinya. Yang penting, masih elok untuk dibaca biarpun tengik hapak kertasnya sesekali boleh buat kita terbersin. Masakan tidak teruja, bukan senang mahu beroleh buku-buku lama pelbagai genre yang ditulis oleh penulis-penulis mapan yang sukar sekali ditemui di kedai-kedai biasa. Yang sempat dibayar;

 

9. Pengantar Logik, Hamidah Abdulhamid. –beliau sering membentang kertas kerja di seminar-seminar penulisan tentang kaitan ilmu logik yang perlu ada dalam penulisan. Jadi, barangkali menemui buku karangan beliau tentang perkara yang sama lebih memuaskan hati.

10. Panduan Hak Cipta dan Undang-undang Penerbitan untuk Penulisan, Ellen M. Kozak dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ismail Ahmad.

11. Salah Asuhan, Abdoel Moeis – Edisi pelajar, namun tidak mengapa. Cukup untuk buat saya tahu bagaimana penceritaannya.

12. Pulau Renik Ungu, Siti Zainon Ismail. – sudah lama mencari, baru jumpa.

13. Singkowoton, kumpulan cerpen Azmah Nordin- Sudah banyak penulis senior mencadangkan saya (atau kita, yang junior) membaca karya-karya Azmah Nordin.

14. Kasih Seputih Kemboja, kumpulan cerpen remaja Azmah Nordin.

15. Jika Bukan Kita, novel remaja tulisan Allahyarham Othman Puteh

16. Yang Menjelma dan Menghilang, sebuah drama tulisan Anwar Ridhwan.

17. Janjang Iktikaf, sebuah kumpulan puisi bernafas Islam, oleh Darma Mohammad

18. Taburkan Bunga, kumpulan puisi oleh Sutung Umar RS

19. Camar di Cangkir Bumi, kumpulan puisi oleh Siti Zaleha M. Hashim – sudah lama mencari dan sudahpun dihabisi.

20. Kuntum Harapan, kumpulan puisi remaja Zahari Hasib.

21. Tanah Serendah Sekebun Bunga, antologi puisi yang diselenggarakan oleh Hashim Yaacob – sekadar untuk melengkapkan koleksi.

 

Dan, yang buat saya terdiam ialah apabila memegang buku ini;

 

22. Lepaskan Kembali Aku ke Laut, jilid ke-3, biarpun tiada rezeki untuk mendapatkan jilid pertama dan ke-2, tulisan Shaari Isa (Hei Hani…ingat tak kita sama-sama mencari buku ni di Dawama Hulu Kelang?) Bukunya dah usang dan berkulapuk, tapi berpuas hati kerana buku ini sebaya saya, cetakan tahun 1983!

 

 

Seharian di pesta buku memang memenatkan. Dan, untuk kembali ke Putrajaya saya menumpangi komuter KTM daripada Putra (tren daripada Sentul), dan menukar tren di KL Sentral untuk ke Bandar Tasik Selatan (laluan ke Seremban) dan seterusnya mengambil tren Ekspres KLIA ke Putrajaya. Teman saya akan berhenti di KL Sentral dan dia akan pulang terus ke kampus. Dalam penat dan menahan kantuk, saya terlelap hingga saya terlupa bahawa saya perlu turun di KL Sentral dan bertukar platform (masih menggunakan Komuter KTM). Komuter yang ditumpangi membawa saya terus ke stesen Kg. Dato’ Haron (menuju ke Pelabuhan Kelang), hingga di situ barulah saya tersedar saya tersilap laluan. Lekas-lekas turun dan beralih ke terminal seberang untuk kembali ke KL Sentral dan bertukar platform ke Seremban.

 \

 

Gelap Kuala Lumpur jam 8.30 malam menyukarkan saya membaca setiap stesen yang dilewati, sementelah mata juga mamai. Dan pengendali komuter juga seringnya akan mengumumkan nama stesen yang akan dihampiri, tetapi tidak pada berbeza sekali dengan hari itu. Penat, lapar (kerana makanan terakhir yang diterima oleh usus saya ialah pada waktu sarapan), dan saya terpaksa menjinjing plastik-plastik buku dengan kudrat sendiri, berseorangan. Rancangan untuk keluar makan malam dengan abang saya terbatal begitu sahaja kerana lewat tiba di rumah. Hampir 9.30 malam barulah tiba di rumah, dan tapak tangan terasa tebal dan pedih. Kata abang saya, “abang tidak lagi lapar, tapi sudah mengantuk.”

 

 

Moralnya, perlu lebih peka apabila berada dalam tren, dan tahan diri daripada terlelap! Juga, jangan beli buku banyak-banyak nanti anda susah sendiri bila tersesat haluan. Herm, apa sangat yang dikisahkan, asalkan membawa keseronokan dalam cuti-cuti kali ini.  :)  :)

 

PENGGERA YANG AKAN ‘MEMBUNUH’ SAYA!

Memang saya perlukan penggera – untuk kejutkan dari tidur, juga jika berlaku kebakaran supaya boleh bergegas selamatkan diri melalui pintu penghadang api. Namun, kini saya kira saya perlukan penggera untuk masuk (baca: untuk keluar) ke (dari) kedai buku juga. Bahkan, jika boleh, biarlah fungsi penggera itu bukan hanya mengeluarkan bunyi, tetapi juga dilengkapi dengan arus elektrik yang boleh ‘merenjat’ saya supaya lekas-lekas keluar dari kedai buku sesudah masuk cuma 10-15 minit. Bahkan, jika saya tangguh atau masih berlama-lama, renjatan elektrik itu boleh buat saya sesak nafas atau lumpuh (hingga perlu dipapah keluar) beberapa jam, atau paling teruk boleh buat pengsan hingga sudahnya saya perlu diusung keluar dari kedai. 

 Ya, adakalanya ‘berkreatif’ boleh sahaja dianggap orang sebagai ‘mengarut ala-ala kartun.’ Tapi sungguh, tiba-tiba saya terfikir, masuk dan berlama-lama di kedai buku boleh mengakibatkan (baca: pasti mengakibatkan) bajet bulanan lari dan tersasar jauh dari perancangan asal.  Disember lepas, saya dan Hani Salwah ‘bergegas’ mengejar masa ke DAWAMA Hulu Kelang, khuatir kedai bukunya tutup. Kami sampai hampir pukul 5 petang, dan kedai akan ditutup 30 minit selepas itu. kami mencari buku secara ‘selongkar-geledah’ (rasa macam masuk explorace) dan saya membeli buku-buku yang dirancang sebelumnya biarpun tersasar lebih juga 3-4 buah yang berkenan dalam waktu itu juga. Berhabis agak banyak RM juga. (itupun nasib baiklah sesudah ditolak diskaun 25%).  :)

Sepulang daripada bengkel cerpen di Seremban (11-13 janari lalu), saya turut bawa pulang bersama 2 buah novel rakan sepenulisan, tanda menyokong pertemuan dan kerja idea mereka; 

-Di sebalik Mentari Jingga, W.B Rendra 

- Tinta Elipsis, Ibnu Ahmad al-Kurauwi 

Pertengahan Januari, ada booth buku yang menjual buku-buku Said Nursi Bediuzzaman. Secara kebetulan, sejak setahun kebelakangan ini tokoh intelektual Islam ini begitu saya kagumi (sesudah membaca The Words tulisan beliau) dan jika boleh mahu memiliki buku-bukunya yang lain. Bagai dicita cuma pucuk pegaga, namun yang datang ialah ulam raja- saya berpeluang membeli;

 - Biografi Intelektual Bediuzzaman Said Nursi (Shukran Vahide), dalam bahasa Indonesia

 - A Guide to Youth (kerana tulisannya ini, beliau pernah ditahan dan dibicarakan, jadi tentu sekali tulisan ini ada ‘kontroversi’ tersendiri). 

 - Alegori Kebenaran Ilahi, juga dalam bahasa Indonesia. Isinya sudah dibaca dalam The Words, tetapi lebih lazat meneliti dalam bahasa yang lebih mudah dihayati, bahasa Melayu. 

 - Islam, the West, and the Risale-i-Nur – Meryem Weld, seorang yang bersedia memeluk Islam sesudah membaca kitab-kitab Risale-i-Nur. (Alhamdulillah). 

Kelmarin (belumpun meninggalkan Januari), saya ke kedai buku kegemaran (kerana boleh tawar harga dan minta kurang hanya dengan alasan, “Pak cik, saya ni student lagi”), saya ke Pustaka Mukmin, di Jalan Tunku Abdul Rahman. Niat dan perancangan yang kejap ialah hanya mahu membeli Housing Development (Control and Licensing) Act 1966 –untuk tujuan kuliah dan senaskhah Dewan Sastera juga. Tetapi, keluar ke kedai buku bersendirian ialah nikmat yang tidak boleh dikongsi oleh orang lain, hanya individu tertentu sahaja yang boleh merasainya. Lalu, saya khayal bersendirian tanpa gangguan, sedar tidak sedar beberapa buah buku lain tercapai dek tangan setelah hampir sejam di situ; 

 - Peluru lawan Batu, Konflik Palestin Palestin & Israel, Maszlee Malik. – Sudah separuh dibaca, saya senang mengikuti tulisan beliau mengenai Palestin, dan saya mula belajar mengikuti isu universal ini (ingat, ini isu wajib diketahui dan diambil berat oleh umat Islam) secara konsisten ialah apabila membaca tulisannya di majalah-majalah dan mengikuti kuliah-kuliahnya semasa di Matrikulasi UIAM, PJ.  

- National Heritage Act 2005 – orang undang-undang berjiwa ‘klasik’ barangkali boleh/suka baca akta ini walaupun tidak ada dalam silibus kuliah. :D   :D

 - Palestine, Palestians and International Law, Francis A. Boyle. Entah kenapa akhir-akhir ini sangat ‘obses’ pula saya dengan subjek International Law di kuliah, semakin pula kemaruk membaca perkara-perkara yang terkandung dalam apa-apa perjanjian (treaty) dan convention.

Sedikit memperkenalkan penulis ini, Francis A. Boyle ialah pengamal undang-undang antarabangsa yang pernah menjadi penasihat undang-undang Palestine Liberation Organization dalam Palestinian Declaration of Independence (1988) dan pernah menjadi penasihat undang-undang rundingan damai delegasi Palestin ke Timur Tengah pada 1991 hingga 1993. Bahkan, banyak lagi buku-buku tulisan beliau mengenai undang-undang antarabangsa, isu nuklear dan lain-lain. Yang aneh lagi menarik, saya petik kata-kata pembukanya dalam buku ini; “I am not Arab. I am not Jewish. I am not Palestinian. I am Irish American.” – namun tulisan beliau banyak menyelar kepimpinan Bush Jr. terutamanya selepas 11 September 2001. (tak sabar mahu baca buku ini dengan tenang.)

 - Tafsir al-Munir, Juz ‘Amma – Dr. Wahbah Zuhaily, juga seorang ilmuwan Islam yang tulisan dan buah fikirnya banyak dirujuk hingga kini, terutamanya dalam hukum/fiqh.

Sewaktu petugas sudah memasukkan data buku yang mahu dibeli, jantung saya dag! dig! dug! tiba-tiba. Betapa saya lupa memastikan berapa jumlah wang yang ada dalam beg duit sebelum masuk ke kedai, atau setidak-tidaknya sebelum menghampiri kaunter. Pak cik India-Muslim itu seperti biasa murah hati memberi diskaun. Apabila dia menyebut harganya, saya rasa tangan sejuk, muka dah rasa berubah. Lambat-lambat saya buka beg duit dan berdoa supaya duit cukup, masakan mahu minta hutang dahulu. Jika berteman ke sana, barangkali boleh minta teman dahulukan duitnya.  

Fuh! Baki duit dalam beg ialah RM 10 dan beberapa keping wang syiling cuma selepas membuat bayaran, dan beg duit mendadak kempis – cukuplah bakinya untuk tambang LRT. Itupun masih ada hati mahu membeli Puisi-puisi Syeikh Ahmad al-Fatani (DBP) tetapi tiada naskhah lain yang tinggal melainkan naskhah yang dipamerkan (ada sedikit renyuk, jadi minat untuk memiliki jadi menurun).

Duit yang dari awalnya mahu diperuntukkan untuk membeli keperluan lain telah digunakan ‘secara tidak sengaja’ untuk memenuhi kehendak. Saya marahkan diri sendiri, dalam hati saya menjerkah berkali-kali- “Nas, jangan buat perangai macam ni lagi!” 

Terbayang muka emak yang tentu sekali akan kata macam biasa; “apa dibuat dengan duit begitu cepat, budak?” Saya akan jawap, macam selalu juga, “tidak sengaja emak…” –kadang-kadang saya fikir seronok jadi pelajar, semua buku yang nak dibeli akan ditanggung.  (kan?)

Terkenang seorang kawan baik di kampus yang merancang untuk berkahwin Mei ini, betapa dia bersungguh berjimat-cermat dalam soal kewangan untuk memenuhi belanja perkahwinan. (terkedu amat saya, terasa diri sendiri seorang yang sangat teruk!)  

Teringat kawan sealiran minat, sama ‘tabiat,’ Nazwan Hafeez yang akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Saya pernah tanya, adakah bakal isterinya juga punya minat yang sama (membeli dan membaca –walaupun entah bila akan habis baca), katanya tidak. “Betapa selamat” kata saya. Dan apabila dia tanya kenapa begitu ujar saya, saya langsung menjawap- betapa nanti ekonomi rumah tangga boleh distabilkan jika seorang sahaja yang ada ‘tabiat’ ini berbanding kedua-duanya (pasangan).  

Terbayang muka Hani Salwah sewaktu datang ‘melepak’ ke bilik saya di UIAM. Dia bermenung di katil menghadap rak buku dan meja tulis, dan apabila ditanya kenapa, dia bilang; “Aku cuma membayangkan, bagaimanalah nanti mahu engkau angkut semua ini (buku-buku) balik ke Kelantan.”  

Aduhai, hal angkut-angkut ini satu masalah besar dari dulu sampai sekarang! Sebab itulah saya katakan, jika kalian tahu di mana kedai yang menjual penggera seperti yang saya gambarkan di atas, silalah maklumkan pada saya. Saya mahu dapatkan segera.  

(tiba-tiba saya terbayang muka mak ayah yang akan terkejut kalau nanti sehabis belajar di sini saya pulang dengan menyewa lori dan seorang kelindan. Lori yang sarat barang-barang peribadi termasuk buku berkotak-kotak ini akan berhenti di depan pagar rumah, dan mak ayah akan kata; wahai puteriku, betapa tadi kami sangka Kassim Baba yang baru pulang daripada mencuri barang rompakan 40 penyamun dari gua, rupanya kamu wahai puteriku!)  

– Nasriah Abdul Salam berazam untuk tidak membeli buku dalam tempoh dua bulan ini untuk memenuhi pelan belanjawan. Tapi…(macam tak boleh percaya rasanya).   :)  :D

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.