MINGGU PENULIS REMAJA 2011

Syukur sekali lagi – pada 29 Jun hingga 3 Julai lalu saya berkesempatan melangsaikan taklifan yang diberi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembimbing genre cerpen dalam Minggu Penulis Remaja 2011. Tahun ini, genap empat tahun saya bersama dengan urusetia Minggu Penulis Remaja (DBP) berusaha membimbing peserta-peserta bakal penulis muda yang akan menginjak nama dalam penulisan (insya-Allah).

Bersama-sama saya; Sdr. Salina Ibrahim, Tn. Haji Shamsudin Othman dan Sdr. Lutfi Ishak turut sama mendampingi peserta selama seminggu perkampungan di Shah’s Beach Resort, Tanjung Kling, Melaka. Laporan mengenainya ada dalam ruangan Sastera Berita Harian, di sini.

Untuk adik-adik mantan peserta Minggu Penulis Remaja 2011 – mudahan segala perkongsian yang diberi sepanjang MPR lalu bermanfaat untuk kalian. Tiada langsung terbit rasa riyak atau kekaguman pada diri sendiri tatkala berkongsi pengalaman, melainkan hanya untuk menaikkan semangat dan memotivasikan adik-adik. Apa-apa yang baik ambillah dan sebarkan juga.

Selamat menulis dan membaca; “… kerana menulis dan membaca itu kerja penulis dan pendakwah!”

Salam hormat, salam kasih sayang sejagat.

WAWANCARA SOFA PUTIH ITNM – PESTA BUKU ANTARABANGSA, KL

Ya, ini sekali lagi jadi catatan yang tertinggal. Sekadar mencatat untuk koleksi peribadi.

Seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Kumpur  tahun sebelumnya, saya sekali lagi diundang oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Bezanya, tahun ini untuk acara yang berbeza.

Pada 22 April lalu (ya, sudah hampir 2 bulan berlalu), saya bersama Tuan Shamsudin Othman diundang untuk acara Wawancara Sofa Putih ITNM berbicara seputar dunia penulisan kami secara khusus, dan dunia sastera secara umum. Kebetulan, kedua-dua kami adalah antara penyumbang puisi untuk antologi puisi Dari Jendela Zaman Ini yang menghimpunkan puisi-puisi penulis Malaysia dan Singapura.

[Terima kasih yang sesungguhnya untuk ITNM - betapa kerja ITNM yang menyokong penulis dengan penerbitan dan terjemahannya bukan dapat dilihat pada tagline atau iklan, tetapi pada hasil kerja. Syabas untuk team ITNM!]

Bersama moderator, Tuan Sayed Munawar, kami bersantai. Namun, tahu-tahu sahaja bagaimana Tuan Sayed Munawar melantun soalan dalam bual bicaranya di kaca tv, begitu jugalah soalan-soalan ‘santainya’ petang itu.

Banyak yang diperkatakan sepanjang sejam wawancara. Namun yang paling membekas ialah; “Siapakah (apakah) yang mencorak citra pengkaryaan Nasriah?” Maka sejujurnya saya jawab; agama ialah pencorak citra karya-karya saya. Pengaruh pesanan emak dan ayah banyak mempengaruhi cara saya mencampur warna dalam karya. Juga, bimbingan guru-guru. Biar sebesar mana idea atau inspirasi yang mahu disampaikan dalam tulisan atau karya, agama ialah corak, tunggak dan panduannya.

Antara sedar mahupun tidak, soalan Sayed Munawar yang satu itu bagai memperbaharui ikrar saya pada diri sendiri. Insya-Allah, mudahan ini akan diingat sampai bila-bila. Terima kasih untuk nama-nama yang sangat bermakna dalam hati saya. Juga untuk pasangan; yang saya hutangi keizinannya.

Laporan mengenai wawancara ini dapat dibaca dalam ruangan sastera Berita Harian.

 

Salam hormat, salam kasih sayang sejagat.

 

BENGKEL PENULISAN (CERPEN, NOVEL & BLOG) DI UIAM, INDERA MAHKOTA

Aktiviti penulisan dan sastera pertama yang ada dalam jadual saya seusai aidilfitri lalu ialah memenuhi undangan Science Student Society, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Indera Mahkota (Kuantan) untuk mengendalikan sebuah bengkel penulisan di sana.

26 September lalu, bengkel sehari yang dibahagikan kepada dua slot; novel dan blog untuk slot pertama, serta penulisan cerpen untuk slot kedua berjalan lancar. Syukur sekali; masih Tuhan bekalkan sedikit kesihatan yang mencukupi untuk penuhi undangan ini.

Bergandingan dengan Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri yang mengisi slot penulisan blog dan novel, (entri mengenainya boleh dibaca di sini); saya ditaklif untuk mengendalikan sesi bengkel penulisan cerpen pada sebelah petangnya. Sedikit ‘kekok’ mengisi slot yang audiennya relatif muda. Masakan tidak, 90% daripadanya ialah remaja sekolah menengah yang masih di tingkatan 2 dan 3. Inilah antara usia peserta paling muda yang pernah saya bimbing!

Biarpun tidak dimaklumkan lebih awal mengenai usia peserta bengkel saya, rasa kagum dan berbesar hati melihat semangat dan keinginan yang ditonjolkan rupa-rupanya membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri dengan peserta. Panggilan ‘adik-adik’ dan slot yang banyak ‘dicairkan’ dengan jenaka (juga melayan balas jenaka pesertanya) menjadikan pengisian slot lebih santai. Juga, saya perlu berterima kasih pada Ilham Hafiz; kerana turut menyumbang idea untuk ‘bersantai’.  :)

Secara keseluruhan, peserta didedahkan dengan perkara-perkara asas dalam penulisan. Kebanyakkannya sudah mesra (atau paling tidak, pernah dengar dan tahu) dengan plot, watak dan perwatakan, serta latar. Oleh yang demikian, kerja menurunkan ilmu penulisan secara praktikal dirasakan lebih mudah.

Usai berbengkel petangnya; saya (beserta Sayidah Mu’izzah dan Ilham Hafiz) melajakkan pemanduan ke Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Hasrat mengejar senja tidak kesampaian apabila kami tertukar laluan. Sudahnya senja sudah sempurna tatkala kami tiba.

Pulang dari Kuantan; saya mendoakan yang baik-baik sahaja sepanjang permusafiran itu. Antara yang utama; biarlah lahir penulis yang menyampaikan kebaikan dalam kelompok anak-anak didik ini. Biarpun bukan semua; seorang sudah memadai!

Diperturunkan gambar-gambar bengkel. Catatan peribadi salah seorang pesertanya juga; Aiman Mohammad,  boleh dibaca di sini.

 

 

 

SELAMAT MEMBACA ‘DARI JENDELA ZAMAN INI’

Terima kasih yang paling autentik untuk Tuhan Yang Maha Memberi, Memberi dan Memberi.

Terima kasih kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia dan National Art Council of Singapore, dengan usaha kedua-duanya antologi puisi ini telah diluncurkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (Kuala Lumpur International Book Fair 2010) pada 27 Mac lalu. Terima kasih untuk rakan-rakan penulis yang turut datang meraikan. Dan, saudara Shamsudin Othman terutamanya; yang banyak terlibat secara langsung untuk urusan awal  bahan antologi sehinggalah majlis ini berakhir.

Dalam rencam keadaan; kajian akademik dan pelbagai tugasan, saya turut hadiri dan penuhi undangan bacaan puisi sempena majlis tersebut. Dua buah puisi saya; Marsum Ralat daripada Al-Aziz dan Warkah Hijrah dari Hati yang Pecah sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, dengan tajuk A Letter of Regret from Al-Aziz dan A Letter of Migration from a Broken Heart. [Sengaja memilih kedua-dua puisi dalam bentuk surat untuk penerbitan antologi ini].

Boleh di baca di laman sesawang Institut Terjemahan Negara Malaysia mengenainya. Dititipkan juga gambar-gambar sekitar majlis, untuk mewakilkan cerita.

Selamat memiliki, dan selamat menghayati puisi-puisi dalam antologi ini!

 

PERJUANGAN PENULIS MUDA

Di PPMN

(Gambar diambil daripada Utusan Online)

Kalau dibandingkan dengan penulis terdahulu yang terdidik oleh alam dan persekitaran perang, penulis muda sekarang lebih beruntung apabila datang dengan ilmu dan disiplin yang pelbagai. Nasriah misalnya dari jurusan undang-undang telah menyentuh mengenai kekangan undang-undang yang membataskan penghasilan karya kreatif.

Nasriah yang beberapa kali memenangi anugerah di HSKU melihat bahawa sekatan secara langsung dan tidak langsung boleh menjejaskan kebebasan berkarya terutama golongan muda. Beliau menuntut diberikan kelonggaran supaya golongan penulis bebas melontarkan pemikiran dalam lingkungan adab sopan budayanya.

Baca lanjut tulisan Ku Seman Ku Hussain, di Utusan Online, di sini

PASCA-PPMN 2009: CATATAN PENDEK SESUDAH EMPAT TAHUN

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005 di Tanjung Piai, Johor – ketika itu saya masih terlalu baru dalam dunia penulisan. Tentu tidak saya lupakan perjalanan daripada Port Dickson (seusai seminggu menjadi peserta Minggu Penulis Remaja) ke Tanjung Piai sebagai peserta dan penulis yang ‘sangat muda.’ Sejujurnya ketika itu, saya terlalu rasa ‘terasing’ dengan apa yang diperkatakan oleh pembentang di PPMN 2005. (Dan di PPMN 2009 saya ketemui mantan-mantan MPR 2008 – syabas untuk adik-adik yang saya dampingi di MPR 2009 atas penyertaan anda, kerana kita ialah penyambung perjuangan meletakkan budi manusia pada tempat asalnya).

Selepas empat tahun, saya diundang sebagai salah seorang pembentang makalah di PPMN 2009. Terlintas di fikiran saya untuk menolaknya apabila menyedari saya masih ‘sangat muda’ dalam penulisan, apatah lagi untuk menjadi panel di hadapan sarjana dan penulis yang begitu mapan. Namun dalam waktu yang sama hati saya juga menyuruh, bahkan mendesak untuk lekas-lekas ‘berdewasa.’ Lalu, saya sematkan dalam minda bahawa ini satu ‘lamaran’ akademik – bidang yang mula saya cintai kini, maka saya tidak boleh menolaknya.

Hari pertama di Puteri Resort, Ayer Keroh, saya sudah ketemu rakan-rakan mantan MPR dan kenalan-kenalan penulis yang sudah lama tidak bertemu. Duduk bersekali dalam satu sesi bersama Ustaz Azman Al-Kurauwi, Cikgu Sahrunizam Abdul Talib dan Kak Nisah Hj. Haron membicarakan ‘Pengarang Muda; Ketiadaan Ruang dan Masa Hadapan’ sungguh-sungguh buat saya ‘kerdil’ sekali lagi. Bahkan, antara audien di hadapan saya ialah Dato’ Haji Termuzi Abdul Aziz (Ketua Pengarah, DBP), ayahanda Dato’ Baha Zain (yang tidak sempat menyapa bertanya khabar kerana kurang sihat pada hari kedua di sana dan ayahanda Baha Zain sudah meninggalkan majlis pada hari ketiga. Maafkan saya, ayahanda) dan Dato’Dr. Anwar Ridhwan juga buat dewan serasa luas dan audien seperti tiga kali ganda ramai.

Pengarang Muda: Ketiadaan Ruang atau Masa Hadapan - tiga panel beserta pengerusi, Rahimidin Zahari

Dalam makalah saya, ‘Kelangsungan Pengkaryaan Penulis Muda: Sorotan Kebebasan Berekspresi,’ perbincangan difokuskan terhadap ‘kekangan’ dan ‘penyempitan’ ruang penulis muda dari sudut undang-undang yang boleh menyempitkan ruang berekspresi dengan gagasan dan pendapat. Pentingnya ruang yang selesa (nota: bukan ruang yang seluas-luasnya) diberikan kepada penulis muda saya justifikasikan melalui kaca mata agama, undang-undang hak asasi dan undang-undang Malaysia.

Tanpa menafikan peranan undang-undang untuk mencegah penulisan yang boleh menggugat ketenteraman masyarakat dan keselamatan sosial (lihat sahaja fungsi undang-undang terhadap Salman Rushdi sesudah menulis Satanic Verses), namun melaksanakan undang-undang secara keras atau ‘rigid’ hanya lama-kelamaan menyumbang ke arah proses ‘pembodohan’ masyarakat apabila gagasan dan buah fikiran penulis tidak dapat disampaikan terus kepada masyarakat. Oleh yang demikian, saya melihat ‘peranan tiga penjuru’ (iaitu peranan penulis itu sendiri, peranan masyarakat termasuk pembaca dan penerbit serta peranan penggubal dan pelaksana undang-undang) menjadi landas penting dalam pengharmonian ‘kebebasan’ penulis muda dan ‘kekangan’ undang-undang ini.  (maaf atas kekurangan makalah ini dan kelemahan seorang saya ketika pembentangan berlangsung).

Hari kedua, saya rasakan saya sedikit ‘mengasingkan diri’ atas faktor kesihatan. Ketika itu saya sangat bersyukur kerana Tuhan masih berikan kesihatan pada hari pembentangan makalah saya pada hati pertama perhimpunan. Bahkan malam persembahan peserta di pinggir kolam tidak saya hargai sepenuhnya, langsung pulang berehat ke bilik penginapan selepas makan malam biarpun saya perlu manfaatkan waktu itu untuk mengenali penulis-penulis lain. (Maaf sekali lagi atas halangan ini)

Secara peribadi, saya melihat PPMN 2009 tidak ‘semeriah’ PPMN 2005. Sepanjang tinjauan PPMN 2009 – saya tercari-cari wajah orang-orang ‘besar’ dan sarjana sastera kita yang lain (yang saya temui di PPMN 2005 dahulu), sebagai inspirasi penulis-penulis muda yang akan menerus legasi yang sama, namun saya difahamkan banyak antaranya dalam persiapan untuk majlis lain yang perlu didahulukan. Biarpun mungkin kurang ‘dimeriahkan’ dengan wajah-wajah individu penting sastera kebangsaan, apa yang lebih penting ialah merealitikan resolusi yang disepakati sepanjang berlangsungnya perhimpunan ini – mudah-mudahan.

(Nota: Resolusi tersebut boleh dibaca langsung di blog Shamsuddin Othman, di sini).

Syabas dan tahniah untuk semua, khususnya untuk penganjur utama (PENA) dan penganjur bersama. Moga ketemu lagi dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang berikutnya.

Salam takzim.

HARI-HARI YANG LURUH PADA DAHAN CATATAN YANG KIAN RONTOK

Kali terakhir ujana saya dikemas kini ialah tahun 2008, dan kini apabila masuk tahun baru, barulah sempat saya masukkan entri ini. Sekadar memenuhi ‘singgulan’ rakan-rakan yang mengingatkan blog ini sudah bersawang.

Bukan menunda, namun saya benar-benar kesuntukan masa hingga tidak terasa bulan Januari juga dah berlalu. Boleh dikatakan, apabila menjengah tahun baru, maka aktiviti dan kehidupan saya juga jadi ‘baru.’ Bulan lepas, saya ke UIAM untuk urusan graduasi. Alhamdulillah, beberapa perkara sudah diselesaikan, dan secara rasminya, saya sudah boleh digelar ‘graduan.’

Langkah seterusnya?

Dahulu, selepas SPM, emak ayah bukan hanya menyarankan, bahkan meminta saya belajar dalam bidang perundangan. Alasannya, agar saya dan kakak (seorang peguam) boleh berada di bawah satu bumbung firma adik-beradik. Saya hormati permintaan emak ayah biarpun dalam hati ketika itu ‘memberontak’ untuk belajar dalam bidang Psikologi. Dalam ‘dilema’ ini, saya cuba contohi Allahyarham Sudirman – beliau menamatkan pengajian bidang perundangan atas kemahuan ibu bapa biarpun beliau begitu mahu jadi penyanyi. Dan apabila tamat belajar, ‘kerja’ menyanyi beliau ‘menjadi-jadi’ bahkan beliau lebih berjaya dalam bidang nyanyian berbanding bidang guaman.

Dan, kini, saya kira saya sudah melalui rintis yang sedikit ‘terpisah’ dengan mahkamah dan bidang guaman. Ketika saya utarakan pada emak ayah bahawa saya mahu masuk ke bidang pendidikan pula, ada yang ‘membantah.’ Namun, kedua-duanya merestui, tatkala saya nyatakan pada kedua-duanya; izinkan saya pilih laluan yang beri saya kepuasan dalam bekerja pula selepas saya dahulukan kemahuan emak ayah sepanjang zaman pengajian. Langsung tiada maksud untuk mengungkit, apalagi menyesali, namun saya percaya kerja yang dilakukan dengan ‘kegembiran’ dan atas dasar minat akan lebih memberi hasil biarpun kelelahan. Dan hasil itu, biarlah pula bergandingan dengan restu emak ayah.

Alhamdulillah, saya kini dalam bidang pendidikan, dan saya kira saya lebih sukai bilik darjah berbanding kamar mahkamah biarpun terdetik kemahuan untuk memiliki pengalaman berhadapan dengan hakim. Ya, saya dipanggil cikgu, atau tepatnya lagi, dipanggil ‘cikgu Sejarah’ dan ‘cikgu Geografi’. Apa yang boleh saya katakan, saya seronok dengan kerja ini. Seronok melayan murid yang banyak kerenahnya.

Pernah, ketika saya sergah seorang pelajar yang menguap besar dan mengejip-ngejip mata; “Hah, kamu mengantuk?”

Kalian tahu apa yang murid itu jawap?

Katanya dengan terlalu selamba; “Bukan, ini senaman mata, cikgu.” Ketika itu saya hanya tahan tawa dengan berpura-pura jegil mata, dan teringat, barangkali inilah perasaan guru-guru saya tatkala melayan kenakalan saya ketika di sekolah dahulu. Pun, saya tetap gembira.

Kerja mengajar bukan kerja lenang. Kini, baru boleh mengerti sendiri bagaimana perasaan guru yang mahu lihat murid-muridnya berjaya, barulah boleh lalui sendiri debar seorang guru apabila musim ujian semakin hampir. Memang, melayan murid memang memenatkan, pun, saya tetap gembira, dan doakan murid-murid saya berjaya.

Biarpun begitu, masih sempat saya luangkan masa dengan aktiviti sastera dan penulisan. Seringnya, apabila hujung minggu atau di luar waktu pengajaran. 31 Disember / 1 Januari lalu, malam tahun baharu disambut di ASWARA dalam majlis Malam Genta Puisi ASWARA – PENA yang bertemakan sambutan tahun baharu Hijrah 1430 dan 2009. Sejujurnya, inilah pengalaman pertama saya menyambut tahun baharu (dalam erti kata sambutan).

Warkah Hijrah Dari Hati yang Pecah

Uniknya, beberapa minit sebelum pukul 12 malam, penganjur dan hadirin berselawat sebelum majlis potong pulut kuning. Dalam majlis itu, saya bacakan puisi ‘segera’ yang berjudul Warkah Hijrah Dari Hati yang Pecah.

Warkah ini terlalu ringkas, Tuhan

Untuk bercakap tentang seribu makhfi dan makrifat

Isinya sudah lama kupendam dalam hati yang pecah

Dan kini, meluruh bersama hujan

dari langit iman yang sering mendung.

Juga, 31 Januari lalu, saya penuhi undangan Kelab Puisi UIAM sebagai pemudah cara dalam bengkel cerpen. Sekitar 30 orang peserta yang hadir untuk pendedahan awal penulisan cerpen dan mengenali apa itu sastera yang ‘vitamin C – yang dikupas segar dari ladang.’

Terima Kasih, buat pengerusi Kelab Puisi UIAM; Encik Azree

Saya sering gunakan analogi ini untuk membanding sastera kita yang tujuannya untuk mendidik berbanding dengan ‘sastera’ yang dihidangkan kepada masyarakat untuk tujuan laba semata-mata. Untuk mendapatkan vitamin C daripada sebiji oren, mana yang anda mahu pilih – yang segar dari ladang atau jus oren dalam peket segera, yang pada jadual nutrisinya juga turut dinyatakan ‘kandungan’ vitamin C?

sebahagian peserta

Mudah-mudahan, makin banyak pelajar-pelajar UIAM yang menulis atas inisiatif Kelab Puisi.

Esoknya, 1 Februari, atas undangan keamanan, saya ke majlis Baca Puisi Di Bawah Langit Gaza, anjuran PENA, Yayasan Salam dan TV9. Ramai yang hadir dalam majlis ini, termasuklah wakil kedutaan. Sayangnya, saya tidak dapat berlama-lamaan memandangkan keesokkannya (Isnin) saya bekerja.

Biar Zaitun Kembali Rimbun

Namun begitu, saya hargai usaha penganjur dalam usaha ini, dan rangkap-rangkap puisi Biar Zaitun Kembali Rimbun dibaca. Sejujurnya, puisi tersebut dicipta dengan separuh hati saya dihentak hiba dan separuh lagi dipenuhi amarah.

menandatangangi kain rentang sokongan buat Palestin

Dan, puisi itu ditulis tatkala mengingatkan seorang teman yang pernah berjanji untuk mengajak saya berziarah ke kebun zaitun milik keluarganya di sana. Sayang sekali, persahabatan kami kini berjarak, dan dalam keadaan yang bergolak sebegitu, saya tidak akan berkecil hati andai janji itu tidak tertunaikan. Cukuplah andai beliau hadir sebagai sahabat yang memaknakan ‘keberanian’ untuk saya terus ke hadapan.

tanda tangan 'Khairunnasriah' dengan tulisan STOP THE WALL!

STOP THE WALL!

Barangkali, inilah saya, hanya mampu mencatat puisi untuk Palestin, hanya mampu menghantar doa, hanya mampu meminggirkan barangan israel dan amerika. (Nota: nama ‘negara’ tersebut sengaja ditulis dengan huruf kecil). Buat kalian yang membaca catatan ini, barangkali usaha kita kecil pada mata dunia, namun setidak-tidaknya, biarlah kita menyumbang.

Kami rindukan pertamuan ke kebun itu seperti dahulu

Ketika anggur yang kalian peram tidak pernah memabukkan

Dan, syai yang kalian hidang belum berbaur hanyir.

Sungguh saudara, kami rindukan teduhan zaitun kalian

ketika anak-anak yang menagih halwa tidak pernah mengenal Mickey –Minnie

namun tekal berlari atas kerikil taburan menteri,

dengan berani menyeru “Al-Ayyubi! Al-Ayyubi!”

Salam kasih sayang, yang bersejagat;

Nasriah Abdul Salam

FORUM APRESIASI BUDAYA, BERPAKSIKAN AGAMA

Saya menerima jemputan sebagai panelis forum Apresiasi Budaya, Berpaksi Agama yang berlangsung pada 27 Disember lalu dengan banyak rasa – debar, rendah diri, gugup juga, Masakan tidak, panelis lain bukan calangan orang, iaitu Ustaz Muhammad Abdullah Nicholas Sylverster (Pengerusi Hidayah Centre) dan Erma Fatima, siapa yang tidak kenal dengan artis dan pengarah filem yang terkenal ini, sedangkan saya? (aduhai!)

 

Namun, saya memilih untuk mencabar diri sendiri dengan menerima jemputan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) ke Karnival Kebudayaan Belia & Komuniti 2008, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Dengan tema Simbiosis Belia dan Budaya, saya yakin ada aspirasi besar yang dibawa dalam karnival anjuran bersama kerajaan negeri Selangor dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) itu. (terima kasih buat teman baik dan seorang adik yang menjadi peneman buat penguat perjalanan, Ghafirah dan Sayyidah Mu’izzah). Malam itu juga, kami berkongsi astaka dengan persembahan nasyid kumpulan Saff-One, Demascus, Algebra dan Muadz. Syabas buat penganjur, terima kasih atas jemputan, dan saya sokong sepenuhnya anisiatif ini!

 

Secara keseluruhan, forum mengupas peranan dan hubungan antara budaya dan agama. Saya banyak megupas peranan penulisan atau sastera (yang juga sebahagian daripada budaya kita) dengan agama Islam. Alhamdulillah, semuanya dapat dilaksanakan. Menariknya juga (saya kira), setiap panelis datang dengan ‘identiti’ sendiri. Ustaz Muhammad Abdullah Nicholas Sylverster berpantun sebelum dan selepas bercakap, dan Erma Fatima membaca puisi. Saya juga tidak mahu ketinggalan, lalu memilih untuk mengalun Gurindam 12 (raja Ali Haji) apabila ditanya mengenai karya-karya sastera yang mencerminkan budaya Melayu-Islam yang semakin dilupakan. (Saya tergelak apabila Kak Erma Fatima yang duduk di sebelah saya ketika itu berkata dengan menyebut filem yang pernah diarahkan oleh beliau, “Awak jadi perempuan Melayu terakhir malam ini.”)

 

Dan malam itu juga, saya terharu dan terinsipirasi daripada maklumbalas jemputan-jemputan kehormat di meja makan. Tentu, saya tak akan lupakan ucapan semangat YB Rodziah binti Ismail, Exco kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan sains, Teknologi & Inovasi Selangor, yang menepuk-nepuk bahu dan berkali-kali mengucap ‘teruskan, teruskan.’ Sungguh-sungguh itu berikan kekuatan. “Terima kasih, YB!” (Mudahan ini jadi semangat untuk meneruskan perjalanan dalam semua bidang yang saya ceburi, mudahan Allah meletakkan usaha ini pada mizan kanan, amin.)

 

Apa yang saya harapkan, audien beroleh sedikit pencerahan bahawa bahan penulisan dan sastera itu bukanlah sesuatu yang bersifat khayali atau ‘jiwang’ namun lebih bersifat mendidik, membangun insani dari segi akliah dan rohaniah. Seni penulisan dan persuratan Islam yang begitu sinonim dengan budaya Melayu ialah satu wasilah membina manusia berahklak (ingat ya, bukan hanya untuk menjadi manusia bermoral), seterusnya membina manusia bertamadun dan berbudaya. Budaya – bukan hanya cukup dengan memiliki barang antik dan berbaju kebangsaan sahaja lalu dipanggil budayawan, namun lebih daripada itu – menjadi manusia yang memiliki akal budi yang tinggi dan seterusnya bertemu Tuhan dengan selamat.

 

Apakah sama jus oren yang diperah segar daripada ladang berbanding jus oren yang dipeksegerakan, yang hanya perlu dituang ke dalam gelas?

 

Tentulah tidak!

 

Salam yang bersejagat, Nasriah Abdul Salam

 

 

img_10652*Di astaka bersama panelis lain; Sdr. Erma Fatima dan UstazMuhammad Abdullah Nicholas Slyverster

img_10741* Kadang-kadang saya boleh ‘lupa diri’ bila pegang micophone, hadoi…!

img_10662* Sebahagian daripada audien yang saya hormati.

img_10771* Rakan-rakan dan teman yang berkongsi astaka pada malam itu – Algeba dan Muadz

img_10756* YB Rodziah – mudahan ada semangat beliau yang saya bawa pulang.

img_10763*Kak Erma Fatima – doakan kami yang menjadi ‘tukang cerita’ ini agar tidak hanya buat cerita :)

MINGGU PENULIS REMAJA 2008 – Catatan yang Ditangguhkan

Ini catatan yang terpaksa dilengahkan.

 

11 – 18 Disember lalu, saya meninggalkan Kota Bharu untuk bertemu adik-adik Minggu Penulis Remaja di Seri Cempaka Service Suites, Cheras, sebagai pendamping. Seminggu di sana, saya bersama senior mantan MPR yang lain bersama membawa taklifan yang sama – Shamsuddin Othman dan Rahimidin Zahari bagi genre puisi, manakala saya dan Saifullizan Yahaya membimbing genre cerpen. Jutaan terima kasih buat urusetia di bahagian PURNAMA – DBP atas semuanya (tidak tercatat di sini)

 

Tahun ini, setiap pembimbing akan ditaklifkan memberi satu sesi kuliah umum sebelum setiap kumpulan dipecahkan dan dibimbing dalam bengkel-bengkel. Adik-adik kumpulan saya – A. Samad Said, masih saya ingat setiap wajah dan watak peribadinya.

 

23 peserta MPR kali ini diharapkan menjadi bintang yang menyerlah di langit sastera dan penulisan nanti. Dan, saya punya keyakinan yang tinggi untuk itu. Banyak antaranya yang sudah berkarya, bahkan ada juga yang sudah mendapat tempat dalam media arus perdana.

 

Juga, semua peserta berpeluang menyaring inspirasi daripada sasterawan tanah air, Dato’ Baha Zain (puisi) dan Azizi Hj. Abdullah (novel/cerpen). Bahkan sejujurnya, air mata saya cepat terbit apabila membaca catatan peribadi Dato’ Baha Zain di blog beliau mengenai pertamuan ke MPR tahun ini, betapa beliau punyai harapan yang tinggi untuk generasi-generasi kami. Terima kasih, Dato’, terima kasih Pak Azizi!

 

Seminggu di sana, serasa sekejap. Hari terakhir, saya tarik bagasi ke KLIA dengan rasa sayu dan rindu hingga banyak diam sepanjang perjalanan. Saya teringatkan Justin yang mendengar dengan mata kuyu hingga kadang saya khuatir kalau-kalau dia tidak memahami apa yang disampaikan (namun, saya tahu dia memahami). Syarifah Zulikha, si penghuluwati yang saya yakini akan pantas maju. Rashidi Daud, si penghulu yang saya tahu dia pasti akan terus menulis dengan kemahuannya yang tinggi. Hidayah Shahbudin, bakal guru yang menyimpan puisi Perhutangan Dengan Tuhan saya pada meja studinya hingga lunyai.

 

Selainya, si Azwin, siswa di Universiti Malaya, Nor Nabila yang minat menulis skrip (namun usah selalu mendampingi novel popular yang plotnya tidak berubah, ya dik!), Amir Hamzah yang ‘Iqbal.’ Juga Misraini, bakal guru yang aktif bertanya dan sedap berpuisi Ke Makam Bonda. Faisal, yang buat cerpen dengan watak imam dan cikgu yang gatal dan suka kopi jantan. (Oh, apabila teringatkan ini saya boleh tergelak sorang-sorang). Ilya Ireeza, yang sudah punya novel kanak-kanak namun tidak jemu bertanya dalam bengkel, Hazhizh, anak jawa yang katanya mahu luahkan yang terbuku di hati dengan tulisan-tulisan (namun, beralihlah ke novel yang membina penulisan yang baik pula, ya dik!).

 

Saya tak akan lupakan Radhiah, peajar Aswara yang wajahnya sangat iras dengan Zubaidah (hingga saya sering tertukar panggilan), Shahida, yang saya yakini akan maju jika dia gandakan usaha, Rashidah, pelajar UIA yang ‘engkau perempuan, aku perempuan, kita sama-sama keindahan.’ Juga, Wahyuna, Nabilah, Hidayah, Fariza, Shafiqah. Saya tak lupa akan Hazwani yang ‘bukan sundal’ itu, (Dik, yang murni sahaja yang akan menjadi didikan), dan Raden Qurratu ‘Ain, yang tidak kurang hebat puisinya.

 

Sampai di Kota Bharu, saya kenangkan semua wajah-wajah ini. Benar-benar saya doakan semuanya akan maju dalam penulisan. Sesekali ditegur atau dimarah, itu hanya untuk mencabar dan menaikkan semangat mereka, tanda sayang saya pada generasi Minggu Penulis Remaja – kerana di situlah juga saya bermula.

 

Dik, usah takut melakukan kesilapan, kerana kesilapan sahaja yang memungkinkan kita membaiki kekurangan. Gandakan bacaan, bacaan dan bacaan. Usahlah menulis hanya untuk memenuhi masa, suka-suka, atau sebagai hobi kerana suatu hari nanti kita akan jemu dengan penulisan dan meninggalkannya. Namun, menulislah kerana amanah dan tanngungjawab, mudahan dengan itu kita berasa bahawa kita perlu teruskan penulisan untuk menyebarkan seribu kebaikan, dan mencantas sejuta kemunkaran.

 

Dik, tulislah dengan rasa hamba, kerana Tuhan, untuk menjadikan manusia seorang manusia. Mudahan, kalianlah pula yang akan menjadi pembimbing di Minggu Penulis Remaja nanti.

 

‘Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang beruntung’, Al-Imran: 110

 

Salam yang bersejagat, Nasriah Abdul Salam.

 

 

 

img_09391 

*Melalui tingkap pesawat, ada beberapa senyuman yang berapungan bersama awan.

 

img_09621*Dengar, dengar…show, not tell! (heheh)

img_09531* “Nak jadi penulis, tak boleh hensem.”

img_09791* Pak Azizi – menandatangani novel-novel beliau, milik saya

img_10291* Adik-adik saya!

dscf1150*Kumpulan A. Samad Said saya sewaktu keluar tengok-tengok kota (kredit gambar kepada Abesa)

img_10451* Mantan-mantan yang semangat

img_1042* Pembimbing yang ‘kacak-jelita’ -pinjam nama antologi kita (heheh)

img_1043* Ini bukan penamat; tapi amanat

img_1052

*Ada kerinduan yang saya catatkan bersama senja di KLIA

ADA BEBERAPA HAMBATAN ANTARA RINTIS HUJAN

Sangka saya, cuti setelah tamat pengajian ialah satu ‘perlepasan’ yang melegakan. Rupanya tidak, 3-4 perkara penting menuntut banyak masa berkurung menghadap komputer peribadi dan buku-buku. Hinggakan kata emak, dia sendiri tentu tidak sedar andai ada hantu yang datang menculik dan membawa saya lari melalui tingkap kamar – adakalanya lawak emak, boleh tahan juga.

 

Buku-buku - yang menjadikan mimpi malam saya berongga, dan mencipta beberapa cerita, antara hujan.

Dan, buku-buku yang bertindan ini sudah berkali-kali memberi ‘demam.’ Banyak perkara yang perlu dihabiskan serentak seperti memaksa saya masuk ke dewan peperiksaan semula. Dalam menghela lelah, saya kenangkan kata-kata Bonda Zaharah Nawawi – menjadi penulis, tidak mengizinkan kita untuk berlengah-lengah, apalagi berehat. (Terima kasih, bonda, atas kesudian bertamu ke teratak saya yang serba daif, beberapa hari lalu.)

 

Cuaca di Tanah Sekebun Bunga, hujan berpanjangan. Barangkali molek juga, tidak banyak masa saya diperuntukkan dengan aktiviti luar. Namun yang tidak disukai, helaian buku-buku di rak seperti ‘lemau’ dan ‘layu’ kerana cuaca yang lembab. Khuatir juga, kalau-kalau kulat yang sudah bertempek pada dinding rak berjangkit pula ke buku-buku.

 

Hujan yang berpanjangan, bikin sedikit risau, andai jalan raya Kota Bharu – Kuala Lumpur tenggelam memandangkan saya perlu banyak berulang-alik ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan, selang tiga-empat hari selepas tiba daripada Kuala Lumpur, saya perlu ke sana semula atas pelbagai urusan. Ujana saya barangkali sedikit bersawang nanti. Mohonlah, agar urusan saya dipermudahkan dan perjalanan saya selamat dalam restu ayah bonda.

 

Juga, saya sudah terima maklum balas positif berhubung salah satu borang dalam entri Dan, Borang itu Mendebarkan. Kini, berusaha pula untuk mengetahui respon borang kedua. Berita ini saya terima dalam sebak dan syukur, betapa Allah sebenarnya terlalu banyak memberi perhatian terhadap permintaan saya.

 

Saya maklum, banyak antara kalian yang menghantar doa buat saya. Betapa doa kalian amat saya hargai, dan saya tidak ada sedikitpun upaya untuk membalasnya, melainkan Dia. Sungguh, doa yang dihantar atas nama persaudaraan lebih manis berbanding kurma yang ranum.

 

Salam, penuh kasih sayang yang bersejagat sifatnya, daripada saya.

Previous Older Entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.