CINTA TIDAK KESAMPAIAN – DI BAWAH LINDUNGAN KA’BAH
14 Dis 2011 2 Komen
Cerita cinta tidak kesampaian – pada saya itu cerita biasa. Cerita yang boleh sahaja berlaku di mana-mana dan dalam apa bentuk persembahan sekalipun. Cinta tidak kesampaian kerana darjat atau keturunan – itu juga cerita biasa.
Begitu juga cinta Zainab dan Hamid dalam filem Di Bawah Lindungan Kaabah, yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama, karya Hamka. Tiada yang beza atau luar biasa, pada saya. Cinta Zainab dan Hamid dalam Di Bawah Lindungan Kaabah, tidak jauh berbeza dengan cinta Hayati dan Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, juga karya Hamka. Bahkan, pengakhiran cerita juga lebih kurang serupa. Juga, bagaimana surat berperanan dalam menghubungkan makna perasaan bagi watak-watak utama dalam kedua-dua karya tersebut – juga lebih kurang sama.
Namun, sebanyak mana sekalipun persamaan sesuatu perkara, tentu sahaja ada sekurang-kurangnya satu perkara lain yang membuatkannya lebih tertonjol. Begitu jugalah dengan Di Bawah Lindungan Kaabah – temanya biasa, tetapi pada saya, pengolahan jalan cerita dan bahasa menjadikan cerita ini menempuh jalannya yang berbeza.
Cerita cinta yang memiliki harapan berbeza, sudahnya menempuh satu laluan yang berpusat di negeri yang satu – Mekah, dengan surat yang mempertemukan mereka. Harapan Hamid yang paling besar ialah untuk menunaikan haji, dan pada sisi Zainab pula; menikah dengan lelaki yang mencintai dan dicintanya adalah harapan yang teratas, sehinggakan impian itu dititipkan kepada Hamid untuk disebut di hadapan Kaabah. Tanpa sedar, kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan.
Luahan perasaan tidak perlu dengan kata-kata berjela. Masing-masing memahami sendiri walaupun tanpa pengakuan secara langsung. Bagaimana sabut berisi kalam tertulis nama ‘Zainab’ dihanyutkan lewat arus sungai sehingga disambut oleh Zainab sendiri ditafsir sebagai satu bentuk penyampaian perasaan dari pihak Hamid walaupun susuk tubuh lelaki itu tidak kelihatan.
Bahasa – tetap akan jadi penghubung yang baik dalam apa-apa sahaja situasi. Pengakuan cinta Hamid walaupun tidak secara langsung lebih ‘berdarjat’ dengan kata-kata bermakna ketika ditanyakan perasaannya kepada Zainab oleh Engku (salah seorang gurunya) dengan soalan langsung dan didesak: “Apakah engkau mencintai Zainab?” Lalu jawab Hamid; “Saya hanya bisa mengatakan bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar dibandingkan dengan kesedihan ketika saya difitnah dan diusir dari kampung ini.”
Juga, antara kata-kata cantik yang lain untuk saya catatkan;
“Sampai kapanpun; emas takkan setara dengan loyang, dan sutera tak sebangsa dengan benang.” – ibu Hamid
“Apapun yang akan terjadi, Hamid; ingatlah bahawa ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup.” – ibu Hamid
“Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang harus terus kita bawa; keyakinan, dan cinta.” – Hamid.
Selain mendapatkan VCD/DVD, filem ini boleh ditonton di Youtube.
Selamat menonton dan mendengar yang indah daripada tema cerita yang biasa!




Dis 29, 2011 @ 17:10:04
Salam ziarah Puan Nasriah. Sebuah blog yang bermutu. Saya belum pernah membaca novel Di Bawah Lindungan Ka’bah ini. Walaupun saya sudah memiliki koleksi Pak Hamka yang lain. Sudilah jengah ke blog saya untuk bertukar-tukar pendapat dan memberi tunjuk ajar.
Dis 30, 2011 @ 12:14:01
Salam, En. Helmi.
Terima kasih atas kunjungan. Insya-Allah; mudahan diberi teguran dan pandangan juga pada apa-apa yang saya yang saya siarkan di sini.
Salam hormat.