PANTUN CINTA SELAT MELAKA
11 Okt 2010 4 Komen
Apa tandanya Selat Melaka,
Selat Melaka airnya biru;
Apa tandanya hati yang cinta,
Hati yang cinta rasanya rindu.
Selat Melaka airnya biru,
Air yang biru bertambah tenang;
Hati yang cinta rasanya rindu,
Rasa rindu bertambah sayang.
Air yang biru bertambah tenang,
Tempat budak mengail senangin;
Rasa rindu bertambah sayang,
Tiada hendak mencari yang lain.
Tempat budak mengail senangin,
Masak gulai dengan gelama;
Tiada hendak mencari yang lain,
Hidup mati biar bersama.
Masak gulai dengan gelama,
Buat bekal belayar ke Linggi;
Hidup mati biar bersama,
Menuju syurga tempat abadi.




Okt 11, 2010 @ 14:56:46
Rasa segan hati nak minta
Dahannya tinggi si buah pauh
Hendak menitik si air mata
Bila mengenang abang yang jauh.
~sisip rahsia hati isteri dari bawah bayu
Okt 16, 2010 @ 15:04:00
Terima kasih Kak Amalia kerana menyisipkan pantun juga.. (banyak-banyakkan bersabar, sambil hayati Pantun Cinta Selat Melaka)..nanti saya buat Pantun Cinta Bawah Bayu pula, hehe
Okt 16, 2010 @ 00:33:10
Pantun yang menarik dibaca. Tahniah
Okt 16, 2010 @ 15:06:35
Tuan Nassury, terima kasih berkunjung, membaca dan meninggalkan jejak.