“Kebebasan ini bukan suatu kemerdekaan, Melur Hasanah.” Ustaz Firdaus begitu tenang pada hari terakhir lelaki itu ditemui di pejabatnya yang bersebelahan dengan bilik Puan Hafizah. Sebentar lagi ibunya akan datang menjemput bersama-sama Pak Long Ibrahim.
“Kebebasan boleh sahaja datang berkali-kali dalam hidup seseorang, namun kemerdekaan akan benar-benar dikecapi setelah seseorang berjaya mempertahankan kebebasan yang dia miliki.” Semua jari Ustaz Firdaus bersilang taut antara satu sama lain di atas meja yang banyak menempatkan buku-buku agama dan cenderamata yang diterima sepanjang perkhidmatannya.
Bagai menyedari garis kekeliruan pada dahi Melur Hasanah, lelaki itu melanjutkan percakapan tanpa diminta; “Kebebasan yang Melur perolehi hari ini bukan hanya perlu dihargai, tapi juga dipertahankan. Maksud ustaz, kebebasan ini akan memberi makna andai kamu benar-benar merdeka daripada dadah setelah keluar dari pusat ini. Banyak pelatih yang sudah bebas, namun kembali ke pusat ini kerana gagal mempertahankan kebebasan, dan sudahnya tidak mengecapi erti kemerdekaan.” Ustaz Firdaus senyum lagi seusai mewakafkan huraian yang sendat hikmah, tenang sambil mengangguk-angguk kecil.
Melur Hasanah masih diam, ada sebak yang tiba-tiba menyentuh perasaan biarpun dia benar-benar menunggu hari kebebasannya. Rasa cuak dan gementar adakalanya memberi tekanan apabila membayangkan kehidupan dalam stigma masyarakat dan masa depan yang masih berkabut. Dapatkah dia masuk ke tengah-tengah masyarakat, dan sudikah masyarakat menerimanya andai dia mahu berubah dan memberi bakti?


