Kebelakangan ini, banyak perkara yang berlaku dalam kelompak saya dan rakan-rakan akrab yang mendiami satu kediaman sewaan. Bagai bersekali diuji; dalam proses membina kerjaya, dalam proses membina keluarga, dalam proses mengusahakan sesuatu yang hampir tiga tahun merancang. Semuanya meletaikan minda.
Dalam bersekali rasa diuji dalam satu masa, semua bagai saling ingat-mengingatkan; tiada daya dan upaya melainkan dengan kuasa Allah. Kita manusia, bukan sahaja selayaknya diuji, bahkan dicipta untuk diuji selepas mengaku beriman.
Semalam, saya dibekalkan manisan. Sekembalinya di kediaman sewaan kami, rakan-rakan sedia berhimpun, berbincang dan mungkin cuba merungkai banyak benda. Manisan bertukar tangan dengan rakan-rakan, dan sedia dinikmati.
Dan, bagai sedikit menyentakkan apabila salah seorangnya berkata; “Kita dah rasa pahitnya ujian-ujian yang Allah beri. Mari, kita sama-sama nikmati ‘manisan’ pula!” Dia iringi dengan tawa dan sorakan kecil, semua bagai meraikan.
Bagus sekali, sahabat tadi rupanya mengingatkan – selepas kesusahan, pasti kesenangan akan datang mengiring. Kita bukan sahaja perlu percaya, bahkan meyakini bahawa Tuhan berjanji begitu.
Mari, teruskan tanpa lelah!


