Jun 20, 2009
Posted by puteribongsu under
catatan,
santai [12] Comments
Hujung minggu lalu, saya sempat ke UIAM, kampus tempat saya menekuni pengajian peringkat ijazah sarjana muda dahulu. Tidak banyak yang berubah, atau mungkin saya yang tidak berubah. (?)
Entah bagaimana, bagai berjanji saya ketemu Kalam, sahabat dari Bangladesh yang mengikuti pengajian Teknologi Maklumat yang dikenali sejak semester pertama dahulu. Dia sahabat yang pandai bermain silap mata, hingga kadang-kadang saya jadi naïf di hadapan permainannya. Sepanjang bersahabat, bukan sekali dua saya ‘terpaksa’ menelan laddu (klik pautan untuk baca lanjut) yang dititip bondanya dari Bangladesh demi menjaga persahabatan kami dan pura-pura memujinya sedap.
(kreadit gambar: sajita)
Kalam kini di Malaysia atas beberapa urusan dengan pihak universiti memandangkan dia akan menyambung pengajian sarjana di Kanada. Pun, saya tidak terkejut dengan pilihannya itu. Juga sempat dia bercerita, selepas tamat pengajian sarjana di Kanada nanti dia mahu jadi pengusaha ladang tenusu di Bangladesh.
Sewaktu kami sama-sama di tahun akhir, dia mencari saya di perpustakaan seminggu selepas dia pulang daripada Bangladesh. Dia beria-ia membuka sebuah bungkusan dan menghulur sesuatu pada saya; choori (atau sebutannya churi, dan ada yang memanggilnya chudi, klik pautan untuk baca lanjut) – gelang daripada kaca bewarna jingga yang dipakai berderet hingga lengan (paling murah diperbuat daripada kaca, seringnya dipakai sewaktu festival). -kreadit gambar emarket.com
Saya sudah begitu teruja menyarung ke pergelangan tangan. Sudah terbayang Kajol menari dengan gelang bergemerincing dalam Kabhi Khushi Kabhi Gham (dalam bahasa Melayu: Kadang Gembira, Kadang Berduka). Sayangnya, choori itu terlalu kecil untuk tangan seperti saya. (ops!)
Lalu kata Kalam, tak mengapa, saya boleh cuba selepas menyapu sedikit losyen pada tangan dan pergelangan tangan. Lantas, saya buka beg tangan dan keluarkan losyen yang sering berada di dalam beg. Juga, tidak satupun choori berjaya saya sarungkan ke pergelangan tangan.
Dan, Kalam geleng sambil menahan senyum; “Nas, saya sangka awak seorang yang kurus.” Sudah sempat saya jegil mata dengan kata-katanya (dalam bahasa Inggeris) yang jujur.
Saya terus mencuba, hingga sudahnya bunyi gemerincing choori terpecah mengambil alih. Di depan kami ketika itu, choori sudah jadi serpih-serpih kaca atas buku dan lantai perpustakaan. Saya pasti, bukan hanya saya yang kecewa, bahkan Kalam juga.
Katanya lagi; “Nas, jangan sedih. Saya akan hadiahkan awak dengan sari merah untuk menggantikan choori ini.”
Bagaikan dia maklum warna kegemaran saya, saya diuja sekali lagi.
“Tapi dengan satu syarat, awak mestilah berkahwin terlebih dahulu.” Itu sambungnya lagi.
“Kenapa?” Saya sudah agak ‘radang.’ Sudahlah choori tidak dapat saya pakai, dikatanya saya tidak kurus, kini disurahnya saya kahwin terlebih dahulu sebelum saya dihadiahkan sari merah. Harapan untuk jadi Kajol bagai dalam Kabhi Khushi Kabhi Gham pecah lagi seperti choori.
“Kerana itu budaya saya, menghadiahkan sari merah di hari perkahwinan seseorang perempuan.”
Wah, indah sekali persahabatan sebegini, saling bertukar tanya dan jawab perihal budaya. Mungkin dalam sebulan ini sahabat saya itu akan mengunjungi Kelantan, mahu kenal budaya kami di sana pula sebelum dia berlepas pulang ke Bangladesh dan terbang ke Kanada.
Tinggalkan jawapan
Jun 20, 2009 at 8:45 pm
salam, nasriah,
saya suka entri ini. amat.
Jun 20, 2009 at 10:45 pm
ummu firdaus,
selamat datang dan terima kasih atas kunjungan.
Jun 20, 2009 at 8:46 pm
Salam Nasriah,
Saya teringat kenangan ketika berkhidmat di Bam,Iran beberapa tahun yang lepas.Saya tertarik dengan budaya rakyat Iran suka membawa potongan kek dan biskut yang manis-manis sebagai buah tangan ketika menziarahi rumah sahabat mereka.
Jun 20, 2009 at 10:47 pm
saudara Iskandar,
bertuah tuan dapat menjengah negara jauh. memang, setiap sahabat luar negara yang saya ‘kumpul’ akan saya perhatikan setiap satu budayanya.
unik, dan menarik. begitulah Tuhan menciptakan untuk saling berkenal-kenalan.
Jun 20, 2009 at 10:33 pm
Indah sungguh bersahabatan berbilang budaya ini…
Jun 20, 2009 at 10:55 pm
Azree, indah dan seronok kalau boleh bertolak ansur dan saling memahami. kalau tak tentu banyak berselisih faham dan berbalah tentunya.
akak pernah ‘berbalah’ dengan kawan (orang Arab sewaktu di kolej dulu) hanya kerana soal waktu makan malam. akak makan malam sebelum maghrib kerana selepas maghrib ialah waktu untuk buat kerja, dan dia makan selepas isyak.
akak bilang; lepas isyak mata dah mengantuk, tambah ngantuk jika makan.
katanya; itu budaya dia. dah namanya pun ‘asyak’ dalam bahasa Arab maksudnya makan malam.
jadi, jalan terbaik ialah akak diam sambil dalam hati bilang; suka hati engkaulah!
Jun 21, 2009 at 10:45 pm
He he he….Kabhi Khushi Kabhi Gham, Dik Yah?
Jun 22, 2009 at 7:54 am
Bonda Zaharah, ya…(bonda gelak? tentu menonton juga…ya tak?)
Jun 22, 2009 at 8:21 am
Bonda lebih gelak menonton cerita dalam blog Dik Yah ni. Seronok. Jika dibuat cerpen atau novel pesti menarik. Ada usnur keterujaan yang membuat kita selalu kalah dengan tindak-tanduk pemuda Bangla bernama Kalam itu.
Jun 22, 2009 at 10:04 am
kak nas, laddu itu manis betul. sewaktu bersahabat dengan rakan dr india di kampus dulu, saya juga terpaksa berpura2 suka dengan laddu pemberiannya
minta maaf, saya tidak suka menghampakan tetapi laddu itu kadang2 buat saya lari dr terserempak dengan beliau =P
persahabatan dan laddu, memang maniiiiiissss!
Julai 10, 2009 at 2:21 pm
So sweet,
paling sweet kaca gelang bertabur memecah hening perpustakaan
setelah didesak gelang-gelang itu
ke pergelangan tangan walau dengan losyen sekalipun
hehehehe
bleh jadi scene movie yang menarik!
Ogos 11, 2009 at 7:25 pm
Wah, sangat indah! Catatan kamu berjaya mengasyikkan saya lalu masuk ke dalam dunia kamu.