Jun 2009
Jun 20, 2009
ADA KENANGAN: Choori, Laddu, Sari Merah & Seorang Sahabat
Posted by puteribongsu under catatan, santai[12] Comments
“Kenapa?” Saya sudah agak ‘radang.’ Sudahlah choori tidak dapat saya pakai, dikatanya saya tidak kurus, kini disurahnya saya kahwin terlebih dahulu sebelum saya dihadiahkan sari merah. Harapan untuk jadi Kajol bagai dalam Kabhi Khushi Kabhi Gham pecah lagi seperti choori.
Jun 15, 2009
Tanpa malu
kuseluk poket-Mu, Rabb;
“berikanlah sekepeng rahmat
moga reti kubeli semangat
bila rohaniku sedang membejat.”
-
Nasriah Abdul Salam, subuh, ketika hujan.
Jun 13, 2009
Saya masih perlu mengetik kekunci komputer (kerja masih ditimbun/bertimbun) biarpun mata sudah terlalu minta direhatkan.
Sudah banyak kali saya lalui jalan sehala, hinggakan adakalanya saya fikir mahu sahaja berhenti. Namun, kenderaan di belakang saya masih banyak, dan banyak kecelakaan yang mungkin berlaku jika saya berhenti begitu sahaja.
Memang, melalui jalan sehala amat memenatkan, berkali-kali.
Hingga adakalanya saya tidak rasional memberitahu diri; pilihlah sahaja jalan mati, di situ barulah perjalanan akan berhenti dengan sendirinya. (Ampunkan aku, Tuhan)
Kawan, Tuhan menguji anda dan saya berbeza-beza nisbah dan gravitinya. Mari terima dengan reda, dan syukur atas semua perkara.
Kawan, begini kata Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 186 dengan maksud; Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka beritahulah sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
Dan kawan, begini pula kata Nabi Muhammad dalam hadisnya (riwayat Imam Ahmad dan Al-Hakim) yang bermaksud; Tak seorang pun pendoa, melainkan ia berada di antara salah satu dari tiga kelompok ini: Kadang ia dipercepat sesuai dengan permintaannya, atau ditunda (pengkabulannya) demi pahalanya, atau ia dihindarkan dari keburukan yang menimpanya.
(Apa lagi kali ini, Tuhan?)
: Doakan kekuatan untuk saya, mudahan.
Jun 11, 2009
TAHNIAH untuk pemenang HSKU 2008, mudahan terus sukses dan prolifik!
Jun 2, 2009
“Islam bukan melarang cinta, bahkan perasaan itu dicipta oleh Allah bersesuaian dengan fitrah manusia, sebagai pengubat jiwa yang sentiasa berkeluh-kesah dan sentiasa berasa kehilangan,” Ustaz Firdaus berhenti seketika, seraya meneguk air kosong yang sedia diletakkan di sisinya. Diana yang mula tersengguk di sebelah ditepuk kasar, menyentakkan gadis itu dan dia membetulkan duduk sambil menggosok-gosok mata.
“Kita menjadi penggila cinta apabila cinta bersendi nafsu terlalu diagungkan sehingga melupai kuasa sebenar pemegang cinta, iaitu Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Sebab itulah Islam datangkan ajaran yang lengkap untuk menjaga perasaan ini agar kehidupan manusia tidak dikucar-kacirkan oleh cinta itu sendiri.” Suara Ustaz Firdaus menusuk ke teras perasaan.
“Jadi, cinta yang disekalikan dengan akal itulah yang menjadikan kita pencinta yang normal dan rasional. Anak-anakku, cinta bersendi nafsu yang digilai banyak manusia umpama sebatang tiang yang digilai anai-anai. Zahirnya kukuh, namun terlalu rapuh buat menongkat sebuah rumah, apatah lagi untuk berdiam di dalamnya.” Kesimpulan ceramah Ustaz Firdaus malam itu memalu perasaan dan ada kesalan yang bertindan-tindan. Ustaz Firdaus yang belum bangkit daripada lantai surau dipandang, seperti ada bayangan arwah ayahnya bersebelahan ustaz itu.
“Engkau menangis?” Diana menyinggul lengannya ketika pelatih-pelatih lain mula bangun dan bersedia menyertai jemaah isyak yang akan diimamkan oleh Ustaz Firdaus.
Nota; Teruskan membaca novel saya di majalah Aniqah dengan judul Melur Hasanah, dengan siri ketiga (Jun 2009) dengan siri ‘Bukan Jatuh Cinta.’
Jun 1, 2009
PERJUANGAN PENULIS MUDA
Posted by puteribongsu under aktiviti, penulisan, sastera, semasa[4] Comments
Kalau dibandingkan dengan penulis terdahulu yang terdidik oleh alam dan persekitaran perang, penulis muda sekarang lebih beruntung apabila datang dengan ilmu dan disiplin yang pelbagai. Nasriah misalnya dari jurusan undang-undang telah menyentuh mengenai kekangan undang-undang yang membataskan penghasilan karya kreatif.
Nasriah yang beberapa kali memenangi anugerah di HSKU melihat bahawa sekatan secara langsung dan tidak langsung boleh menjejaskan kebebasan berkarya terutama golongan muda. Beliau menuntut diberikan kelonggaran supaya golongan penulis bebas melontarkan pemikiran dalam lingkungan adab sopan budayanya.





