Bulan ini, Ogos – saya menghiasi menyemak di helaian ‘Penulis Muda’ di majalah Konsep – satu majalah mini yang berinformasi. (kata seorang rakan apabila membelek-beleknya; Herm…sesuai sungguh kalau nak menggantikan majalah Mangga) – itu kata seorang rakan saya, ya. Sayangnya ruangan itu sedikit terhad (dua muka surat), jadi editor memasukkan hanya sebahagian daripada tulisan saya (hingga saya kira seakan-akan maksudnya sedikit tergantung). Saya menghormati kerja editor sepenuhnya, namun diperturunkan semuanya di sini sebagai sekadar satu catatan peribadi.

 

*****

 

 

SEORANG guru saya pernah berkata – penulisan dan sastera bukanlah satu dunia glamour, tetapi dunia penuh ilmu. Juga katanya lagi – menulislah, bukan untuk mencari nama atau pangkat, tetapi untuk mardhatillah (keredaan Allah). Selepas beliau berkata begitu, saya jadi seorang penghisab. Hinggakan saya memutuskan begini – keredhaan Allah tidak akan datang sendiri, tetapi perlu dicari. Dan, pencarian itu memerlukan satu ‘proses.’ Lalu saya memasang azam peribadi bahawa, penulisan akan saya jadikan salah satu ‘proses’ daripada ‘proses-proses’ pencarian itu nanti. 

 

Sejak usia 8 tahun, saya mula aktif menulis sajak untuk dipersembahkan pada sambutan hari guru dan maulidurrasul. Ketika sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-9 pula, kakak menghadiahkan saya sebuah antologi cerpen berjudul Namaku Muni, Namanya Munirah (selenggaraan Ghazali Ngah Azia). Sejak itu, saya bagai dicandui cerpen dan novel, hinggalah sekarang ‘mabuknya’ tidak hilang-hilang. Menginjak persekolahan menengah, barulah saya mula berjinak-jinak dengan penulisan cerpen biarpun tidak pernah dihantar kepada penerbitan. Kegiatan kokurikulum di sekolah menengah juga memberi peluang untuk saya mengasah minat apabila dilantik sebagai jawatankuasa dan editor untuk penerbitan.

 

Perjalanan penulisan saya boleh dianggap bermula aktif selepas memasuki Pusat Matrikulasi UIAM apabila puisi pertama yang bertajuk Bicara Hamba disiarkan di majalah Anis. Dengan rasa rendah diri, puisi itu dicagarkan ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk ke Minggu Penulis Remaja 2005. Mendapat bimbingan di Minggu Penulis Remaja di bawah bimbingan Faisal Tehrani (cerpen) dan Shamsuddin Othman (puisi) adalah antara kurniaan yang paling mewah pernah diterima daripada Allah. Selain itu, saya turut mengikuti kursus-kursus penulisan lain di bawah bimbingan Zaharah Nawawi.  

 

Sehingga kini, saya memilih untuk terus berguru dan berguru, sama ada dengan manusia mahupun buku. Juga, saya akan pastikan saya mempunyai hipotesis dan kesimpulan sendiri terhadap apa-apa yang didapati melalui pembacaan kerana saya percaya, karya-karya yang baik dan membina hanya akan lahir daripada penaakulan. Bahkan, kebanyakan karya saya terhasil selepas merenung dan memikir bahan-bahan bacaan. Beberapa karya mula kerap dihantar kepada editor dan syukur sekali, kebanyakannya mendapat tempat. Antaranya, saya menerima hadiah utama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2006 dengan cerpen Sehijau Bakau Seteguh Cinta. Terkini, cerpen Banglo Kolonial di Lot 152 dan Selamat Kembali Nurul Merdeka turut mendapat hadiah utama dan hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2007.  

 

Sesekali mengecap kemenangan, terimbas pula pesanan guru saya tadi. Kembali menghisab, buat saya bertanya diri sendiri – bagaimana mahu beroleh mardhatillah andai diri sudah terdetik riyak, sedangkan sifat itulah yang akan menghalang diri dari mengecap manis keredaan-Nya. Kiranya begitu, sungguh ini satu ujian dan pertanggungjawaban! Ya Tuhan, rupa-rupanya ini ialah satu ‘proses’ yang payah. Berkali-kali saya tazkirahkan diri sendiri; andai jadi segemal padi sawah, atau jadi padi bukit sekalipun, biarlah ke bumi juga tunduknya.

 

Menyemak proses berdiri, bertatih dan sesekali berlari dalam seni penulisan sebagai satu pertanggungjawaban, saya gemar sekali merenung dan memegang butir hikmah Imam Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin yang berlafaz; ‘Hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat yang menyajikan perbuatan salah, atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.’

 

Ini hanyalah satu catatan si penulis mentah. Ada yang tersinggung selepas membacanya? Jika ya, anggaplah ini juga satu tazkirah kecil daripada penulis kecil dalam anda menjalani ‘proses’ payah yang sama. ‘Proses’ inilah kelak yang akan menemukan anda dengan sesuatu yang besar pada pandangan Tuhan. 

 

 

Nota Nasriah; Doakan agar saya kekal dalam proses ini, dan menemui titik pencarian itu. Doakan, begitu.