Seminggu sebelum ulang tahun kelahiran diri yang ke-25, saya benar-benar mengejar waktu untuk mendepani itu dan ini. Sebetulnya ketika itu, 2 Ogos bukan sepenting mana pada usia saya memandangkan ada perkara lain yang lebih penting daripada kek mahupun hadiah.

 

Sejak 26 Julai lalu, saya terlalu sibuk dengan hal-hal berkaitan borang, tugasan-tugasan kuliah yang perlu dihantar menepati waktu, juga hal-hal berkaitan Diskusi Karya Mantan MPR perlu saya langsaikan sebagai pengarah (tentunya ini tidak berlangsung tanpa bantuan rakan-rakan mantan yang lain, sangat-sangat saya hargai kalian yang terlalu ramai untuk disenaraikan di sini). Juga, sebagai penyelenggara antologi terkini mantan MPR, urusan percetakan perlu dilesaikan memandangkan antologi akan dilancarkan pada hari yang sama.

 

Bahkan 1 Ogos itu, saya langsung tidak sempat menjamah nasi sehingga ke malam, bahkan seharian. Lebih ‘menyukarkan’ kaki saya melecet teruk, bahkan berdarah gara-gara memakai kasut yang jarang dipakai. (silap sendiri; hingga ke hari ini lukanya belum baik sepenuhnya dan perlu dibalut sebelum memakai kasut).

 

Selesai menguruskan hal-hal bersabitan borang permohonan (sebagaimana dalam entri lalu) sejak 8 pagi sehingga pukul 12 tengah hari, saya hanya sempat mengunyah separuh daripada sepotong roti sambil menunggu bas daripada UIA ke Terminal Putra LRT. Belum sempat menghabisinya, bas sudah sampai, dan separuh lagi roti tersebut saya habiskan di Serdang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat percetakan (Meteor).

 

6 petang Hani hantar saya ke stesen komuter UKM. Nasib saya kurang baik petang itu – terpaksa berdiri dalam komuter dari stesen UKM ke Stesen Sentral dengan doa agar saya tidak pitam dalam perjalanan (kerana dah mula pening dan rasa menggeletar dek lapar). Usai maghrib di Stesen Sentral, saya mencari restoren makanan segera, dengan harapan boleh segera makan. Pun, nasib saya tidak sebaik mana apabila terpaksa beratur lama sambil tahan kantuk. (Banyak sekali orang, maklumlah awal-awal bulan, masing-masing mahu meraikan penerimaan gaji).

 

Hampir 11 malam juga barulah tiba di UIA dan sepanjang perjalanan, saya berdoa agar tiada sesiapa yang rajin untuk datang ke bilik bikin kejutan hari lahir. Makanya, saya perlu tidur sebelum pukul 12 malam, rasionalnya supaya tiada orang yang tergamak untuk kejutkan sambil menatang kek. (Sedikit syukur, teman baik saya tiada di kampus hari itu, kerana dialah selalunya yang datang bikin kejutan; tapi lama-lama jadi kebiasaan pula). Saya langsung tidak mahukan kek mahupun hadiah hari lahir. Yang saya mahu ialah bantal dan sebuah lena yang sempurna sebagai persediaan majlis diskusi keesokkannya.

 

****

2 Ogos – mantan-mantan MPR di UIA bersedia menunggu bas seawal 7 pagi. Juga sekali lagi, hari itu saya perlu melangkah ke sana ke mari sepanjang majlis. (sebenar-benarnya saya berterima kasih buat rakan-rakan mantan sebagai pelaksana dan urusetia). Sekali lagi saya terpaksa abaikan kaki yang melecet dan luka sejak semalam. 

 

Syukur sekali, majlis berjalan lancar sebagaimana yang dirancang. (Harapan kami, selepas ini adik-adik mantan MPR yang junior pula akan jadi pelapis meneruskan aktiviti-aktiviti MPR). Catatan seputar majlis diskusi boleh dibaca di blog Kak Nisah . Selepas Isyak, barulah mantan-mantan di UIA sampai di kampus. (Terima kasih buat Anis, yang datang hantar kek ketika saya mengurut kaki sendiri sambil mata hampir tertutup di katil).

 

Selepas 30 minit mengecap lelap, sepupu saya pula tiba ke kolej. Hampir 4 tahun tidak bertemu (di majlis diskusi siangnya kami hanya sempat bersalaman), malam itu saya lelap hampir pukul 3 pagi walaupun badan terlalu lesu dan tekak perit semacam, serasa seperti mahu demam. Malam itu juga saya cari kembali madu dan vitamin-vitamin yang hampir seminggu saya lupa mengambilnya. (Cik Jah, terima kasih datang.)

 

3 Ogos – hilang semua penat dan hampir semua tugasan sudah saya langsaikan, barulah terasa dan sedar rupa-rupanya diri sudahpun 25 tahun. Juga, terima kasih buat Nor yang datang menatang puding malam tersebut.

Bahkan, kawan yang baik itu masih belum berpuas hati, beberapa kali dia mengatur waktu dengan beberapa rakan yang lain untuk meraikan saya dalam majlis kecil, dan beberapa kali itu jugalah saya menolaknya dengan alasan saya sudah terlalu tua untuk menyambut usia yang semakin bertambah.

 

****

6 Ogos – benarlah, saya benar-benar tidak dapat mengelak. Melihat saya liat untuk menurut kemahuannya dengan banyak alasan, dia datang bertandang ke bilik ketika jam hampir menginjak hari baru. Si teman itu datang dengan sekotak kek dengan 5 jenis perisa berbeza. Katanya, biar saya makan semua. (Terima kasih, Asma’ yang turut serta). Lebih  ‘mengada-ngada’ dia tak izinkan saya pegang sudu, dia mahu suapkan dari awal sampai habis. Pun, tak mengapa – saya sudah tak kuasa menghalang jadi sudahnya layankan sahaja. (seorang teman sebilik menegur; “Bukankah hari lahir Kak Nas pada 2 hari bulan. Maksudnya, sudah 5 hari berlalu. Dan saya jawab; “Ya, tapi Kak Nor kamu ni sengaja mahu sambutnya 7 hari, 7 malam.) Terima kasih, Nor yang disayangi!  

 

 

(Nor datang bawa sebuah hiasan kristal bertulis rangkaian ucapan hari lahir, sebuah bingkai gambar dan sekeping gambar kami. Saya tahu, dia mahu saya letakkan gambar kami di atas meja sepertimana yang dia lakukan). Juga, layan sajalah!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Ini pula pemberian Hani – sebuah buku berjudul Hikayat Para Nabi dan Tokoh-tokoh Islam Dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional.

Katanya sewaktu hadiah ini dihulurkan; “Aku tak tahu engkau suka ke tak.” – “Eh, tentulah aku suka!” Tentang ini ada dicatatkan dalam blognya. Terima kasih Hani yang syomel

 

 

 

 

                                                                                     Kumpulan Puisi ini pula dihadiahkan oleh guru puisi saya semasa di MPR 2005 dahulu, Tn. Haji Shamsudin Othman, kumpulan puisinya Taman Percakapan. Terima kasih, cikgu!

 

 

 

 

 

 

 

Dan, ini pula hadiah daripada abang senior MPR saya yang cool – kumpulan puisinya, Suluk Cinta.

Terima kasih, Abang Ridzuan Harun!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ini pula, hadiah saya untuk diri sendiri – kitab Ihya’ Ulumuddin yang sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Sebenarnya saya terlalu inginkan Tafsir Al-Azhar (HAMKA) yang harganya hampir RM 300. Kekangan ekonomi sekadar mengizinkan saya membeli kitab terjemahan ini yang harganya cuma 3 kali ganda lebih rendah (RM 100)  berbanding kitab Tafsir Al-Azhar. Mudah-mudahan jadi pentazkirah yang baik buat diri yang sering ‘nyanyuk’ dengan amalan.  

 

 

Juga, hadiah ini turut diberi oleh saya kepada saya, dibeli di DBP – mudahan tekal menulis untuk kebaikan. (pesan Cikgu Faisal; untuk Mardhatillah).

 

Nota: Tak lupa ucapan terima kasih buat semua yang memberi ucapan sama ada lisan, kad, saya anggap itu doa kalian!

 

 

 

 

****

Seorang rakan buat lawak tahap martabat ‘botol budu.’– katanya; Kak Nas dah usia 25 tahun. Makanya, 25 tahun lagi akan menopause.”

 

Tapi, lawaknya buat saya berfikir dan merenung usia-usia diri, terlalu dalam maksud muhasabah dalam sebuah lawak dan saya mengambil itu sebagai satu tazkirah.

 

Mungkin perkataan ‘menopause’ kedengaran sensitif atau kelakar jika diselt dalam lawaknya. Sebaliknya, saya perlu ingatkan diri sendiri bahawa hari ini saya meraikan jubli perak kelahiran, dan 25 tahun lagi akan meraikan jubli emas pula. Namun, akan berolehkah peluang emas itu?  

 

Jubli perak kelahiran diri ini, doakan saya bukan hanya jadi manusia, tapi jadi seorang insan. Doakan agar helaian-helaian catatan dalam diari dipenuhi dengan kejayaan pada mata Tuhan.

Ya, 25 tahun – saya sudah terlalu tua untuk hidup lama.