I.

 

Ingak sokmo hok mok pese

Nak-nak kali ambo nok tughung jale

Jange tlupo ko Tuhe,

Kito oghe Isele – Tokleh tingga semaye

 

Ingat sokmo hok mok pese

Walau jauh duduk tepak oghe

Jange lupo kapong lame, wohgih-waghoh di Klate

Tok leh sombong nga oghe…

 

Komputer peribadi kini memainkan track 8, nyayian dikir barat – Halim Yazid, album Inovasi. Dan, itu sebahagian daripada lirik Pesan Mak, ciptaan beliau sendiri. dalam bahasa ‘kebangsaan’ negeri saya tentunya, dialek Kelantan.

 

Atau, jika ditukarkan ke bahasa kebangsaan/bahasa rasmi negara sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, ia akan bernada begitu (walaupun jika dinyanyikan kembali tak akan jadi sesedap lirik asalnya);

 

Ingat selalu apa emak pesan

Setiap kali saya nak turun berjalan (di sininya maksudnya ‘berpergian’, bukan  sekadar turun berjalan-jalan makan angin)

Jangan lupa pada Tuhan

Kita orang Islam, tidak boleh tinggal sembahyang.

 

Ingatlah selalu apa yang emak pesan

Walau jauh tinggal di tempat orang

Jangan lupa kampung halaman, saudara-mara di Kelantan

Tidak boleh sombong dengan orang.

 

 

II.

 

Semalam – hari ibu. Sambutan hari ibu pada satu hari yang dikhususkan bukanlah budaya Islam kerana ibu wajib disayangi dan didahulukan sepanjang masa, setiap saat. Tetapi asas sambutannya – iaitu menghargai perngorbanan, jasa dan kasih sayang seorang yang bermahkota ‘ibu’ didasarkan dengan perintah Allah untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

 

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaan kamu, maka sesekali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik.” ( Surah al-Israk: 23)

 

Dalam mengeluarkan hukum, ayat tersebut dibaca dan diinterpretasi dengan mengeluarkan maksud yang disiratkan atau rasional disebalik perintah tersebut walaupun maksud sebenar tidak disuratkan secara jelas. (Dalatun-nass). Kebiasaannya, kaedah ini akan mengambil kira ‘penyebab’ atau ‘mengapa’ sesuatu perintah diturunkan oleh Allah.

 

Maksudnya (berpandukan ayat tersebut), hukum yang boleh disaring-keluar ialah; sebarang bentuk kekasaran, penderhakaan (atau apa-apa sahaja yang sama maksud dengannya) adalah benar-benar dilarang oleh Allah kerana mengeluarkan perkataan “ah” (perkataan paling ringan) sudah dilarang, apatah lagi perbuatan-perbuatan lain yang lebih berat daripada itu – dan inilah ‘penyebabnya’ (‘illah) kenapa perbuatan-perbuatan lain yang menyakiti fizikal atau perasaan ibu bapa turut dilarang.

 

Hari ibu – bukanlah satu budaya yang diterima oleh Islam, bahkan dimulai oleh Islam. Sebetulnya, apa-apa yang baik (pada awal dan baik pada natijahnya) itu dimulakan oleh agama dan cara hidup Islam sendiri, dan akhirnya menjadi satu budaya – Islamic culture.

 

III.

 

 

 

Gambar emak dan saya – sengaja dicetak dan ditampal pada papan nota di hadapan meja studi sekiranya berada di kampus. ‘Azimat’ tidak sentiasa perlu dipakai, boleh sahaja andai sekadar dilihat. Atau, jika tidak dapat dilihat, biarlah selalu berasakan dekat. Gambar itu, saya jadikan ‘azimat’ dan disebelahnya, sekeping kad hari ibu untuk emak.

 

Di bawah gambar, sebuah puisi pendek berjudul ‘Inspirasi’ dinukil sama. Diperturunkan semula sekadar sebagai catatan peribadi di sini;

 

Dia,

adalah cahaya malam

sesudah memangkas gemilang warna bulan.

 

Bahkan, seribu bintang belum tentu

menisbahi kerdip hikmahnya.

 

 

IV.

 

Dahulu, semasa pertama kali berdiri di pentas untuk mendeklamasi sajak di Hotel Perdana, Kota Bharu, di hadapan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Sasterawan Negara A. Samad Said dan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan, saya benar-benar gemuruh dan tangan sejuk (tetapi berpeluh). Saya tidak lepaskan tangan emak sehinggalah saya dijemput naik ke pentas. Saya hanya kata; Mak…(risau dan gemuruhnya…)

 

 

Kata mak; “anggap semua yang ada di dewan ni ‘pekak’ dan tidak bernyawa walaupun mereka memandang. Anggap dalam dewan ni hanya ada emak.” (kelakar bunyinya, tapi saya tetap serius ketika itu).

 

Dan, sesudah mendeklamasi, saya ‘terjun’ pentas dan terkam lengan emak. Emak separuh menjerit; “Hei, tangan, sejuknya!” (Semeja dengar apa emak kata, dan semeja juga tertawakan saya. Ghafirah di sebelah mengekek).

 

 

V.

 

Andai saya katakan wanita itu inspirasi dan menjadi pendamping apabila saya gemuruh untuk naik ke mana-mana pentas, atau untuk mencapai apa-apa sahaja – jangan sesekali pertikaikan atau anggap ini keterlaluan.

 

 (kenangan HSKU’06)

 

Andai kedudukan emak disamping saya dipertikaikan, samalah seperti seorang warganegara Malaysia mempertikaikan kedudukan Yang Dipertuan Agong dalam Perlembagaan Malaysia!