KERANA BUDI
03 Jan 2012 Tinggalkan Komen
Pagi-pagi menanam selasih,
Selasih ditanam di hujung serambi;
Bagailah mana hati tak kasih,
Kerana tuan baik budi.
Buah rambai dalam padi,
Lazat pula cita rasanya;
Pandai sungguh mengambil hati,
Sarat dengan budi bahasanya.
-Koleksi Kurik Kundi Merah Saga
KEMBALI – SALAM 2012.
31 Dis 2011 Tinggalkan Komen
Sesekali kembali ke tempat yang disukai – ibarat kembali menemui seorang sahabat lama yang dirindui.
Selamat Tahun Baru 2012
Dengan doa keselamatan dan kesejahteraan, dunia dan akhirat – untuk semua!
Salam hormat; Nasriah Abdul Salam.
CINTA TIDAK KESAMPAIAN – DI BAWAH LINDUNGAN KA’BAH
14 Dis 2011 2 Komen
Cerita cinta tidak kesampaian – pada saya itu cerita biasa. Cerita yang boleh sahaja berlaku di mana-mana dan dalam apa bentuk persembahan sekalipun. Cinta tidak kesampaian kerana darjat atau keturunan – itu juga cerita biasa.
Begitu juga cinta Zainab dan Hamid dalam filem Di Bawah Lindungan Kaabah, yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama, karya Hamka. Tiada yang beza atau luar biasa, pada saya. Cinta Zainab dan Hamid dalam Di Bawah Lindungan Kaabah, tidak jauh berbeza dengan cinta Hayati dan Zainuddin dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, juga karya Hamka. Bahkan, pengakhiran cerita juga lebih kurang serupa. Juga, bagaimana surat berperanan dalam menghubungkan makna perasaan bagi watak-watak utama dalam kedua-dua karya tersebut – juga lebih kurang sama.
Namun, sebanyak mana sekalipun persamaan sesuatu perkara, tentu sahaja ada sekurang-kurangnya satu perkara lain yang membuatkannya lebih tertonjol. Begitu jugalah dengan Di Bawah Lindungan Kaabah – temanya biasa, tetapi pada saya, pengolahan jalan cerita dan bahasa menjadikan cerita ini menempuh jalannya yang berbeza.
Cerita cinta yang memiliki harapan berbeza, sudahnya menempuh satu laluan yang berpusat di negeri yang satu – Mekah, dengan surat yang mempertemukan mereka. Harapan Hamid yang paling besar ialah untuk menunaikan haji, dan pada sisi Zainab pula; menikah dengan lelaki yang mencintai dan dicintanya adalah harapan yang teratas, sehinggakan impian itu dititipkan kepada Hamid untuk disebut di hadapan Kaabah. Tanpa sedar, kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan.
Luahan perasaan tidak perlu dengan kata-kata berjela. Masing-masing memahami sendiri walaupun tanpa pengakuan secara langsung. Bagaimana sabut berisi kalam tertulis nama ‘Zainab’ dihanyutkan lewat arus sungai sehingga disambut oleh Zainab sendiri ditafsir sebagai satu bentuk penyampaian perasaan dari pihak Hamid walaupun susuk tubuh lelaki itu tidak kelihatan.
Bahasa – tetap akan jadi penghubung yang baik dalam apa-apa sahaja situasi. Pengakuan cinta Hamid walaupun tidak secara langsung lebih ‘berdarjat’ dengan kata-kata bermakna ketika ditanyakan perasaannya kepada Zainab oleh Engku (salah seorang gurunya) dengan soalan langsung dan didesak: “Apakah engkau mencintai Zainab?” Lalu jawab Hamid; “Saya hanya bisa mengatakan bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar dibandingkan dengan kesedihan ketika saya difitnah dan diusir dari kampung ini.”
Juga, antara kata-kata cantik yang lain untuk saya catatkan;
“Sampai kapanpun; emas takkan setara dengan loyang, dan sutera tak sebangsa dengan benang.” – ibu Hamid
“Apapun yang akan terjadi, Hamid; ingatlah bahawa ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup.” – ibu Hamid
“Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang harus terus kita bawa; keyakinan, dan cinta.” – Hamid.
Selain mendapatkan VCD/DVD, filem ini boleh ditonton di Youtube.
Selamat menonton dan mendengar yang indah daripada tema cerita yang biasa!
QASIDAH INDAH MEMPERINGATI RASULULLAH (S.A.W)
05 Dis 2011 Tinggalkan Komen
طالما اشكو غرامى
- Ini qasidah lama, yang saya sendiri tidak pasti siapa pencipta asalnya dan siapa pula yang mula melagukannya. Cuma seingat saya, liriknya pernah suatu waktu dahulu disenandungkan oleh Imad dalam nada yang sedikit rancak. Selepas itu, Haddad Alwi pula mengalunkan dalam versi orkestra bersama Sulis.
Walau bagaimanapun, qasidah yang dibawa oleh Abdelssalam El-Hasany ini lebih mengikat rasa, lebih memegang hati, lebih memugar rindu untuk baginda Rasul.(Abdelssalam El-Hasany ialah penasyid daripada Moroco yang keturunannya bersalasilah dengan Ahlil-bait Rasulullah S.A.W)
“Selepas dihulurkan zam-zam, mudahan nanti kami dipilih untuk minum dari haudh, yang akan menghilangkan haus kami untuk selama-lamanya, wahai penyandang akhlak al-Quran. Selawat dan salam untuk sebaik-baik makhluk, sebaik-baik manusia. Mudahan kami terpilih untuk mendapat syafaatmu pada saat tiada satupun penolong yang bermanfaat.”
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
طالما اشكو غرامى يا نور الوجود
وانادى يا تهامى يا معدن الجود
Lama sudah aku menanggung rindu;
Wahai cahaya alam yang indah !
Serta aku menyeru, wahai nabi !
Wahai punca ilmu yang pemurah !
.
منيتى اقصى مرامى احظى بالشهود
وارى باب السلام يا زاكى الجدود
Impianku setinggi-tinggi cita-cita;
Moga diberikan tuah dapat melihatmu;
Juga melihat Bab al Salam (di Masjid Nabawi);
Wahai sesuci-suci insan!
.
يا طراز الكون انى عاشق مستهام
مغرم والمدح فنى يا بدر التمام
Wahai hiasan dunia ini!
Aku amat cinta dan rindu padamu;
Hanya pujian menjadi persembahanku;
Wahai bulan mengambang penuh!
.
اصرف اعراضا عنّي اصناني الغرام
فيك قد احسنت ظنّي يا سامى العهود
Jauhkanlah segala penghalangku daripadamu;
Yang kupendam hanya kerinduan terhadapmu;
Padamu aku bersangka baik;
Wahai yang benar pada janjinya!
.
يا سراج الأنبياء يا عالي الجناب
يا إمام الأتقياء إن قلبي زاب
Wahai pelita sekalian Rasul!
Wahai insan yang mempunyai setinggi-tinggi kedudukan!
Wahai Imam orang-orang yang bertaqwa!
Sesungguhnya hatiku terpaut padamu.
.
وعليك الله صلى ربى ذو الجلال
يكفى يا نور الاهلة ان هجرى طال
Ke atasmu, moga Allah mencurahkan rahmat;
Tuhanku Yang Mempunyai Keagungan;
Cukuplah, wahai Cahaya Bulan!;
Sesungguhnya perpisahanku denganmu telah terlalu lama.
.
CARI GANTI
25 Nov 2011 Tinggalkan Komen
Pantun-pantun di bawah berkisarkan tema yang sama – cari ganti.
Tetapi apabila diamati, saya rasakan nada yang berlainan dalam setiap rangkap. Ada pesanan biasa bernada jujur, ada pesanan biasa bernada sinis, ada juga kata-kata bersalut harap. Saya kongsikan di sini…
Baik-baik menjemur padi,
Jangan dimakan burung belatuk;
Baik-baik mencari ganti,
Biar hati lebih elok.
Kalau tuan menebang jati,
Kalau tumbang saya tolakkan;
Kalau tuan mencari ganti,
Kalau kurang saya sorakkan.
Kalau tuan tebang jati,
Biar serpih condong ke paya;
Kalau tuan mencari ganti,
Biar lebih dari saya.
Cermin damit kami mulanya,
Ditangkap ketam patah kaki;
Mulanya kamilah yang punya,
Sudah sekarang lain ganti.
Cik Ani menahan pukat,
Dapat ikan berkati-kati;
Kalau hati sudah terpikat,
Tak dapat lagi ditukar ganti.
Sumber: Kurik Kundi Merah Saga
RAJAWALI – W.S Rendra
24 Nov 2011 Tinggalkan Komen
in puisi
Sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri.
Rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti.
Langit tanpa rajawali
adalah keluasan dan kebebasan tanpa sukma
tujuh langit, tujuh rajawali
tujuh cakrawala, tujuh pengembara.
Rajawali terbang tinggi memasuki sepi
memandang dunia
rajawali di sangkar besi
duduk bertapa
mengolah hidupnya.
Hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana.
Rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka.
W.S Rendra, petikan daripada kumpulan puisi ‘Perjalanan Bu Aminah‘, Yayasan Obor Indonesia 1997
KE JORDAN-PALESTIN DAN AUSTRALIA-NEW ZEALAND
23 Nov 2011 Tinggalkan Komen
Sekadar bersantai pada hujung minggu lalu tanpa acara luar, sementelah pula ‘birthday boy‘ yang berusia itu bertanyakan kek hari lahirnya. Maka saya fikir, ‘Ok, kita akan raikan dengan sesuatu, walaupun biasa-biasa sahaja!’. Memandangkan saya lebih memilih untuk ‘mengaku kalah’ dalam acara membuat kek, saya lalu memilih untuk ‘berziarah’ ke Jordan-Palestin dan Australia-New Zealand hanya melalui ruang dapur!
Hidang
an utama ialah nasi maqlubah, sesekali beralih angin ke negara Jordan-Palestin. Nasi ini seringnya jadi hidangan popular di Jordan dan Palestin, walaupun mungkin turut jadi pilihan di Syiria dan negara sekitarnya. Pertama kali merasainya ialah pada Ramadhan tahun lalu, tatkala dijemput berbuka puasa oleh seorang rakan daripada Jordan. Bezanya, sahabat saya tadi menggunakan ayam sebagai lauk utamanya dan disertakan dengan lapisan kentang. Manakala, saya pula gunakan daging dan tulang rusuk lembu (atas permintaan si ‘birthday boy‘ juga), baki sembelihan hari raya korban lalu. Dilapiskan sekali dengan kentang dan terung bulat.
Hidangan asalnya, nasi yang
berlapis dan berselang-seli antara lauk dan kentang (atau terung bulat) akan diterbalikkan di atas dulang. Semestinya mengikut cita rasa atau cara masyarakat Arab yang akan menjamah hidangan beramai-ramai dalam satu dulang. Bezanya sekali lagi, kami pilih untuk jamah dengan cara Melayu sahaja.
Dan, gandingan pelengkapnya tentulah salathah (salad)!
Kek yang dibuat jarang menjadi. Ini jadikan saya lebih suka menyediakan manisan dan pencuci mulut. Lalu, sekadar sediakan pavlova sebagai iringan ‘meraikan’ hujung minggu yang santai (itupun kurang cemerlang juga) dengan hiasan strawberi dan kiwi segar – manisan yang dikatakan berasal daripada New Zealand dan ada pula yang mendakwa berasal daripada Australia. Saya sukakan sejarah penciptaan resepinya. (Boleh dibaca di Wikipedia atau mana-mana laman web andainya berminat).
“Masih banyak negara dan benua yang kita belum ‘ziarah’. Nanti kita akan ke negara lain di Timur Tengah, Asia Timur, Asia Tengah, bahkan serata dunia juga (asalkan halal!)”
PADA USIAMU DUA-LAPAN
17 Nov 2011 4 Komen
Selamat hari lahir, Tuan Suami!
Alha
mdulillah, sempat menyiapkan sebuah puisi untuk dia dalam waktu rehat di pejabat. Sejujurnya pula, inilah kali pertama saya dedikasikan sebuah puisi untuk ulangtahun kelahiran seseorang.
Moga Allah merahmatinya serta memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang. (Moga cermin mata baru itu akan jadikan pemanduannya lebih selamat, lalu hati saya akan lebih tenang!)
Maaf, saya tak pandai buatkan kek. Sebuah puisi, boleh?
PADA USIAMU DUA-LAPAN
Ketika mereka memilih zaqqum dan danur
kita berikrar memilih zaitun dan kafur
lalu, telah Tuhan rendahkan purnama
untuk kita belajar membeza silau dan cahaya.
Terima kasih; Cendera Hati,
kerana tidak pernah berjanji
membawaku mengenderai angin
untuk memetik sekuntum bunga pagi
dan melihat kekupu berkepak baiduri
di negeri yang pernah kutemui
dalam sebuah puisi.
Pada usiamu dua-lapan;
tiadalah lagi ajaibnya kata-kata Gibran
sesudah sering engkau gantikan dengan firman.
NASRIAH ABDUL SALAM
17 November 2011.
Glosari:
Zaqqum: Buah dalam neraka (Rujuk Surah Al-Waqi’ah: , Al-Dukhan: 43)
Danur: minuman daripada nanah yang diminum ahli neraka (Rujuk Surah Ibrahim: 16)
Kafur: Minuman ahli syurga (Rujuk Surah Al-Insan: 5-6)
TERUSKAN! (DENGAN CARA YANG LAIN)
11 Nov 2011 Tinggalkan Komen
in Lain-lain
Dengan nama Tuhan;
Saya bukanlah penggemar tarikh-tarikh tertentu, mahupun taksubkan nombor tertentu. Namun, selepas meneliti entri-entri lalu, baru disedari entri TERUSKAN dicatat pada 11.01.11. Rupa-rupanya, sudah 10 bulan entri itu berlalu jika dikira dari tarikh hari ini – 11.11.11.
Entri TERUSKAN adalah catatan sebelum saya berumah tangga. Setelah dicongak-congak, 11.11.11 – adalah bulan ke-8 menjalani kehidupan dengan rutin yang lain. Banyak pertukaran fasa demi fasa berlaku dalam tempoh ini. Semuanya perlukan pengorbanan, walaupun mungkin bukan dalam skala yang banyak.
Bermakna, saya berada dalam bulan ke-4 kehidupan berkerjaya sebagai penasihat undang-undang dalam dunia korporat – dunia yang langsung tidak terimpikan selama ini! Separuh daripada hati telah saya tinggalkan dalam dunia akademik. Namun begitu, saya masih menyimpan harapan untuk kembali bertemu pelajar, menguliti jurnal-jurnal, ‘mendiami’ perpustakaan, atau ‘mengotori’ jemari dengan dakwat marker pen. Maka, berkali-kali mengingatkan diri – kepuasan dan kebahagiaan bukan dapat diperoleh dengan tertunainya impian, tetapi dengan tercapainya makna kehidupan. Asal sahaja kita bersedia mengubah dan menyesuaikan diri mengikut keutamaan dan keadaan.
Dan, ini juga bermakna saya berada dalam bulan ke-4 kehamilan! (Syukran, Tuhan – kerana memberi perhatian kepada doa-doa kami. Mudahan kami jadi hamba-Mu yang lebih bersyukur).
Semakin lama, saya makin meyakini – bahawa ada kalanya, impian peribadi akan selalu sahaja kalah…
…sekiranya dipertandingkan dengan cinta!
Tuhan sekali lagi mengajar, inilah makna kehidupan dalam definisi versi lain.
(Sumber gambar: 123RF.com)
PENYUDAH KASIH
11 Nov 2011 Tinggalkan Komen
Burung merpati terbang melambung,
Mari hinggap di awan putih;
Buah hati pengarang jantung,
Tuan seorang penyudah kasih.
- (Sumber gambar: Galeri trekearth)




KOMEN TERKINI